Rakan AzamAli.com.my

Friday, 25 November 2011

Dalil Bacaan Al Quran secara bertarannum

Dalil Galakan Bertarannum Ketika Membaca Al-Quran :
Al-Quran sebagai mukjizat paling agung anugerah Allah SWT kepada junjungan besar Nabi Muhammmad SAW ini bukan sahaja perlu dipelajari dan diamalkan dari sudut hukum-hukum tajwid dan tafsir sahaja, bahkan ia juga dituntut agar dialunkan secara bertarannum (Wan Hilmi Wan Abdullah 2010). 
Hal ini adalah berdasarkan kepada galakan baginda SAW di dalam... sebuah hadith yang bermaksud :
“Hendaklah kamu melagukan bacaan Al-Quran, kerana bukanlah dalam kalangan kami orang yang tidak melagukan dengan bacaan Al-Quran. Dan menangislah, jika tidak mampu, buat-buatlah menangis”. (Hadith Riwayat Bukhari)
Nurliana Mohd Shariff (2003), menyatakan bahawa alunan tarannum Al-Quran bukan sekadar tidak sama dengan lagu-lagu nyanyian lain seperti lagu penglipur lara, syair, qasidah, nasyid dan sebagainya bahkan Al-Quran juga tidak wajar dilagukan seperti lagu-lagu nyanyian tersebut. Perkara ini telah jelas diterangkan oleh baginda SAW dalam sabdanya yang bermaksud :
“Bacalah Al-Quran itu dengan irama (lagu) kearaban dan dengan suara berlahjah arab. Jangan sekali-kali kamu melagukan Al-Quran itu dengan gaya lagu ahli fasik dan ahli gereja (Kristian dan Yahudi).” (Hadis Riwayat Imam Thabarani & Baihaqi)
Hadis di atas jelas menerangkan betapa Rasulullah saw amat menitik beratkan bacaan Al-Quran dengan suara dan lagu indah yang berlahjah Arab. Dengan pembacaan yang baik dan bermutu tinggi akan menzahirkan lagi kemukjizatan Al-Quran dari sudut bacaan. Disamping itu, para pembaca dan pendengar juga akan lebih bermotivasi untuk memahami, mentadabbur, menginsafi dan mengamalkan ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran. Amalan sebegini akan pasti mampu melahirkan generasi Qur’ani dalam ketamadunan Islam.

No comments:

Post a Comment