Wednesday 31 October 2012

HAART ; Apa saja yang baik2 mengenainya

Kesibukanku di akhir2 ini seringkali menjadikan diriku terlalu letih dan adakalanya aku menjadi tidak berdaya untuk melakukan aktiviti yang sepatutnya. Namun demi tugas aku perlu gunakan setiap peluang dan kesempatan yang ada dengan sebaik2nya agar aku dapat memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan dengan sewajarnya. Aku tidak harus menjadikan kehidupanku sebagai ODHA semakin terbatas dan menjejaskan prestasiku dalam kerjaya.


Di sebalik itu aku sering terfikir apakah cara yang terbaik agar aku dapat mengekalkan staminaku dalam menghadapi pelbagai bebanan kerja yang kutanggung hari demi hari. Pernah satu ketika aku cuba mengamalkan pengambilan vitamin tambahan dalam diet harianku namun atas sebab yang berpunca dari diriku sendiri ia terhenti begitu saja. Aku juga yang tidak konsisten dalam pengambilan vitamin tambahan. Aku pernah beli multivitamin di sebuah farmasi dan untuk kujadikan rutin harianku namun ia akhirnya menjadi barang perhiasan di dalam bilikku.


Namun pengambilan ubat HAART tetap aku jadikan aktiviti wajib. Itulah yang telah aku setkan dalam fikiran sejak mula2 aku mengambil kedua2 ubat itu. Peristiwa aku terlupa sekali makan ubat menjadikan aku semakin berhati2 agar ia tidak berulang kembali. Aku tahu ubat ini adalah ikhtiar terakhirku untuk berusaha menjadikan kehidupanku sihat. Aku tahu ubat ini ibarat peluang yang Allah bagi kat aku untuk meneruskan sisa2 hidupku dengan sempurna. Aku juga tahu ubat ini sangat sangat memerlukan komitedku sepanjang hayat.


Bagi kawan2 yang masih belum memulakan HAART, aku tabik springgg kat korang. Mungkin ada amalan2 yang korang buat sehingga menjadikan korang masih lagi kebal daripada serangan2 virus2 HIV dalam tubuh badan korang. Di satu sudut aku juga terfikir tentu ada rahsianya mengapa allah menjadikan diri mereka hidup tanpa ubat sekalipun mereka hiv positif. Bagi aku, ini bukanlah perkara yang kuanggap kejutan kerana pada bila2 masa sahaja CD4 dalam badan boleh menurun dan sampai masanya untuk memulakan HAART. 


Aku pernah terfikir alangkah bagusnya kalau CD4ku tidak jatuh menjunam.  Pelbagai supplemen aku jadikan santapan harian dengan harapan aku tidak akan bergantung sepenuhnya dengan ubat HAART. Lagipun sebelum ini aku tahu kesan ubat HAART bukan kepalang kat sesapapun jadi kalau boleh aku mahu mengelak dari memakan ubat HAART. 


Itu cuma impian namun akhirnya terbukti ia cuma menjadi satu mimpi apabila doktor mengesahkan CD4ku jatuh ke tahap 317 dan aku dikehendaki memulakan pengambilan ubat HAART. Perasaan bercampur baur datang silih berganti. hampir lagi aku minta agar pengambilan HAART seperti yang disarankan doktor ditunda sebab aku  mengharapkan CD4 aku naik kembali melebihi 350. Namun aku rasa ia bukanlah langkah yang bijak sebab ia meletakkan diriku dalam keadaan berisiko untuk sampai ke tahap kritikal. Jika sampai ke tahap itu, sudah tentu lebih sukar untuk aku terima lantaran ia memerlukan rawatan dan tidak mustahil kalau aku kena tahan di wad berminggu2 atau berbulan2 lamanya.


Kenapa aku anggap hasrat menunda mengambil ubat HAART tidak bijak? Aku punya alasan tersendiri berdasarkan pengalaman dari pemantauan doktor terhadap CD4ku sebelum ini. Sebabnya CD4ku sebelum ni sudah terbukti jatuh mendadak daripada 464 menjadi 317. Lebih dari 100 pulak tu. Jadi aku buat keputusan untuk menerima saranan doktor untuk kebaikan aku juga. Jika aku tidak segera mulakan HAART, tidak mustahil jika CD4 aku akan jatuh merudum lagi.


Nasihat sahabat2 senasib tetap aku jadikan panduan. Adalah lebih baik memulakan rawatan HAART pada ketika CD4 masih stabil (antara 250-350) sebab dari segi lonjakan CD4 ia boleh berlaku dengan cepat dibandingkan jika mulakan rawatan HAART pada paras CD4 yang sangat rendah. Apa jadi dengan VL? Secara klinikal, jika CD4 naik, VL akan turun.


Namun dalam kitaran hidup seorang PLHIV, perkiraan CD4 bukanlah suatu yang agak mustahak sebab yang lebih penting ialah kadar VL dalam tubuh badannya. Semakin kurang VL, semakin baik baginya. Tidak guna kalau CD4 naik tapi VL berganda2. Yang diutamakan ialah rencatan virus dalam tubuh seseorang kerana itu yang menentukan keberkesanan HAART dan kebolehjaminan tahap kesihatan ODHA.


Usah bimbang dan ragu dengan ubat HAART. Setakat ini alternatif terbaik bagi golongan ODHA meneruskan kehidupan yang lebih sihat adalah dengan rawatan yang sistematik melalui pengambilan ubat HAART. Tidak ada jalan singkat untuk menjadi lebih sihat bagi golongan ODHA.


Setakat ini aku belum pernah dengar mana2 PLHIV kat dunia ni yang mati sebab makan ubat HAART. Setahu aku, hanya mereka yang tidak mahu tampil mendapatkan rawatan saja boleh jadi menemui ajal. Apapun semua orang tahu bab2 mengenai ajal ini bukan urusan manusia. Aku yakin allah maha tahu yang terbaik buat diriku di segenap aspek termasuklah soal ajal. Aku bertawakkal sepenuhnya kepada allah di samping berusaha meneruskan rawatanku.


Alhamdulillah setakat ini aku sudah dapat membiasakan diri dengan ubat2an yang aku makan. Kesan sampingan itu makin lama makin kurang kurasai. Aku juga sudah jarang mendapat selsema, batuk dan demam jika dibandingkan sebelum makan ubat HAART tiap minggu ada saja sakit yang datang bersilih ganti. Kalau bukan selsema, demam atau batuk. Tambah lagi kalau aku "travel" jauh ke hospital makin menjadi2lah sakit2 tu. Tapi sekarang ni sudah tidak ada. Syukur ke hadrat ilahi.



Tuesday 30 October 2012

ODHA dan bukan ODHA ; Kehidupan dihiasi oleh judgemental

Kehidupan adalah sebuah perjalanan menuju ke alam kekal abadi. Dalam menempuh perjalanan seringkali kita berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran yang boleh menjadikan kita lebih matang. Tidak salah merenung kata2 bijak pandai "Kehidupan dunia adalah ibarat ujian yang dihadapi oleh seorang mahasiswa dalam kehidupan universiti sebelum menerima segulung ijazah di hari konvokesyen nanti" Berjaya atau tidak kehidupan kita itu terpulang pada diri kita semua menghadapi cabaran yang mendatang.


Allah mengajar kita agar menitipkan doa memohon kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Kita juga selalu diperdengarkan dengan maksud kalamNYA iaitu, Allah tidak memberikan sesuatu ujian kepada hamba2NYA kecuali apa yang termampu bagi mereka. Apa jua ujian sama ada berbentuk kesenangan atau kepayahan kesemuanya hikmah yang tersendiri. 


Kadangkala aku ni sebagai manusia berkeluh kesah juga. Pernah sekali tu tayar kereta pancit pagi2 hari sebelum nak pergi kerja. aduhh..punyalah susah nak ambil tayar gantian dan menukar tayar yang pancit tu. sambil aku membuka tayar sambil hatiku mengeluh juga. silap aku juga sebab tidak periksa dulu keadaan kereta sebelum hidupkan enjin. sudahlah kereta hanya sebijik jak, mau tak mau terpaksa la juga ganti tayar dulu baru dapat pergi kerja. penatnya aduhai susah mahu digambarkan sebab aku jarang buat kerja2 mcm ni.


Berbalik pada isu pak dan mak mentua yang tidak dapat menerima bakal menantu mereka yang ada HIV, ingin aku tegaskan di sini, aku bukanlah memuatkan entry tersebut disebabkan aku ingin menunjukkan betapa judgementalnya bakal2 pak dan mak mentua ni. aku cuma ingin beritahu kepada sesiapa sahaja di kalangan ODHA tentang implikasi yang mungkin terpaksa mereka hadapi andai pilihan hati mereka dipunyai oleh pak dan mak mentua yang tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka adalah hiv+.


Memang benar, ada juga di kalangan pak dan mak mentua yang boleh menerima mereka seadanya. tetapi jangan lupa, masih ada di luar sana yang masih tidak dapat menerima diri ODHA. jangankan mereka, sedangkan di kalangan staf2 KKM sekalipun ada juga yang bersikap tidak sepatutnya terhadap golongan ODHA. seperti aku la, aku dah alami semua itu, so aku tahu la mcm mana.  mungkin ada pihak2 yang menganggap golongan ODHA yang mencipta pemikiran judgemental dan prejudis di kalangan orang lain. 


Bagi aku, itu bukanlah satu bentuk diskriminasi golongan ODHA terhadap golongan bukan ODHA. Ia hanya bentuk2 konflik yang boleh jadi dihadapi oleh golongan ODHA sendiri di luar sana yang mungkin bakal dihadapi oleh ODHA itu sendiri. Pernah seorang pakar motivasi menyarankan kepada kita, kalau kita mempunyai dua pilihan dan kita hanya diberi peluang memilih satu sahaja, kita tentu berasa buntu. untuk mengelak kebuntuan itu terus menerus kita alami tanpa berpenghujung, catatkan kesemua kebaikan dan keburukan pilihan2 yang kemudian bolehlah membuat penilaian sendiri mana yang terbaik buat diri sendiri.


Kesemua ini kita sudah pernah lalui jika kita belajar menggunakan akal fikiran dengan cara yang sepatutnya. Kita diajar agar berfikir secara bersistematik sebelum membuat keputusan. ini akan menjadikan kita lebih matang. baik dan buruk sesuatu perkara perlu diperhalusi sebelum membuat pilihan. contoh yang paling mudah, kalau kita minat mau beli minuman dan kita cuma ada bajet yang sedikit sedangkan kita terlalu dahaga. tak kan lah kita terus saja beli tanpa bertanya dulu dan buat perbandingan supaya kita tahu di mana tempat yang menawarkan harga yang sesuai dengan bajet kita.


Bagi aku, aku ok dengan semua orang. cuma orang saja yang mungkin tidak ok dengan aku apatah lagi bila mereka tahu status aku yang sebenarnya. tetapi itu tidak bermakna aku adalah seorang yang menjauhkan diri daripada masyarakat dan membina tembok2 pemikiran sendiri yang menghalang aku berhubung dengan dunia luar. tidak sama sekali. tidak pula aku terfikir untuk memberitahu statusku sewenang2nya dengan sesiapa pun tanpa mengetahui implikasinya terhadap diriku sendiri.


Aku mungkin masih belum ada keyakinan untuk berbuat begitu. tetapi buat apa la aku melakukan perkara yang boleh membuatkan diriku sendiri terjerat. jika di negara2 Eropah, rata-rata masyarakatnya sudah faham dan menerima golongan ODHA, di Malaysia ni entah bila KESEMUA masyarakatnya dapat menerima golongan ODHA seadanya.


Jadi kepada ODHA2 sekalian, pandangan yang menyeluruh dalam isu ini diperlukan agar kita tidak terlalu kecewa dan dikecewakan. Pandang kiri pandang kanan depan dan belakang sebelum mengatur langkah agar tidak terjatuh dan membahayakan diri. seorang komando yang terlatih perlu melalui latihan yang pelbagai dan mencabar dalam bentuk teori dan praktikal dsb sebelum dia layak ditauliahkan sebagai komando yang tahan lasak. Tambahkan ilmu dan banyakkanlah bertanya kepada rakan2 senasib. aku juga menghargai tiap mereka yang bukan ODHA yang menerima kehadiran golongan ODHA seadanya. Penerimaan seperti ini membuktikan masih ada insan2 yang sudi menerima sekalipun diri adalah pembawa HIV positif. Tetapi jangan terlalu berharap sangat. 


Kecewa? kecewa sebab tidak semua orang "accept" golongan PLHIV?Oh tidak sama sekali. Bukan senang nak ubah pemikiran orang lain terhadap isu PLHIV yang sudah saban tahun menjadi polemik yang tidak berkesudahan. Aku percaya pada qada dan qadar allah. Rezeki Allah yang berikan bukan manusia. Kasih sayang allah lebih agung dan tidak ada sempadan dan batas walaupun di kalangan mereka yang mengingkari perintahNYA pun masih diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan. benarlah kata tua2, jika kita buat jahat, balasan tidak akan datang cepat seperti halnya orang yang memakan lada, terus terasa pedasnya.

(Aku lebih mengharapkan kasih sayang Allah daripada kasih sayang manusia yang adakalanya mengharapkan sesuatu)




Sunday 28 October 2012

Status ODHA; Implikasi terhadap bakal pak dan mak mertua yang stigma dan prejudis.

Perbualan antara seorang anak gadis dengan ibu bapanya...

Ayah : Eh Ina, kenapa asyik termenung je ni, teringatkan sapa ni?

Ina : Eh ayah...erm tak la ayah...( berasa terperanjat kerana lamunan diganggu oleh ayah)

Ayah : cuba cerita dengan ayah dan mak, manalah tahu kalau boleh kami tolong..

Emak : ya tak ya la ina ni...kan mak dan ayah masih ada, janganlah sembunyikan masalah ina tu dari kami. kalau kami dah takda sapa lagi tempat ina nak meluahkan perasaan kan..

Ina : Ermmm mcm ni la ayah, mak... Ina sekarang ni berasa buntu la. nak teruskan perhubungan susah dan putuskan dah timbul rasa sayang yang mendalam. tambahan pula dia tu baik dan patuh pada ajaran agama.

( Ayah dan emak saling berpandangan. Rasa ingin tahu mereka semakin membuak2. Persoalan demi persoalan cuba dilontarkan kepada ina untuk mengetahui perkara yang sedang bermain di fikiran anak gadis mereka. Lantas Ina mula membuka bicara untuk berterus terang tentang masalah yang menyelubungi dirinya ).

 Ina  : Ayah...mak, jangan terkejut tau dengan apa yang ina nak cakap ni. ( Lama ina berfikir seolah2 memikirkan pembuka bicara yang sesuai untuk memberitahu rahsia yang disimpannya selama ini kepada ayah dan ibunya. ayah dan ibu pula semakin resah dan gelisah selagi mereka tidak tahu apa yang ingin disampaikan oleh ina)

Ina : begini ayah mak.... tentu ayah dan mak tahu hubungan ina dengan farid kan?

Emak : kenapa pula dengan hubungan korang berdua? ada masalah ke?

Ayah : ye tak ye, selama 5 tahun korang berdua kenal tak pernah sekalipun korang merungut di antara satu sama lain. lagipun ayah dah kenal lama dengan ayah si farid tu sejak kami sekolah rendah lagi. keluarganya pula baik2 belaka. sepanjang ayah kenal dengan keluarga mereka tu, ayah dianggap seperti anak mereka sendiri tambahan pula masa ayah bersekolah dulu ayah tinggal di asrama. kebetulan keluarga ayah farid tinggal berdekatan dengan sekolah kami berdua. jadi tiap2 minggu keluarga mereka selalu menjenguk ayah.

Emak : Ina, beritahulah kami, ina ada masalah dengan farid ke? lagipun korang berdua tak lama lagi berkahwin. persiapan dah lama diatur dan keluarga semua dah tahu.

( Ina semakin rasa berat hati untuk memberitahu perkara sebenarnya dengan kedua ibubapanya. namun memikirkan bahawa perkahwinan adalah masa depan, ina mula menguatkan semangat untuk meluahkan apa yang terbuku di hati)

Ina : Ayah mak, ina minta maaf banyak2 andai apa yang ina luahkan ini boleh menyebabkan hubungan antara kita dengan keluarga abg farid menjadi renggang. ina tak bermaksud demikian.

Ayah : Ceritalah nak.. kami sedia mendengarnya.

Ina : begini ayah mak.... baru2 ni saya dan abg farid ada buat pemeriksaan kesihatan. dalam laporan kesihatan yang doktor keluarkan didapati abang farid adalah seorang HIV positif.

( mendengar perkataan HIV POSITIF, jantung ayah dan ibu ina seolah2 dipanah petir. mereka berdua sangat terkejut)

Ayah : mcm mana boleh jadi begitu? astaghfirullah...... farid farid..... kenapa tetiba dia pula jadi pembawa hiv positif..ayah tak sangka pula farid tu macam tu ye.

Mak : ina, mak tak setuju awak berkahwin dengan farid. baik putuskan saja perhubungan ina dengan dia. ada ramai lagi lelaki lain yang lebih layak untuk ina bukan hanya farid sorang je.


Situasi yang baru saja aku paparkan di permulaan entry adalah antara cebisan kisah yang berlaku di kalangan mereka yang berstatus HIV  positif di mata bakal ayah dan mak mertua. aku percaya kisah ini pernah berlaku di mana2 saja. yang menjadi mangsa adalah mereka yang berstatus hiv positif. aku percaya tidak semua ibu dan bapa di dalam dunia ini mahu agar anak mereka memilih untuk berkahwin dengan lelaki maupun perempuan yang ada hiv.


siapa saja berhak untuk mendapatkan pasangan dan menantu yang terbaik buat diri mereka. jadi aku tidak hairan andai kisah yang dipaparkan di permulaan entry ini berlaku lebih dahsyat lagi daripada apa yang digambarkan. di kalangan ibu bapa, mereka memikirkan bahawa di luar sana lebih ramai lagi lelaki atau perempuan yang lebih baik buat anak2 mereka walaupun anak2 mereka menerima calon pilihan mereka yang ada hiv seadanya. 


ini mungkin disebabkan kejahilan pengetahuan mereka berkenaan HIV dan AIDS. tidak dapat dinafikan juga mereka bertindak begitu atas dasar sayangkan anak mereka dan tidak mahu anak2 mereka dijangkiti atau ditakdirkan menjadi duda atau janda dalam keadaan usia perkahwinan yang terlalu singkat. mungkin juga mereka tidak mahu menerima keturunan2 mereka yang dicemari oleh virus hiv yang boleh membunuh sesiapa sahaja tanpa mengira pangkat dan darjat lantaran perkahwinan dengan pembawa hiv positif.


aku tidak akan memperkatakan isu ini menerusi perspektif agama kerana kita tahu agama sudah tentu mempunyai penyelesaian yang adil sama ada di pihak bakal mertua dan bakal menantu yang berstatus hiv positif. aku cuma ingin membawa perhatian semua kepada sikap segelintir bakal mertua/ibu bapa yang amat takut dan tidak setuju jika anak2 mereka memilih bakal pasangan hidup yang hiv positif. aku tidak tahu jika aku berada di pihak bapa yang mempunyai anak gadis/anak teruna yang bakal dijodohkan dengan lelaki/perempuan yang berstatus hiv positif.


ramai yang berkata, buat apa mendukung biawak hidup kerana ia menyusahkan diri sendiri. jika diteliti ada juga kewajaran istilah itu diterimapakai. namun jika difikirkan di sudut hak seorang yang berstatus hiv positif, memang ada lagi perkara yang patut diperhalusi. memang senang nak menolak pilihan yang dianggap buruk di mata kita tetapi cuba kita fikirkan seketika bagaimana jika perkara itu berlaku pada ahli keluarga atau pada anak2 kita? ingatlah bahawa dunia ini ibarat roda. hari ini kita mungkin terlalu selektif dalam isu ini tanpa memikirkan sedikitpun hak orang lain. tetapi harus diingat suatu masa andai ujian itu terjadi ke atas diri kita, di situlah kita akan tahu betapa peritnya nasib seorang PLHIV. berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.


Allah telah tentukan ajal, jodoh, rezeki dan maut kepada setiap hamba-hambaNYA.













Thursday 25 October 2012

Konsistensi dalam pengambilan HAART

Tahun demi tahun kita menyaksikan peristiwa yang amat besar dalam kalendar iaitu sambutan hari raya aidil adha. Ia menjadi simbol betapa agungnya islam kerana sambutan ini melambangkan penyatuan dan kekuatan umat islam seluruhnya tak kira berasal dari latar belakang mana dan status apa sekalipun tetap sama pada pandangan allah. Berbeza dengan pandangan manusia sering saja pandangan membeza2kan sesama manusia termasuk dalam isu melibatkan golongan PLHIV.


Tahun ini adalah tahun pertama aku menyambut Aidil Adha dalam keadaan menerima rawatan atau dengan kata yang mudah, makan ubat HAART. Alhamdulillah, aku semakin dapat membiasakan diri dengan ubat ini walaupun pernah sekali aku tak sempat makan sebab terlalu letih dan tak dapat bangun dari tidur. Terbangun saja sudah pukul 4:30 pagi lebih 6 setengah jam dari waktu yang sepatutnya aku makan ubat iaitu pukul 10 malam. Aku menjadi panik sebab baru pertama kali aku terlepas dos ubat yang disyorkan oleh doktor.


Aku pun tidak tahu kenapa diriku tidak dapat bangun pada malam itu sedangkan aku telah setkan jam berbunyi pukul 10 malam. Mungkin sebab terlalu penat. Bila aku terjaga keadaanku agak kelam kabut juga. Risau pun ada sebab aku pernah terbaca tentang keberkesanan ubat menjadi kurang disebabkan daya rintangan virus yang meningkat jika aku tidak makan ubat mengikut masa yng ditetapkan. Aku akui ia disebabkan kelalaianku sendiri. Aku berharap keadaan ini tidak terjadi lagi.


Selepas kejadian itu aku semakin berhati2 sebab aku tidak mahu ia berulang lagi. Maklumlah ubat yang diberikan padaku perlu dimakan sepanjang hayat secara konsisten bagi menjamin tahap kesihatan yang baik. Aku harus merebut peluang ini kerana jika aku bersikap acuh tak acuh aku sendiri yang akan rugi. Bayangkan jika ubat yang aku makan sekarang ni sudah tidak berkesan terhadap diriku, pasti doktor akan menukar pula ke kombinasi ubat yang lain. Kesannya belum tahu lagi macam mana terhadap diriku. Sekarang ni pun aku patut bersyukur kerana kesan yang luar biasa itu hanya aku rasai selama dua hari pertama sahaja kemudian selepas itu ia semakin berkurangan.


Aku juga tidak dapat bayangkan jika aku terpaksa makan ubat yang dalam kategori "second line HAART". Aku dapat tahu, kalau "first line HAART", ubat yang diberi adalah percuma berbanding kalau yang satu lagi, berbayar dan kos mencecah RM900 lebih sebulan. Jadi aku perlu lebih komited lagi memakan ubat yang ada sekarang ini.


Aku pernah dengar dari rakan peer support yang menceritakan kepadaku pengalamannya sebelum ini. Kebetulan dia juga makan ubat yang sama jenis denganku. CD4nya naik sampai 1500 masa itu. Oleh sebab dia terlalu yakin sudah dengan bilangan CD4nya yang kembali normal seperti orang yang sihat, dia pun sengaja berhenti daripada mengambil ubat yang diberi oleh doktor. Aku tidak pula bertanya atas alasan apa dia berbuat demikian. Mungkin dia tidak suka terikat dengan masa makan ubat yang perlu dijaga setiap hari. 


Kemudian, hari demi hari, minggu berganti minggu bulan berganti bulan tahun berganti tahun. Akhirnya, dia sendiri yang menerima akibatnya. Diceritakan bahawa dia mengalami masalah kulit kesan penurunan CD4nya. Pada masa itu, dia mula sedar bahawa apa yang telah terjadi adalah disebabkan oleh kesilapannya sendiri. Dia berjumpa doktor semula dan selepas diperiksa, doktor mengarahkan dia menyambung semula rawatan dan meneruskan semula pengambilan ubat HAART yang dia tinggalkan.

Tanpa banyak bicara dia pun menerima nasihat doktor dan pada hari ini CD4nya naik semula tetapi hanya setakat 700-800 sahaja. VL pun turun sehingga bawah 20. Tak apa la katanya yang penting VL tidak tinggi. Cuma aku terfikir jika dia konsisten dengan pengambilan ubat HAART kali pertama mungkin CD4nya akan kekal 1000 ke atas. Itulah kisah yang aku jadikan sebagai pengajaran agar aku sama sekali tidak mengambil ringan soal pengambilan ubat HAART ini. 


Aku terfikir kerajaan sudah membelanjakan kos yang banyak untuk menampung kos ubat2an ini untuk aku dan yang lain2 jadi kenapa pula aku tidak merebut peluang yang hanya ada mungkin sekali dalam seumur hidupku untuk menjadi lebih sihat? aku tidak tahu kalau aku ditakdirkan menjadi penduduk negara lain yang taraf ekonominya lebih rendah dari negara ini. tidak mungkin aku dapat menikmati apa yang aku nikmati sekarang.


Wednesday 24 October 2012

Kehadiran dalam kerjayaku

Tika dan saat ini adalah detik2 aku dihimpit oleh pelbagai tugas yang datang mencurah2. Di penghujung tahun begini sudah jadi lumrah buat diriku disesakkan dengan pelbagai kerja yang dirancang dan tidak dirancang. namun sebagai seorang kuli aku sudah cukup faham bahawa itu adalah asam garam kehidupan sebagai orang bawahan. Jangankan pegawai biasa, menteri dan orang2 bisnes sekalipun selalu saja berdepan dengan bermacam2 kesibukan.


Benarlah kata bijak pandai bahawa dunia mutakhir ini adalah dunia yang dipenuhi dengan kesibukan. Jika aku cuba bandingkan dengan kehidupanku sekarang dengan kehidupanku 10 tahun yang lepas, ia agak jauh berbeza dari segi pengurusan masa. kalau 10 tahun lepas aku hanya bergelar seorang mahasiswa yang hanya sibuk dengan buku2 dan tugasan2 yang diarahkan namun  kini apabila aku telah berada di alam pekerjaan kesibukannya jelas amat meletihkan dan adakalanya aku tidak larat untuk meneruskan saki baki kerja yang perlu disiapkan.


Kelmarin aku dipanggil oleh bos no 2 di tempat kerjaku. Sejujurnya dia ni kalau ada hal penting mesti mcm tu mesti panggil stafnya masuk dalam bilik bincang. aku respek dengan caranya yang begitu. yang paling aku pantang, kalau dia bos, tetapi menegur depan2 orang lain seolah2 aku ni budak2. Tunggu lah bos jenis macam itu tahulah aku nak kerjakan macam mana. Aku ni sejahat2 manusia juga tau tak kira dia siapa apa aku nak takut!! aku tak perlu rasa takut sebab dia pun manusia seperti aku. Dia juga orang bawahan makan gaji dari upah duit rakyat yang ditadbir urus kerajaan jadi jangan nak tunjuk lagak la depan aku. Walaupun dia tu bos tp ada lg yang lebih tinggi pangkatnya dari dia. Setinggi2 pangkat pun orang itu tak kan ada ertinya kalau tidak ada orang2 yang lebih bawah dari dia. Jadi elok jangan bersikap menongkat langit sebab aku memang tidak suka dengan orang macam itu.


Bila aku melangkah masuk ke dalam biliknya, dia menunjukkan kepadaku senarai beberapa orang staf dari jabatan lain yang hadir tanpa sebab ke tempat kerja dan mereka dikehendaki mengemukakan surat tunjuk sebab.


Di sebalik nama2 staf yang tersenarai itu rupanya2 ada plak namaku. Bila aku periksa rupanya2 kehadiranku pada bulan Januari baru2 ini menimbulkan keraguan kerana yang diicatatkan disitu bahawa ketidakhadiranku adalah atas alasan temujanji doktor. Tanpa berlengah, aku terus mengambil buku kedatangan staf yang ditandatangani setiap hari. Bila aku rujuk tarikh yang dikatakan aku tidak hadir, ternyata pada tarikh tersebut aku ada di tempat kerja. 


Aku mula mempersoalkan kenapa namaku termasuk dalam senarai staf yang bermasalah kehadiran sedangkan dalam buku kehadiran tu aku hadir pada hari yang dimaksudkan. Aku mula menunjukkan reaksi yang agak sedikit berang. Entah di mana silapnya tiba2 aku dikatakan tiddak hadir padda hari tersebut.


Lantas mungkin bos no 2 tu perasan suhu kemarahanku mula naik, dia pun mulalah bercakap topik2 lain. Kulihat dia seolah2 tidak ada modal untuk bercakap dan mula melalut lalut tak tentu arah. Aku cuba mengawal panas baranku di depan bos itu sebab aku ni jenis yang laser dan kuat melenting juga kalau ada yang tak kena.


Mengetahui aku selalu saja ada temujanji doktor, bos itu mula mengalih perhatianku. Katanya, bagus kalau ada buku temujanji yang dibawa oleh mereka yang mendapatkan rawatan doktor disertakan salinannya dalam laporan kehadiran bulanan. Dalam hatiku, kenapa sebelum ini tidak pernah pun dia minta salinan buku temujanji doktor tu? Bukankah sudah memadai jika ada sijil cuti sakit dari doktor hospital kerajaan sebagai bukti bahawa aku ada temujanji atau sakit? Apa hal pula dia nak minta salinan buku temujanji tu? Adakah dia hanya mahu menutup kelemahan sendiri sebab dah terang2 dia yang silap key in maklumat? Hari ini aku akan tanya lagi hal ini. Aku nak serbu biliknya biar sampai dia jadi "speechless". Moral of the story, jangan pandai2 "key in" orang tidak hadir sedangkan orang tu hadir.... ndak pasal2, ada yang mengamuk..

Saturday 13 October 2012

Kemarahan dan amarah

Kehidupan yang serba mencabar banyak menuntut aku untuk lebih banyak bersabar di saat aku masih lagi mempunyai gelora darah muda yang membuak2. Adakalanya kesabaran itu sukar untuk dijaga lantaran api kemarahan yang menyala2. itulah diriku jika dibebani oleh tugas yang terlalu banyak aku mudah jadi pemarah dan mudah sangat mengeluarkan kata2 yang kesat. tapi bila dah sejuk, aku mula terfikir balik kata2 yang aku hamburkan tadi memang tak patut aku cakap macam itu.


aku terfikir beberapa tips yang boleh menjadi panduan untuk mengawal kemarahan iaitu :


Berfikir secara positif

 Bersikap positif hadapi ujian boleh semai sikap sabar........

ORANG yg lekas marah ialah orang yg tidak sabar n apabila krg sabar, selalunya kita akan cepat marah. Akibatnya, byk perkara dilakukan @ keputusan dibuat didorong emosi bukan rasional akal fikir kita. Rasa marah bukan saja kpda mrka yg ada di sekeliling kita disebabkan pelbagai punca, malah perasaan itu turut ditunjukkan kpda Allah terutama apabila kehendak n permintaan tidak dipenuhi slps puas berdoa memohon.


Belajar dari hadis2 nabi

Terdapat banyak hadis nabi yang menyebut tentang marah. adalah menjadi kemestian bagi kita untuk memilih hadis yang berkualiti dari segi rawi dan matan yang dipercayai dan bukannya hadis2 tangkap muat saja tanpa mengetahui bagaimana kedudukan hadis tersebut adakah ia sohih mahupun hadis palsu. kena banyak belajar dan bertanya supaya panduan yang ada pada kita adalah benar2 sesuai dijadikan panduan.

Diriwayatkan drpd Abu Hurairah, seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Berwasiatlah kepadaku. Lalu Nabi SAW menjawab: Janganlah engkau menjadi seorang yg pemarah. Orang itu mengulangi permintaan bbrpa kali, Nabi SAW menjawab: Janganlah engkau menjadi seorang yg pemarah.” (Hadis riwayat al-Bukhari)


 Bersangka baik terhadap Allah

Keyakinan pasti tertanam dalam sanubari kita bhwa Allah tidak mendatangkan ujian kpda hamba-Nya yg di luar kemampuan mrka. Maknanya, ujian yg datang sebenarnya mampu kita tanggung berbekalkan ketabahan serta kesabaran. Jika diteliti, setiap kesukaran dihadapi selalunya diakhiri dgn kemudahan dan nikmat dirasakan apabila kita berjaya mengatasi segala kesusahan tidak dapat digambarkan atau diluahkan dgn kata2. 

Berserta dgn nikmat itu jg selalunya akan hadir perasaan syukur yg mendekatkan lagi kita dgn Allah krna apabila berdepan musibah, kuasa yg paling layak kita berpaling memohon pertolongan ialah Allah SWT. 


Oleh itu, biar betapa besar dugaan, kesusahan @ kesakitan yg terpaksa kita tanggung, jgn mudah marah. Sebaliknya, cuba tangani dgn sabar serta berusaha mencari jalan keluar krna janji Allah setiap kesukaran akan ada jalan keluarnya. Malah, ada antaranya yg kita tidak pernah terduga. Jadi bagi yg kecewa krna doa masih belum makbul, jgn putus asa. Perancangan Allah adil untuk hambanya. Jika bukan di dunia, hadiahnya menanti di akhirat nanti. Bersamalah kita berusaha mengawal marah dan menyemai sabar. 


Kredit buat  http://irrfiqa.blogspot.com/2011/10/elak-kemarahan-kuasai-diri.html

Wednesday 3 October 2012

Orang2 HIV, ke manakah dan di manakah mereka tika ajal menjemput

Alhamdulillah, aku bersyukur kepada allah kerana diberikan nikmat iman dan islam sehingga kini aku berada di bawah dua naungan entiti yang tidak dapat dipisahkan. umpama stocrin dan tenvir em yang aku makan sekarang la kan hu hu hu.... erm, apapun, dua ubat ini hanya asbab sahaja tetapi yang menjadi penentu kepada keberkesanannya semua bergantung pada ALLAH.


Rasa hati ini terpanggil untuk membuat satu entry khusus bagi golongan PLHIV yang menghadapi konflik penerimaan masyarakat yang masih lagi dikelabui stigma dan diskrimnasi. Aku menganggap isu ini sangat serius kerana ia melibatkan isu agama dan kepercayaan juga terheret sama.


Jika kita tanya, siapa golongan plhiv ini, rata2 mereka ini adalah golongan melayu dan beragama islam. Maknanya, mereka itu adalah saudara-saudara kita sebangsa dan seiman di dunia manakala di akhirat kita adalah sekelompok besar keluarga yang dikira susurgalurnya bermula daripada nabi adam sehingga ke generasi yang terakhir. 


Mengapa aku mengambil kira ia sebagai perhitungan yang penting? Kerana Allah akan menyoalsiasat golongan kelompok besar inilah an pada masa itu sudah tidak ada lagi istilah kau ada hiv aku takda.


Menyingkap peristiwa yang pernah terjadi di salah sebuah negeri di semenajnung malaysia, ini lantaran usaha seorang hamba allah yang begitu prihatin mengenai kewajipan dan hak sesama saudara seagama lantaran sebuah keluarga yang mempunyai seorang adik yang dijangkiti HIV dan dalam keadaan yang kritikal. 


Kisahnya begini, adik ni menghilangkan diri dari pangkuan keluarga tanpa diketahui apa puncanya. Lalu, beberapa minggu kemudian, pihak hospital menghubungi ahli keluarganya mengatakan bahawa adik tersebut telah terlantar tenat di hospital dan pihak hospital sendiri menyuruh ahli keluarga adik terbabit mengambilnya dari sana.



Kakak kepada adik tersebut mengambilnya pulang ke rumah. Dengan fikiran yang buntu, dia tidak tahu bagaimana cara untuk mengurus dan menjaga adiknya dengan baik sehinggalah ada pihak yang mencadangkan agar dia menghantar adiknya ke sebuah gereja.


Menurut kakak, mereka takda pilihan lain selain menghantar adik mereka ke sana kerana di Selangor tidak ada tempat yang dibuat oleh orang Islam. Ketika di gereja itu , mereka menjaga adik dengan baik. Mereka suapkan dia makan, jaga ubatnya, mandikan dia, sapu ubat pada badannya, Alhamdulillah banyak peningkatan dia. Dari diusung, sekarang dia sudah boleh berjalan seperti biasa.


Itu adalah antara kisah yang berlaku di balik tabir kehidupan golongan plhiv yang memerlukan pembelaan namun mereka menjadi mangsa akibat kurangnya ilmu dan kesedaran di kalangan ahli keluarga dan masyarakat mengenai peluang2 rawatan dan penjagaan yang sewajarnya kepada mereka yang menjadi mangsa.


Menyusuri kisah tersebut, hamba allah tersebut bersama beberapa orang rakan2nya telah mengambil inisiatif datang melaawat ke gereja terbabit. setelah mengadakan perbincangan bersama rakan2nya mereka akhirnya bertolak ke lokasi yang dituju.


Setibanya di sana, mereka disambut oleh Razak, antara penghuni Melayu yang telah lama tinggal di situ masuk saja ke dalam gereja tersebut, bau kuat ubat terus menusuk hidung, ia seolah-olah sebuah ‘mini hospital’

P7120288

Di belakangnya telah menunggu tidak kurang daripada 20 orang anak-anak Melayu,kesemuanya pembawa virus  HIV melihat saja kelibat mereka, hamba allah dan rakan2nya hampir menitiskan airmata, kesemuanya yang berkain pelikat menyambut mereka dengan wajah yang sedih dan sayu ada yang bertongkat, ada yang berkerusi roda, ada yang sedang demam dan ada yang baru keluar dari wad.

P7120267


Hampir sejam mereka mendengar keluhan hati mereka, mendengar kisah bagaimana mereka dihina, disisih, didiskriminasi dan berbagai lagi

P7120246

Pun begitu, mereka bersyukur kerana sekurang-kurangnya gereja tersebut sudi ‘mengutip’ mereka daripada terus menjadi sampah dalam masyarakat. Selepas itu, berkesempatan bertemu dengan salah seorang paderi di situ, beliau ternyata cukup profesional dan melayan dengan tanpa rasa curiga

Sebagai orang Islam sebenarnya perasaan yang sangat tepat yang ada dalam diri pada ketika itu ialah sangat malu ketika berada di gereja berkenaan bayangkan, walaupun saudara-saudara kita itu bukan dari agama mereka, tetapi saudara-saudara kita itu dilayan bak menatang minyak yang penuh

petugas gereja sedang meniapkan ubat untuk para penghuni gereja



P7120296


Petugas gereja sedang menyiapkan ubat untuk para penghuni gereja. saudara2 kita itu dimandikan, diberi ubat, diberi makan sehingga ke peringkat dipakaikan lampin oleh petugas gereja tersebut.


Tertanya pada diri sendiri, kenapakah kita tidak boleh jadi seperti mereka sedangkan agama kita juga adalah yang terbaik, kita ada al-Quran sebagai panduan, semuanya cukup lengkap tetapi sayang ia tidak diterjemahkan dengan baik oleh para pengikutnya


Selepas kira-kira sejam di gereja tersebut, hamba allah bersama rakan2 berjaya membawa keluar seorang lagi anak Melayu daripada gereja berkenaan, Alhamdulillah, paderi tersebut melepaskannya dengan rela hati

P7120270


Hamba allah dan rakan2 keluar dari gereja itu dengan perasaan yang berbelah bagi…kalau nak dikeluarkan semua anak Melayu di gereja itu, ke mana hendak di bawa mereka ini? Kalau nak biarkan pulak, takut akidah mereka akan terpesong


Ustaz Amin (no 2 dari kiri)


(Kredit kpd Ustaz Amin dan rakan-rakan..moga entry ini memberi kesedaran kepada kita semua bahawa janganlah kerana hiv, maka tanggungjawab kita sesama islam terhakis.kita lihat saja mereka yang bukan beragama islam, dapat menerima dan menjaga golongan plhiv ini ddengan baik walaupun jika difikir dengan logik akal memang tidak patut mereka dibebankan dengan tanggungjawab yang sepatutnya kita boleh lakukan...)

MY RECENTLY POST

SALAM DIHULUR MAAF DIPINTA

Selamat hari raya aidil fitri... Kepada yang telah memulakan haart treatment, jangan lupa makan ubat tepat masa. Sentiasa bawa ubat kalau be...

MY POPULAR POST