Thursday 9 May 2013

Tahap kesihatanku sebagai Pembawa HIV+ lepas 6 bulan dalam HAART

Hari demi hari berlalu tanpa aku sedari dah hampir masuk tahun ke-4 aku hidup sebagai pembawa HIV+. Tarikh 25 November 2009 menjadi penentu segalanya dalam kehidupanku sehingga kini. Sebelum tarikh itu aku amat berbeza dengan aku yang ada sekarang ni.


Sebelum tahu status sebenar diriku, aku jarang ambil berat soal penjagaan kesihatan. Dalam setahun tak pernah sekalipun aku buat pemeriksaan kesihatan kecuali masa mula2 aku melanjutkan pelajaran dan sebelum memulakan alam pekerjaan. Itupun sekadar memenuhi tuntutan yang sewajarnya dibuat oleh semua orang sebagaimana kebiasaannya. Lain dari itu aku tak terfikir pun untuk ambil tahu macam mana tahap kesihatanku.


Sejak memulakan pengambilan HAART 11.11.2012, hingga kini aku amat bersyukur dengan tahap kesihatanku. Kebimbangan yang mula2 aku rasai tentang risiko ubat HAART terhadap diriku sudah lenyap. 6 bulan pertama aku rasa semakin sihat. Jarang dapat demam selsema dan batuk. Tetapi selepas dua kali temujanji dengan doktor, kadar kolesterol dalam darahku meningkat pula. Aku dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan makanan berminyak. CD4 pula naik. Sebelum HAART, 319, lepas 4 bulan HAART naik hampir 400. Kadar VL pula buat masa ni masih belum dapat diketahui disebabkan masalah teknikal.


Sebenarnya masa darahku diambil, aku tidak pernah puasa sebagaimana yang diarahkan. Pagi sebelum darahku diambil, aku bersarapan seperti biasa. Mungkin sebab itulah kadar kolesterolku naik. Itupun belum sampai ke tahap berbahaya. Salah aku juga yang tidak patuh arahan doktor.


Dalam menempuh hari2 sebagai pembawa HIV, aku juga sempat meluangkan masa membantu rakan2 senasib yang berada senegeri denganku. Aku bersyukur sebab dengan pengalamanku mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth KK, aku dapat membantu beberapa orang lagi untuk mendapatkan rawatan di sana. Tidak seperti aku masa mula2 datang ke Queen, aku langsung tidak ada arah panduan. Bayangkan hospital yang begitu luas macam mana aku tercari2 "id clinic". 











Wednesday 1 May 2013

AzamAli selepas 6 bulan HAART

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua sahabat di luar sana. Sudah lama blog ini sepi dan lesu tanpa ada sebarang input yang dikongsikan. Begitulah senario yang terpaksa dihadapi oleh insan pemilik blog http://akuinginbelajarsesuatu.blogspot.com bernama Azam. Setiap hari ada saja komitmen yang dijadikan keutamaan sehingga blog ini sudah tidak pernah "update" sejak beberapa bulan lepas. Walaupun antara azam baru 2013 ialah menjadikan blog ini lebih aktif dan bermanfaat buat insan2 di luar sana yang memerlukan.


Realitinya kita hanya membuat perancangan tetapi yang lebih berkuasa adalah tuhan yang maha esa. Jauh di sudut hati wujud juga perasaan kesal sebab keterbatasan yang melanda diri menjadikan suasana blog ini kelihatan suram berbanding di peringkat awal kewujudannya iaitu ketika aku masih di peringkat "down". Dalam pada itu, aku juga tidak dapat "join" aktiviti yang dianjurkan oleh PSWG sejak sekian lamanya.


Sebelum ini aku rajin jenguk blog ni dan blog kawan2 senasib sambil berkongsi perasaan, pengalaman dan apa jua yang dihadapi sepanjang memegang status PLHIV. Bukanlah aku bermaksud melupakan dari mana dan bagaimana hingga aku menjadi seorang yang begitu kuat pada hari ini. Senang cakap ibarat kacang lupakaan kulit. Aku juga punya tekad untuk menjadi seorang yang giat memberi sumbangan dalam kehidupan PLHIV. Semua itu aku lakukan mengikut tahap kemampuanku. 


Masa yang sama aku  tidak akan sekali kali menjadikan diriku dan tanggungjawab2 lain terabai. Aku tidak mahu menjadi antara yang tergolong dalam perumpamaan kera di hutan disusukan anak di pangkuan mati kelaparan. Sebagai PLHIV, aku perlu jadikan tahap kesihatan diriku sebagai prioriti utama dalam hidup. Kalau aku sakit, siapa yang akan menguruskan diriku? bagaimana aku dapat menunaikan tanggungjawabku sebagai insan dan hambaNYA. 


Sebagai PLHIV, aku perlu ambil berat soal kesihatan diri. Pengambilan ubat HAART mesti dipatuhi setiap hari mengikut arahan doktor. Tarikh temujanji dan mengambil sampel darah mesti aku ingat dan pastikan tidak terlepas peluang. Itulah rutin yang WAJIB bagiku sebagai PLHIV. Setakat ini tahap kesihatanku sudah semakin bagus. Doktor berpuas hati dengan perkembanganku sejak mengambil ubat HAART 6 bulan lepas. Bagiku tidak ada lagi yang perlu aku risaukan setakat ini.


Sebagai manusia biasa aku juga pernah terabai waktu pengambilan ubat HAART. Kali pertama aku tertidur awal. Jam 4:30 pagi baru aku terjaga. Masa itu aku betul2 panik. Pernah juga aku terlewat sejam mengambil HAART. Atas perkongsian nasihat dan pengalaman kawan2, aku jadikan sebagai panduan supaya kelalaian ini tidak berulang. Peluang mendapat ubat HAART "first line" yang masih lagi percuma mesti aku manfaatkan sebaik2nya. Jangan sampai kecuaianku membawa kesukaran hingga aku terpaksa ditukarkan ubat ke "second line" HAART  yang lebih mahal dan berbayar.



Kepada mereka yang masih lagi berasa sangsi mengenai rawatan HAART dan bercadang untuk mengelak walaupun sudah sampai masa doktor bagi arahan untuk makan ubat, fikir2kanlah. Kita tidak ada pilihan lain untuk menjamin kesihatan yang lebih baik. Jangan terlalu percaya dengan bermacam2 suplemen juga rawatan2 alternatif kononnya boleh menyembuhkan PLHIV. Kita masih lagi berharap pada keajaiban dari yang maha esa namun jangan sampai kita tidak berpijak di bumi yang nyata.


 





MY RECENTLY POST

ISU PLHIV MEMBELI UBAT HAART SECARA DALAM TALIAN

Tular isu mengenai PLHIV dari sebuah laman medsos yang menyatakan tentang segelintir PLHIV yang membeli ubat secara online dengan kadar harg...

MY POPULAR POST