Friday 5 July 2013

temujanji 1.07.2013 ( part 2 )

Ketibaanku di QEH seawal 6:30 pagi amat melegakan diriku. Aku tidak perlu  lagi menunggu lama2 sebab aku mungkin dalam kelompok yang terawal dipanggil oleh doktor. Mungkin aku tak perlu kelam kabut ke airport mengejar masa 1:55ptg penerbanganku dari KK ke Tawau. Pernah sebelum ni aku terlewat hanya beberapa minit, cik yang jaga pintu masuk tu langsung tak tolak ansur. Alih alih malam tu terpaksa naik bas, 9 jam perjalanan ke Tawau. Tiket flight jangan cerita hangus begitu saja.


Mudah2an kali ni berjalan dengan lancar. Sampai je di kaunter pendaftaran, aku menyerahkan buku temujanji doktor sambil menunggu giliranku dipanggil. Kulihat aku giliran yang kedua. Lega rasanya. Dalam pada itu, jururawat yang menjaga kaunter pada hari tu memaklumkan doktor2 klinik ID sedang berada di KL menghadiri Seminar IAS 2013. Jadi hari ni QEH memang kekurangan doktor. Dimaklumkan doktor yang ambil alih tugas hari ni perlu meninjau pesakit2 lain di wad sebelum memulakan tugas di ID klinik.


Sedikit keresahan mula datang dalam diri namun aku tetap berdoa agar temujanji kali ini tidak akan mengambil masa yang lama akibat terpaksa menunggu doktor dari wad unit lain mengisi kekosongan di unit ID. Aku duduk seperti biasa di ruangan menunggu sehingga pukul 9 pagi. Biasanya waktu ni doktor sudah mula memanggil masuk ke bilik rawatan tapi kali ni tidak pula.


Aku bertanya kepada jururawat di kaunter pendaftaran bila doktor ganti tu datang. Mereka pun tak dapat memberikan ketetapan sebab doktor yang ada perlu menghabiskan tugas di wad lain sebelum mengendalikan kami di unit ID. Sampai pukul berapa entah tak tahu lagi. 


Tepat pukul 10 pagi, doktor belum juga sampai. Kebetulan rakan peer support, Christopher yang baru saja datangsempat berjabat tangan denganku. Lama aku tidak berjumpa dengannya. Sambil berbual2 panjang kami menuju ke kafetaria menikmati minuman pagi. Dia memberitahuku satu isu yang memang aku sedia maklum isu melalui Secret group PWSG iaitu isu TPPA. Mungkin dia menyangka aku tidak tahu tentang isu tersebut. Sebenarnya menerusi kawan2 dalam secret group itu, aku banyak dapat maklumat sejauh mana kesan TPPA terhadap PLHIV khususnya dan pesakit2 lain amnya. Mendengar penjelasanku sedikit sebanyak membuatkan Christoper yakin bahawa aku sentiasa mengikuti arus perkambangan semasa terutama yang berkaitan dengan isu TPPA ini.


Jam menunjukkan pukul 11 pagi. doktor masih juga belum kelihatan. Mengisi masa yang terluang aku sempat berjumpa dengan beberapa orang rakan senasib yang baru kukenal pada hari ni. Salah seorang dari mereka tahu penerbanganku pukul 1:50ptg menyarankan agar aku berbincang dengan petugas ID klinik agar memberikan ubat saja kepadaku manakala tarikh temujanji diubah ke tarikh lain agar aku tidak terlewat ke lapangan terbang.


Selesai berbincang dengan jururawat bertugas dan kaunselor QEH, Joseph, mereka pun tidak dapat membantu aku sebab hanya doktor saja yang boleh memberikan priskripsi ubat. Terpaksalah aku menunggu dengan penuh debaran.


Pukul 11:15, kelibat seorang wanita muda yang agak lincah masuk ke kaunter pendaftaran klinik ID. rupanya itulah doktor yang ditunggu2. Selepas meneliti fail2 pesakit yang sudah disusun di kaunter pendaftaran, giliran yang pertama mula dipanggil dan seorang lelaki berusia lewat 40-an yang duduk di depanku memasuki bilik rawatan. Selepas ni aku pula.

Tidak lama kemudian, kelihatan sepasang suami isteri berbangsa Cina datang ke kaunter pendaftaran bersama seorang doktor Cina lelaki membawa fail. Suami isteri itu duduk di sebelahku manakala doktor Cina yang mengiringi mereka tadi menyerahkan fail kepada jururawat di kaunter. Kulihat suami wanita Cina tu kurus kering je. Dalam hatiku, confirm la dia ni sakit.

Dengan tidak semena2 doktor Cina yang tidak beradab itu masuk ke dalam bilik rawatan dan menyerahkan fail yang dibawanya kepada doktor di sana. Tidak lama kemudian, suami isteri yang duduk di sebelahku tadi terus dipanggil masuk ke dalam bilik doktor. Entah macam mana pula dorang ni suda la datang tidak ambil nombor giliran, terus plak dapat jumpa doktor tanpa menunggu lama gara2 ada orang yang pentingkan diri sendiri.


Geram dan sakit hati dibuatnya. Aku cuba menahan kemarahan. Pukul 11:40 lelaki Cina yang kurus kerempeng itu masuk ke bilik rawatan tanpa mengambil nombor giliranpun. Lamanyaaaa dia di dalam sana keluar je dari bilik doktor tu pukul 12:10.. Kusangka mati suda dia. Isterinya kutengok macam takda perasaan bersalahpun. Macamlah QEH ni nenek moyang dorang yang punya..Ikutkan hati macam mau menghadiahkan penumbuk jak ke muka orang tu. Tak pasal-pasal yang lama menunggu makin lama menunggu.


Tak lama kemudian barulah namaku dipanggil. Mujur keadaan kesihatanku agak baik dan doktor berpuas hati. Selesai saja mengambil ubat dan mendapatkan sijil cuti sakit, aku terus berlari ke arah kereta yang parking di luar hospital. Hari itu aku jadi pelari pecut sebab mengejar masa.Memandu ke rumah, parking kereta di sana dan menaiki teksi ke lapangan terbang. Aku memang sudah menghubungi pemandu teksi yang setia memberikan perkhidmatan menghantar penumpang ke lapangan terbang.


Aku sempat juga sampai ke lapangan terbang tepat pukul 1 ptg. Mujur aku tak terlewat. Sempat juga aku check in sebelum balai berlepas ditutup.



Pengajaran buatku:


Berhubung dengan staf klinik ID terlebih dahulu sebelum datang review untuk mengelakkan sebarang kesulitan terutama jika doktor ada komitmen di tempat lain.


Thursday 4 July 2013

Temujanji 1.7.2013 ( part 1 )

1 Julai 2013, sesi temujanjiku untuk mengetahui hasil laporan ujian darah yang telah diambil beberapa minggu yang lalu. Aku tidak ingat kali ini temujanji yang keberapa kali aku hadiri. Yang aku tahu tiap kali tarikh temujanji doktor atau tarikh ambil darah aku tidak pernah sekalipun aku mengelak. Semuanya aku hadiri tepat pada waktunya walaupun QEH agak jauh dari tempat tinggalku.

Aku tidak peduli walau jauh mana sekalipun yang penting aku mesti patuh pada rawatan yang perlu aku tempuhi sekarang. Bagiku semua ini satu keperluan. Perkara lain tolak ke tepi dulu. Tengok saja la blog ini sudah jarang kujenguk. Bukan sengaja tapi aku harus akur pada kemampuan diriku sendiri. Tambahan pula tugasku sejak akhir-akhir ini selalu menjadikan aku stress dan keletihan.

Aku perlu rehat yang cukup agar diriku kembali bertenaga untuk menjalankan tugas-tugas yang tak pernah selesai hari demi hari. Kehidupan sebagai PLHIV menjadi satu kemestian untuk aku memastikan agar tahap kesihatanku menjadi keutamaan. Hitung punya hitung aku ada 25 tahun lagi untuk bekerja sebelum memasuki alam persaraan. Ikutkan hati mau saja aku minta pencen awal agar tekanan yang aku rasai kini berakhir. Namun kukira itu bukan penyelesaian terbaik. Setiap masalah adalah cabaran yang perlu diharungi dengan akal fikiran yang positif.

Berbalik pada temujanji 1 Julai baru2 ni, seperti biasa aku datang awal ke QEH. Kesibukan jalan raya pasti menyukarkan pergerakan kalau aku lambat. Kali ini aku datang ke QEH menaiki pesawat Airasia. Tiket yang kubeli 30 Jun, 9:30 malam. sampai di Kota Kinabalu 10:30 malam. Lepas tu menaiki teksi hinggalah sampai di pondok sekuriti rumah. Perut kosong mula berkeroncong minta diisi. 

Aku pun menjengah kedai yang berdekatan untuk mencari apa2 bahan untuk dimasak. Sebenarnya aku tak berapa suka makan lewat malam ni sebab memang tak berapa baik di sudut kesihatan. Tapi kali ni tahap kelaparanku sudah tak dapat kutahan. ( Menu yang dimasak agak simple tapi agak sedap bagiku, kangkung tumis bersama sardin ). Hanya itu yang mampu disediakan bagi insan sebatang kara seperti diriku ini. Cukuplah untuk membuatkan aku rasa kenyang lagipun kukira ia menu yang seimbang juga daripada makan fast food. Aku lebih suka memasak makanan sendiri daripada makan di luar sebab aku jenis suka makan sayuran. Bab makanan aku tak cerewet yang penting ada sayur sudah cukup. ( to be continued...)


MY RECENTLY POST

SALAM DIHULUR MAAF DIPINTA

Selamat hari raya aidil fitri... Kepada yang telah memulakan haart treatment, jangan lupa makan ubat tepat masa. Sentiasa bawa ubat kalau be...

MY POPULAR POST