Rakan AzamAli.com.my

Friday, 23 September 2016

Sesuatu yang tidak pasti ( Kematian )

Dalam menongkah arus kehidupan yang mencabar ini, aku dikejutkan dengan bermacam macam berita tentang kematian yang menyebabkan aku terfikir sesuatu mengenainya. Sudah banyak kali aku mengalami saat saat kehilangan insan yang pernah bersama-sama sejak aku kecil. Aku membesar bersama-sama mereka. Pelbagai kisah suka duka episod kehidupan aku lalui bersama mereka. Dari segi umur, aku lebih muda dari mereka namun ajal mereka lebih dahulu sampai daripada aku.


Di saat melihat jasad mereka terbujur kaku, aku hanya mampu berdoa semoga urusan pengendalian jenazah berjalan lancar. Pelbagai perkara datang silih berganti kufikirkan. Bilakah saatnya aku juga akan jadi begitu? Bagaimanakah keadaanku nanti? Adakah aku akan diingati oleh insan insan lain sejurus apabila mendapat tahu khabar tentang kematianku nanti? Siapakah yang akan mendoakan aku nanti?


Mustahil untuk mendapat jawapan mengenai perkara itu buat masa ini. Malah tiada bayang-bayang walau sedikitpun yang boleh menjadi petunjuk bagi meleraikan segala persoalan tersebut. Segala-galanya di luar dari pengetahuan diriku.


Berdasarkan pengalamanku dalam perkara ini, terdapat pelbagai persepsi dan penerimaan individu tentang soal ajal. Ada yang berasa takut. Malah ketakutan itu menyebabkan mereka sampai ke tahap tidak dapat bersendirian. Hatta nak ke tandas sekalipun minta untuk ditemani disebabkan perasaan ketakutan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Hanya mereka sahaja yang tahu dan alami keadaan tersebut.


Ada juga yang berhadapan dengan penyakit seperti masalah tekanan darah tinggi yang tidak terkawal. Mungkin sebelum ini tidak pernah mengalami masalah tersebut, individu yang malang itu berasa satu kejutan yang menjadikan hidupnya berubah serta merta. Sebelum ini begitu aktif akhirnya terpaksa menghabiskan masa berehat. Bila bercakap dengannya, aku merasakan dirinya masih belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan kesihatan yang merenggut segala keseronokan yang dialaminya sebelum ini.


Berhadapan dengan keadaan itu, aku sempat menemaninya ke hospital untuk menjalani rutin pemeriksaan tekanan darah mengikut jadual yang telah ditetapkan. Kulihat riak wajahnya seakan akan masih dalam keadaan belum menerima kenyataan yang berlaku. Malah sampai satu tahap kulihat dirinya seakan akan putus asa dalam hidupnya.


Ingin saja aku berterus terang bahawa aku sudah 7 tahun PLHIV. hehe namun tidak semudah dan itu. biarlah masa dan keadaan yang akan menjadikannya untuk lebih menerima. Seperti mana aku sebelum ini, belajar mencari kekuatan sehingga berjaya menemuinya.