Wednesday 23 November 2016

Perancangan ambil darah dan temujanji.

Masa untuk temujanji yang ditetapkan di ID Klinik QEH ialah setiap hari isnin hingga rabu sahaja. Bermakna dalam seminggu cuma 3 hari diperuntukkan untuk berjumpa dengan doktor mengikut tarikh temujanji yang telah ditetapkan.


Berbeza pula dengan sesi pengambilan darah di PPD QEH, ia boleh dibuat setiap hari kecuali untuk ujian CD4/CD8/Viral load, ia hanya boleh dibuat pada hari isnin hingga jumaat sahaja. Itu yang pernah diberitahu oleh staff di bahagian unit PPD.


Sebagai orang yang terikat dengan majikan dan kerja, aku telah membuat perancangan tarikh yang sesuai untuk aku memohon cuti bagi mengambil darah dan temujanji. Seboleh bolehnya salah satu dari keduanya sahaja yang melibatkan aku perlu memohon cuti dan yang satu lagi aku perlu pastikan tarikhnya pada hari cuti.


Ini bagi mengurangkan jumlah cuti yang kupohon bagi tujuan tersebut seterusnya melancarkan lagi urusanku di hospital.


Monday 14 November 2016

Cuti dan Pelepasan

Sesi ambil darah dan temujanji semua maklum kedua duanya melibatkan masa bekerja bagi mereka yang kerja makan gaji dan tertakluk di bawah pertimbangan pihak majikan. Dalam hal ini, atas nasihat yang pernah diberikan oleh staff klinik id, aku cuba pastikan supaya tarikh temujanji atau ambil darah jatuh pada hari cuti.


Bermakna, salah satu dari rutinku tidak akan mengorbankan masa kerja dan aku terselamat dari situasi mohon cuti yang melibatkan prosedur yang rumit. Lagipun aku seboleh bolehnya mahu kurangkan pengambilan cuti supaya tidak berlaku kesulitan di kemudian hari.


Atas budi bicara pihak id klinik, segalanya berjalan dengan lancar. Aku berharap untuk urusan yang akan datang tidak akan terjadi sebarang masalah yang melibatkan cuti.

Tuesday 8 November 2016

Kadar glukose dan kolesterol dalam badan

Menjalani sesi review sebelum ini menjadikan aku lebih peka dengan tahap kesihatanku. CD4 dan viral load adalah perkara biasa. Selain itu ada lagi perkara lain yang tidak kurang pentingnya untuk aku ambil tahu iaitu kadar kolesterol dan kadar gula dalam badan.


Doktor yang memeriksaku pernah beritahu kadar gula dalam badanku naik sedikit. Masih belum sampai ke tahap kencing manis tetapi dinasihatkan agar aku berjaga jaga. Selain itu, kadar kolesterol dalam badanku juga naik. Dua perkara yang menjadikan aku agak sedikit risau.


Ada juga kawan yang menyarankan agar aku mengambil susu omega untuk mengawal kadar kolesterol dalam badan. Harga sepaket memang boleh tahan juga. aku sudah mulakan pengambilan sejak seminggu lalu. Diet pemakanan juga aku kawal agar tidak terlalu makan makanan yang berlemak.



Monday 7 November 2016

Temujanji ke-2 tahun 2016

Tidak dapat kugambarkan rasa kegembiraanku pada hari ini hasil laporan ujian darah yang telah diambil pada 10 oktober lalu. Tahap CD4 menunjukkan peningkatan daripada 701 kepada 871. Mudah mudahan tahap kesihatanku sentiasa dalam keadaan baik seterusnya aku dapat mencapai impianku yang masih belum tercapai.


Sesi review kali ini aku sempat bertemu dengan rakan baru di id klinik. Aku berharap persahabatan kami kekal sebagai rakan senasib yang saling memerlukan antara satu sama lain. Tidak tahulah cabaran cabaran yang akan datang bagaimana. sebagai manusia biasa, sokongan dan dorongan amat diperlukan agar diri menjadi sentiasa positif.


Terima kasih aku ucapkan kepada staff id klinik QEH 1 yang memberikan kerjasama dan memberi layanan yang baik walaupun sepatutnya aku mengikuti temujanji pada 9 November. namun disebabkan kekangan tugas aku terpaksa menukar tarikh temujanji ke 31 oktober.

MY RECENTLY POST

ISU PLHIV MEMBELI UBAT HAART SECARA DALAM TALIAN

Tular isu mengenai PLHIV dari sebuah laman medsos yang menyatakan tentang segelintir PLHIV yang membeli ubat secara online dengan kadar harg...

MY POPULAR POST