Monday 24 July 2017

Sejenak Merenung Kisah Lalu

Hari ini menyaksikan satu sejarah tercipta dalam diari kehidupanku. Satu perkara yang pernah menjadi hasratku.Impian dan cita citaku dulu.  Namun takdir Tuhan lebih mengatasi.  Ia mencatatkan keterbatasan kudratku untuk merealisasikannya. Namun benarlah seperti yang tersurat oleh kalam ilahi. Apabila dia mengatakan jadi maka jadilah ia sekalipun tampak mustahil pada kaca mata manusia.


Setelah melalui detik detik yang begitu sukar lantaran diri ini dangkal untuk menilai yang terbaik dari kalangan yang terbaik. Emosi terganggu dan fokus dalam setiap perkara yang dilakukan menjadi kurang. Akhirnya satu solusi yang sangat tepat telah dapat diputuskan berkenaan hala tuju insan yang kuanggap sebagai aset diri dan keluarga bagi mengecapi kebahagiaan dunia akhirat.


Jika ditelusuri kisah yang kulalui suatu ketika dulu khasnya dalam membuat pilihan setelah mendapat kejayaan cemerlang, aku mudah tersentuh. Sebak menguasai diri. Air mata jernih mudah mengalir di pipi. Terlalu banyak ranjau duri yang dilalui. Satu persatu jika diimbas membuat aku lebih kuat dan sedar betapa pentingnya sikap tekun dalam pelajaran.


Pernah satu ketika aku tidak segan silu bergenang air mata dan sukar meluah bicara di hadapan mereka yang ingin kukongsi cerita. Mereka yang mendengar tidak merasai apa yang aku rasai. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Begitu sukar menerima keadaan apabila kejayaan hasil usaha yang bukan kepalang bermati matian siang dan malam.

Ia tidak cukup setakat itu sahaja. Tidak memadai jika tidak disokong oleh keluarga. Mereka adalah tonggak dan tulang belakang yang mencorak masa depan. Jatuh bangunnya diri banyak bergantung pada mereka.


Tidak keterlaluan untuk aku berkata bahawa ada juga di kalangan mereka ibarat duri dalam daging. Bersikap talam dua muka. Makan hati berulam jantung. Banyak lagi perumpamaan yang membahasakan diri mereka sebenar. Pendek kata, mereka tidak senang melihat kejayaan waima ia dikecapi oleh saudara darah daging mereka sendiri.


Lantas mereka datang dengan wajah dan kata kata manis dengan janji janji yang indah sedangkan di sebaliknya hanya menanam tebu di bibir mulut. Tiada kepentingan bagi mereka untuk membantu insan sepertiku. Siapalah aku pada pandangan mereka hanya sekadar anak seorang buruh kasar yang pernah mereka jadikan hamba.


Berkat keikhlasan seorang lelaki tua yang dipanggil abah, menjadikan mereka satu persatu mengecapi kejayaan walaupun mereka dijaga oleh seorang ibu tunggal yang serba kekurangan.


Sesungguhnya aku tidak mahu keperitan yang kurasai turut dirasai oleh mereka mereka yang penting dalam hidupku. Aku ingin mereka mengecapi kebahagiaan. Cukuplah hanya aku sahaja yang telah mengalaminya.



#sedikit luahan hati
#bersama insan insan yang penting
#bersama insan kusayang

Friday 7 July 2017

Kesihatan dan sahabat baik.



Suasana hari raya masih lagi terasa walaupun sudah 2 minggu berlalu. Bagi diriku raya kali ini tidak ada beza seperti tahun tahun sebelum ni. Syukur juga sebab ibadah puasa dapat disempurnakan tanpa ada sebarang masalah kesihatan.


Tahun ini sedar tak sedar aku sudah memegang tittle PLHIV selama hampir 8 tahun. Aku bersyukur kerana dalam tempoh itu aku belajar banyak perkara yang selama ini tidak pernah kulalui. Antaranya aku semakin alert tentang aspek kesihatan termasuk tahap cd4, cd8, VL, liver, kidney , kolesterol, glukose.


Setiap kali review itulah antara perkara penting yang diberitahu oleh doktor. Setakat ini kesihatanku setelah beberapa tahun dengan HAART masih dalam keadaan baik.


Aku juga semakin alert dengan aspek pengurusan masa yang bijak dan terancang sesuai dengan kerjaya yang tugasannya tidak pandai selesai. Ada juga rakan rakan yang hairan dengan keputusanku memilih hospital yang agak jauh untuk mendapatkan rawatan.


Walau apapun alasan itu mungkin sesuai dengan faktor keselesaan dan ada banyak lagi perkara yang harus dipertimbangkan. Setiap orang mempunyai pandangan berbeza dan masing masing berhak dengan pendapat mereka.


Ada satu perkara yang ingin kukongsikan kepada para pembaca blog ini sejak kali pertama aku berkongsi pengalamanku sebagai PLHIV. Keadaan sahabat baikku yang suatu ketika dulu yang menampakkan sikap prejudis dan judgemental terhadap diriku yang PLHIV.


Baru baru ini aku berpeluang berjumpa semula dengannya setelah 5 tab in Ajanta terputus hubungan. Keadaan kesihatan dirinya agak sedikit terjejas. Dia alami masalah darah tinggi, kadar gula dlm darah jg naik dan setiap hari dia terpaksa menggunakan tiub khas untuk membuang air kencing.


Aku tidak pernah menyimpan dendam. Yang lepas biarlah berlalu. Aku nak buka lembaran baru dengan membaiki semula hubungan baik dengan sahabatku itu. Aku bukanlah seorang yang luas pergaulan. Sahabat yang dipercayai@bff saja boleh dikira dengan jari.


Ternyata gaya hidup mempengaruhi keadaan kesihatan kita kelak. Itulah pengajaran yang dapat kukutip dari pengalaman hidupnya. Semoga dirinya kuat dan tabah. 

Thursday 6 July 2017

Bacaan cd4 ; target utama + undetectable VL

Salam sejahtera.

Para pembaca sekalian, terima kasih kerana masih meluangkan masa menjenguk blog ini. Walaupun sudah agak lama kita berhubung secara alam maya melalui cetusan rasa melalui blog ini.


 Sebenarnya banyak perkara yang ingin saya kongsikan bersama. Namun ada komitmen lain yang menyebabkan hasrat itu tergendala.


Rutin sebagai PLHIV tetap diteruskan seperti biasa. Ubat HAART setiap hari menjadi santapan yang tidak pernah ditinggalkan. Nasihat doktor jadi pegangan agar diri ini kekal dalam keadaan sihat dan dapat terus berbakti kepada yang dipertanggungjawabkan.


Berkongsi pula tentang tahap kesihatanku,ada turun naiknya. Detik detik cemas telah kulalui pada sesi review yang lepas. Kadar bacaan CD4 jatuh mendadak daripada 840 ke 384. Keadaan ini mungkin disebabkan tahap kesihatan yang tidak baik semasa darah diambil. Aku mengalami demam, selesma dan batuk. Bukan itu sahaja, bebanan tugas di tempat kerja menjadikan aku kurang bersemangat dan kerap rasa letih. Mood juga adakalanya mudah marah dan sikap ingin memberontak.


Review yang terkini ,tahap cd4 meningkat 384 or 711. Aku berasa gembira dan berharap ia akan meningkat sampai 1000 lebih. VL masih di tahap undetectable.








MY RECENTLY POST

ISU PLHIV MEMBELI UBAT HAART SECARA DALAM TALIAN

Tular isu mengenai PLHIV dari sebuah laman medsos yang menyatakan tentang segelintir PLHIV yang membeli ubat secara online dengan kadar harg...

MY POPULAR POST