Thursday 28 September 2017

Hormati prinsip dalam persahabatan.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, aku sering bertemu dengan beberapa individu yang menunjukkan keikhlasan dalam persahabatan. Aku menjadi pendengar setia pada setiap luahan mereka. Pendekatannya yang agak ramah dan menyelitkan unsur empati menyebabkan mereka rasa dekat dan mudah meluahkan segala yang terbuku di hati mereka walaupun tidak pernah berjumpa. 


Setelah agak lama menjadi pendengar setia, akhirnya mereka memutuskan bahawa aku tidak ikhlas menjalinkan persahabatan dengan mereka. Aku dicop sebagai orang yang yang hanya berkawan untuk tujuan tertentu atau ada agenda tersembunyi bagi memenuhi kepentingan diriku.


Aku pun agak hairan, mengapa mereka menganggap aku begitu. Mungkin disebabkan mereka mahu aku menuruti kemahuan mereka yang bagiku melanggar prinsipku. Prinsip yang ada kaitan dengan privesi. Ya aku cuma ingin privesi. Itu bukan bermakna aku tidak ikhlas menjalin hubungan persahabatan dengan sesiapa sahaja dengan keenggananku untuk  memenuhi setiap kemahuan mereka.


Pada mulanya, persahabatan yang terjalin ini begitu mesra dan tidak kelihatan tanda tanda akan berlaku apa-apa perselisihan. Namun setelah berlaku insiden yang kusebutkan tadi, akhirnya persahabatan itu terus berkubur.


Tidak mengapalah. Bagi aku itu hak mereka untuk bercakap dan melabel tentang diriku. Biarkanlah mereka terus menilai aku.  Aku punya prinsip yang menuntut penerimaan dan penghormatan atas perkara yang menyentuh hal hal peribadi.


Jika sebuah persahabatan itu betul betul persahabatan yang tulus, ia pasti kekal bertahan. 

Sunday 24 September 2017

Cita cita Mengajar diri



Salam sejahtera.. 


Dalam meniti arus kehidupan, setiap insan mempunyai cita cita yang ingin digapai. Tidak semua daripada mereka yang dapat mengecapi apa yang dihajati. Tak kurang juga yang diberi kelebihan hingga cita cita itu menjadi kenyataan. 


Dalam kamus hidupku, aku telah mengalami pelbagai peristiwa pahit manis dalam mengejar cita cita dalam hidup.  Bermacam macam dugaan hingga sampai tahap aku mengalami kejatuhan.  Aku cuba bangkit walaupun ada di kalangan insan insan hatta keluarga sendiri yang suka melihat diriku terumbang ambing.


Manusia walaupun rambut hitam tetapi hati tidak sama. Itulah pengajaran yang dapat aku pelajari.  Pada mulanya aku serba naif dan tidak dapat membezakan yang mana kawan yang mana musuh.  Bagiku asalkan saja dari kalangan ahli keluarga maka aku menganggap mereka adalah dahan untuk aku berpaut. 


Rupa rupanya prinsip itu memakan diri.  Aku menjadi saksi betapa insan yang tidak senang melihat kejayaan orang lain terus menerus menjatuhkan insan lain dari belakang.  Meskipun bila berdepan dengan mereka dikelabui dengan kata kata yang manis tetapi di sebalik itu tersembunyi niat yang tidak baik. 


Kesannya aku mengalami keadaan yang sukar digambarkan dengan kata kata.  Aku mudah tersentuh tiap kali bercerita tentang kisah hidupku ketika masih kecil sehinggalah aku berada di bangku sekolah dan menjejakkan kaki ke menara gading. 


Jika sebelum ini aku tidak dipandang malah hampir dijatuhkan tetapi keadaan agak berbeza sekarang.  Ada di antara mereka yang pernah melemparkan kata kata kesat,  sudah mula membuka mata dan mula berbaik baik denganku. 


Penerimaanku,  ya, just be positive.  Aku tidak mahu menjadi sombong dan lupa diri.  Nikmat yang ada harus disyukuri dan dikongsi bersama mengikut kemampuanku. Aku tidak mahu menoleh ke belakang. Aku tidak mahu menjadi kejam seperti perbuatan mereka kepadaku. Jauh di sudut hati, aku tetap masih ingat apa yang pernah menimpa diriku. 


Hidup umpama roda.  Hari ini kita berada di atas esok lusa belum tahu lagi keadaannya.  


Aku yakin dan percaya pada ketentuan ilahi.  Semoga sentiasa diberi perlindungan dan inayah dalam mengharungi arus kehidupan yang mencabar.


#PLHIV positive mindset
#tak mudah patah semangat
#allah tentukan rezeki
#berusaha sebaik mungkin
#kehidupan bahagia dunia akhirat

Saturday 23 September 2017

Temujanji Disember 2017

Salam sejahtera. 


Apa khabar semua? 

Syukur kehadrat ilahi kerana masih lagi diberikan peluang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Walaupun kesibukan melanda namun masih diberikan peluang untuk menjenguk dan meninggalkan sedikit coretan untuk blog ini. 


Sesi temujanji yang akan datang ialah pada bulan Disember nanti.  Masih banyak masa untuk aku mempersiapkan diri terutama sekali berkaitan dengan tugas di tempat kerja. Kelegaan dapat kurasakan kerana tarikh temujanji kali ini kebetulan pada waktu cuti.  Oleh itu, aku tidak perlu risau tentang pelepasan daripada majikan. 


Adakalanya aku meluangkan masa membaca post post lama dalam blog ini. Aku jadi sayu apabila supporters yang pernah memberi kata kata semangat dan selalu memberikan respon sudah lama menyepi. Antaranya abg pie dan najmi. Mereka antara insan yang banyak memberi dorongan.


Kehidupan perlu diteruskan juga walaupun tanpa kehadiran mereka. Aku yakin pasti ada hikmah di sebalik keadaan ini.  

MY RECENTLY POST

SALAM DIHULUR MAAF DIPINTA

Selamat hari raya aidil fitri... Kepada yang telah memulakan haart treatment, jangan lupa makan ubat tepat masa. Sentiasa bawa ubat kalau be...

MY POPULAR POST