Showing posts with label blog AHP. Show all posts
Showing posts with label blog AHP. Show all posts

Friday, 2 November 2012

Suka duka tahun ke-3 Pembawa HIV mengharungi hidup

Aku tidak menyedari rupa2nya sudah masuk tahun ke-3 aku hidup sebagai pembawa HIV+. Aku baru perasan hari ni lepas seminggu berlalu iaitu 25 November lepas. Ketika aku membelek2 entry yang terdahulu aku terbaca entry yang aku postkan pada tahun 2011. Lantas aku pun perasan rupanya2 sudah 3 tahun aku hidup dengan HIV.


Keadaanku masih juga macam dulu, tetap berstatus pembawa HIV+ cuma aku sudah memulakan rawatan HAART sejak hampir sebulan. Aku menyangka aku sudah menemui ajal tetapi rupanya masih lagi diberi peluang meneruskan kehidupan. Aku sudah ada komitmen sepanjang hayat iaitu menelan ubat Stocrin dan Tenvir Em, kombinasi 2 ubat HAART yang doktor beri padaku. Di samping itu aku tetap menggunakan blog sebagai cara untuk meluahkan rasa hati sebagai seorang PLHIV.


Secara jujur aku bukanlah seorang yang mahir berblog. Aku cuma tahu masuk ke mana2 blog yang aku "google" dan hanya jadi pembaca. Dalam hati ada juga terdetik perasaan untuk cuba membuat blog sendiri. Atas saranan kawan2 aku memulakan langkah membuat blog sendiri. Aku banyak belajar dari blog http://akuhivpositif.blogspot.com.


Tuan tanah blog itu cakap, aku ni ada bakat dalam penulisan jadi sayang kalau tak dimanfaatkan. Mula2 aku memang tak mahu berblog atas sebab kekangan masa. Namun aku ingin menyumbangkan sesuatu kalaupun tidak menjadi sukarelawan dalam mana2 pertubuhan berkaitan HIV dan AIDS, dengan adanya blog ini mungkin boleh jadi penyelamat ramai lagi insan yang senasib denganku.


Aku akui banyak yang aku dapat baik pengalaman dan macam2 lagi sepanjang menjadi "blogger". Aku juga berpeluang berkenalan dengan ramai orang baik PLHIV maupun NON-PLHIV. Selagi aku masih bernyawa, blog ini akan terus dihiasi dengan entry2 mengikut kemampuanku. Selepas aku pergi buat selama2nya, entah siapa yang akan meneruskan perjuangan menghidupkan blog ini. Ia akan sepi tanpa apa2 berita.


Bermula saat perkenalan dengan AHP, yang menjadi perintis kewujudan blog akuhivpositif, membawa kepada terjalinnya ukhuwah yang sangat bernilai dalam hidupku. Nama2 seperti Halim, Luka Rafieqa, Mael, Laila Isabella, Fareez Fauzi, Sharidan, Fariza ( non-PLHIV yang sangat supportif) dan Ayie mula kukenali dan masing2 bertemu dan bertentang mata buat pertama kali. 


Saat2 pertemuan itu walapun singkat tetapi membawa makna yang sangat besar. Ukhuwah yang kami jalinkan tidak tergambar dengan kata2 betapa keikhlasan mengatasi segala2nya walaupun tiada pertalian kekeluargaan. Hakikatnya, kami adalah insan senasib (kecuali yang NON-PLHIV tu le huhu ). Aku sangat rindukan pertemuan dengan mereka yang mula2 kukenali dulu. Entah bila masanya aku akan dapat menemui mereka lagi.


Aku dapat tahu salah seorang dari rakan2 yang pertama kali kujumpa sedang berjuang bermati2an menghadapi masalah yang aku dan kawan2 lain sedia maklum. Aku dapat rasakan betapa beratnya ujian yang dia alami. Hanya kesabaran dan keimanan yang mampu menjadi teman. Aku turut bersedih dengan keadaan yang menimpa dirinya. Aku sentiasa doakan agar dia sentiasa sihat dan dapat hidup dengan lebih lama.


3 tahun sudah berlalu. Saat2 pertemuan dengan rakan2 PLHIV amat kurindui tetap terpahat dalam ingatan. Bermacam2 ragam yang menjadi penyeri sepanjang pertemuan kami ketika itu. Namun ketika ini masing2 ada komitmen ditambah lagi jarak yang terlalu jauh dipisahkan oleh Laut China Selatan menyukarkan aku hadir bersama2 mereka. Namun aku tetap bersyukur sebab setiap hari kami dapat berhubung secara maya.


Kekuatan yang terpancar pada diri mereka membuatkan aku bangkit menjadi seperti hari ini. Aku percaya tanpa mereka aku tidak tahu keadaanku macam mana. Aku banyak mendapat sumber kekuatan dari AHP. Dia tanpa jemu melayan setiap persoalan yang aku hantar menerusi email. Tidak cukup dengan itu dia tidak jemu memberi respon dalam entry blogku. Aku mula rasa diriku mempunyai teman sebab sebelum ini aku rasa diriku keseorangan lantaran aku sedar diriku seorang PLHIV.


Selepas mengenali AHP, seorang insan tabah menghubungiku yang dikenalkan oleh AHP. Aku banyak belajar dari pengalaman hidupnya yang aku anggap seperti abangku. Siapa sangka dari raut wajahnya yang tenang rupa2nya dia menyembunyikan sesuatu berupa ujian yang maha berat. Dia salah seorang yang menjadi tulang belakang blog AHP. Kisah suka duka hidupnya banyak kujadikan iktibar untuk kehidupanku.


Mujur aku tidak berada di tempatnya. Allah tahu aku tidak setabah dan sekuatnya. Itulah keistimewaan Survivor AHP. Dalam diam aku amat kagum dengan kecekalan hatinya menghadapi ujian yang teramat pahit dan getir.  Lagu Alyah "Kisah Hati" menjadi santapan halwa telinganya. Pernah dia beritahu aku bahawa lirik lagu itu menggambarkan kisah hidupnya. Lambang kasih sayangnya yang tetap utuh dan teguh terhadap anak tunggalnya.


Bila aku menatap gambar anaknya yang comel, terdetik dalam diriku alangkah baiknya jika aku juga ada anak seperti dia. Apapun aku tidak boleh menyimpan harapan yang terlalu menggunung tinggi. Aku lebih tumpukan tentang tahap kesihatan dan komitmenku yang terlalu banyak. Benarlah kata Survivor AHP yang masih kuingat sampai sekarang, salurkan naluri kebapaan yang ada pada diri Azam kat anak2 buah dan adik juga pada sesiapa saja.


Seterusnya, insan yang kukenali ini berperwatakan ceria dan "happy go lucky". Dia yang kuanggap adik banyak berkongsi kisah suka duka denganku. Pernah menyatakan hasrat untuk datang ke Sabah sebab dia teramat rindukan tanah tumpah kelahiranku ini. Di bumi ini pernah jadi saksi dia dianugerahkan segulung ijazah. Insan itu ialah Mael.


Dialah orang pertama dalam komuniti AHP yang aku jumpa. Aku sempat meminta pertolongan darinya untuk membelikanku pencuci muka hu hu hu tau la kelam kabut punya pasal sampai aku tertinggal pencuci muka walaupun aku dah siap kemas beg untuk dibawa ke KL. Setibanya di LCCT KLIA, dia menjemput aku di sana. Dalam hati yang sangat berdebar2 aku tetap gagahkan diri sebab orang yang aku jumpa sama juga macam aku, insan senasib yang sama2 berjuang sebagai PLHIV.


Sepanjang perjalanan menaiki kereta, aku tidak banyak bicara. Kulihat hanya sahabatku saja yang sibuk berhubung dengan LR dan Survivor AHP yang sudah sampai lebih awal dari kami. Pusing punya pusing kami tersesat beberapa kali. Namun dengan kebijaksanaan Mael, kami dapat berjumpa dengan dua orang sahabat yang sudah lama menanti kedatangan kami.


Pertama kali bersalaman dengan LR dan Survivor AHP lalu kami terus menuju ke teratak LR. Alhamdulillah kami selamat sampai dan dipertemukan dengan 2 sahabat senasib. Menu Daging Asam Pedas LR aku akui tak ada tandingannya. Rugi siapa tidak dapat menikmati keunikan rasa menu yang dicipta sendiri oleh LR yang memukau jiwa. Sepanjang malam pula Survivor AHP dan Mael bergebang hingga hampir pagi. Aku pula terus tertidur keletihan walaupun sekali sekala aku terjaga dek suara dan gelak tawa Survivor AHP dan Mael yang memecah keheningan malam.


Detik demi detik berlalu. Satu persatu insan tabah dan kuat hadir di depan mataku. AHP, Fareez Fauzi, Laila Isabella, Ayie, Sharidan juga Fariza. Kami duduk semeja dan makan bersama2 sambil menikmati alunan lagu2 karaoke sempena majlis persandingan adik LR. Mujur takda dari kalangan kami yang menyumbangkan suara masa tu hu hu hu. Apapun itulah detik2 yang amat kurindui. Walaupun pertemuan itu tidak dirancang rapi tetapi impaknya tetap mekar di sanubariku. 


Selesai saja kami menjamu selera, kami terus berkumpul di kediaman LR. Rasanya pertemuan ini aku tak mau akhiri dengan perpisahan. Namun aku akur dengan ketentuan setiap pertemuan ada perpisahan. AHP dan Laila meninggalkan kami dalam keadaan cuaca mendung dan hujan seolah2 perpisahan hari itu ditangisi oleh alam yang menjadi saksi. 


Pada sebelah malamnya, kami sempat jalan2 ke ICity sambil cuci2 mata. Kemesraan yang terjalin membawa silaturahim yang murni. Insan bernama Fareez Fauzi, boleh dikatakan memiliki kehebatan luar biasa. Malam itu aku dan Mael dibuai keenakan. Kepakaran Fareez Fauzi memang tiada tandingan hingga aku tertidur. hu hu hu... Allah turunkan kelebihan pada Fareez Fauzi yang jarang ada pada orang lain.


Sepanjang 3 tahun ini banyak merakamkan suka dan duka kehidupanku sebagai pembawa HIV+. Sebelum ini aku kurang menghargai tiap detik kehidupan dan ia banyak berlalu begitu saja. Aku tetap bersyukur dengan keadaanku sekarang walaupun aku adalah PLHIV. Pandangan dari kaca mata seorang PLHIV memang jauh berbeza dengan pandangan dari kaca mata semasa aku masih non-PLHIV. Hakikatnya aku sentiasa berusaha agar kehidupanku lebih baik berbanding sebelumnya. Moga husnul khatimah berjaya kuperoleh. Insya Allah..





( Lirik lagu ini menyentuh jiwa dan sanubariku. Pada saat aku dilanda kejatuhan semangat, aku akan mendengar lagu ini dan cuba menghayati intipati liriknya)






Thursday, 28 June 2012

Garis Panduan Pengurusan Jenazah Orang Islam Pembawa HIV dan pesakit AIDS

Terlebih dahulu, AA nak ucapkan setinggi2 penghargaan dan terima kasih kepada blog AHP yang sebelum ini pernah memuatkan tajuk entri ini. Di kesempatan ini AA ingin mengimbas kembali maklumat berkaitan panduan pengurusan jenazah bagi pembawa HIV dan pesakit AIDS dalam blog AA pula.

Kematian suatu perkara yang tidak dapat dielakkan. Bila sudah sampai masanya, seseorang tak kira pangkat, tua, muda, miskin dan kaya semua akan mengalami mati. Pelbagai cara kematian telah diatur olehNYA.

Mesti ada yang terfikir kenapa AA tiba2 plak menyebut perkataan mati? Adakah AA ni dah putus asa untuk meneruskan kehidupan lantaran dirinya sudah menjadi golongan PLHIV? Jawapannya tidak. Tujuan AA sekadar untuk mengingati saat2 kematian agar diri AA sentiasa beringat dan mengambil pengajaran. 

Semenjak AA menjadi PLHIV antara perkara yang menakutkan AA ( di saat mula2 mengetahuinya) adalah jenazah dimandikan dengan air bercampur klorox. Pertama kali AA tahu, AA seakan2 rasa tertekan dan tidak dapat menerima hakikat kerana ini adalah soal maruah dan melibatkan keluarga juga. mesti orang lain akan kehairanan sebab air mandian jenazah dicampur dengan klorox sedangkan sudah menjadi kelaziman ia hanya digunakan untuk tujuan membasmi kuman.

Lama juga AA berperang dengan perasaan lantaran perkara ini adalah hakikat yang mesti AA tempuh. Sebagai seorang manusia yang lemah, emosi itu tidak dapat AA sembunyikan. Macam2 perkara yang AA fikir hingga sampai tahap AA nak terjun laut dan macam2 lagi. Biar tak siapa yang dapat mengesan jenazah AA. Biar ia hancur dimakan oleh hidupan laut daripada berdepan dengan keadaan yang digambarkan apabila jenazah AA dimandikan dengan klorox. 

Namun sekarang AA sudah menerima hakikat tersebut. bak kata AHP "Kematian boleh berlaku dengan pelbagai cara dan dengan pelbagai penghinaan. Apa gunanya jika mati dengan penghormatan negara tetapi jiwa kosong tanpa iman."

AA hanya mampu berdoa dan bertawakkal apabila memikirkan soal kematian. Hanya Allah sahaja yang tahu semuanya. AA perlu teruskan sisa-sisa kehidupan yang ada dengan hati yang sabar.....



GARIS PANDUAN PENGURUSAN JENAZAH ORANG ISLAM PEMBAWA DAN PESAKIT AIDS
Oleh: Cawangan AIDS/STD, Jabatan Kesihatan Awam, Kementerian Kesihatan Malaysia
Sumber : Dari Blog Aku Hiv Positif
PENGURUSAN JENAZAH ORANG ISLAM
Adalah menjadi tanggungjawab serta kewajipan ke atas orang-orang Islam yang hidup ke atas jenazah orang Islam sebagai fardhu kifayah menyelenggarakan empat perkara berikut iaitu:
·         Memandikan
·         Mengkafankan
·         Menyembahyangkan
·         Mengkebumikan
Pengurusan jenazah orang Islam yang mengidap penyakit berjangkit termasuk pembawa virus HIV dan AIDS wajib merangkumi empat perkara di atas dan ianya menjadi tanggungjawab bersama keluarga jenazah, Hospital / Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Agama Islam Negeri / Daerah.

PEMBERITAHUAN KEMATIAN PEMBAWA HIV DAN PESAKIT AIDS
 
KEMATIAN DI HOSPITAL
Setiap kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS yang berlaku di hospital haruslah diberitahu dengan SEGERA melalui telefon kepada keluarga simati dan - notifikasi kematian kepada Pejabat Kesihatan Daerah. Sekiranya keluarga simati gagal dihubungi melalui telefon, bantuan pihak polis boleh diminta tetapi status HIV simati haruslah DIRAHSIAKAN.

KEMATIAN DI RUMAH
Bagi setiap kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS yang berlaku di rumah, adalah menjadi kewajipan ahli keluarga simati untuk memberitahu Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan SEGERA melalui telefon bagi tujuan penyeliaan pengurusan jenazah serta tindakan lain yang perlu diambil oleh Pejabat Kesihatan Daerah berkenaan.

AKTA PENCEGAHAN DAN KAWALAN PENYAKIT BERJANGKIT 1988
Mengikut seksyen 10 (1) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 – Adalah menjadi kesalahan ke atas setiap penghuni dewasa mana-mana rumah di mana terdapat penyakit berjangkit; atau orang yang menjaga; atau yang ada bersama dan mereka yang bukan pengamal perubatan menyelenggarakan sesiapa yang mengidap yang mati akibat penyakit berjangkit tanpa melaporkan kepada pegawai Kesihatan di kemudahan kesihatan atau balai polis atau ketua kampung yang terdekat dengan segera.

PENYELIAAN JENAZAH
Setelah notifikasi / pemberitahuan kepada Pejabat Kesihatan Daerah tentang kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS dijalankan, penyeliaan berhubung pengurusan jenazah seperti memandi, mengkafan, menyembahyang dan mengebumikan serta pemindahan jenazah dipertanggungjawabkan kepada kakitangan kesihatan berikut iaitu (i) Inspektor Kesihatan ke atas jenazah lelaki, (ii) Jururawat Kesihatan ke atas jenazah perempuan
PERINGATAN
Kakitangan Kesihatan yang menyelia jenazah tidak dibenarkan memakai pakaian seragam dan menggunakan kenderaan kerajaan bagi menjaga reputasi simati serta kaum keluarganya.

PEMILIHAN PENGENDALI JENAZAH DI RUMAH
Bagi kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS yang berlaku di rumah atau jenazah yang diselenggarakan di rumah setelah kematian berlaku di hospital, pemilihan pengendali jenazah perlu mengambilkira faktor-faktor berikut:
1) Pengendali jenazah dihadkan kepada bilangan yang sekecil mungkin, sebaik-baiknya tidak melebihi 4 orang.
2) Pengendali jenazah sebaik-baiknya dari kalangan keluarga atau mahramnya simati dan petugas / pegawai masjid yang terlatih dalam mengendalikan jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS.
3) Memastikan setiap pengendali jenazah tidak mengalami sebarang luka atau kudis di permukaan tubuh terutama di bahagian tangan.

PENGENDALI PERALATAN PENGENDALIAN JENAZAH DI HOSPITAL ATAU DI RUMAH
  
PERALATAN
NOTA 
1) Apron plastik, sarung tangan getah, kasut but getah dan "mask" disediakan berdasarkan jumlah pengendali jenazah yang terlibat.
2) Semua pengendali jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS perlu memakai dua lapisan sarung tangan.
3) Bancuhan kloroks: 1 botol kloroks dengan ukuran 1 liter dibancuh dengan 9 liter air biasa untuk menjadikan larutan kloroks dengan 1 : 10 (1 bahagian kloroks dibancuh dengan 9 bahagian air)

KEGUNAAN BALDI DAN BESIN
Baldi 3 buah
·          1 buah untuk merendam baju / pakaian simati yang telah dipakai
·          1 buah untuk bancuhan kloroks (1 : 10) bagi memandikan jenazah
·          1 buah untuk merendam perkakas / kapas yang telah digunakan

Besin 1 buah
·           Untuk merendam kapas yang belum digunakan ke dalam bancuhan 1 : 10

MANDI JENAZAH PEMBAWA HIV DAN PESAKIT AIDS
Bagi kematian pembawa HIV dan pesakit AIDS yang berlaku di hospital, pengurusan jenazah iaitu memandi dan mengkafankan sebaik-baiknya dilakukan di hospital sebelum dituntut oleh waris simati. Sekiranya waris simati memohon untuk menguruskan jenazah di rumah, pemindahan jenazah dari bilik mayat hospital ke rumah haruslah diawasi oleh kakitangan kesihatan dari pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat. Bagi menguruskan jenazah di rumah perkara-perkara perlu diambil perhatian.
PERSEDIAAN TEMPAT PEMBUANGAN AIR MANDIAN JENAZAH
Bagi menguruskan jenazah di rumah, waris simati perlu menggali parit atau lubang untuk tujuan pembuangan air mandian sekiranya rumah tersebut tidak terdapat longkang atau parit bersimen. Inspektor Kesihatan bertanggungjawab akan menyelia penyediaan tempat pembuangan tersebut.
PERSEDIAAN TEMPAT MANDI JENAZAH
Tempat pemandian jenazah hendaklah dilindungi daripada penglihatan mereka yang tidak berkenaan. Tempat khas (takungan mandian mayat) digunakan untuk memandikan jenazah. Sekiranya tiada terdapat tempat khas (takungan mandian mayat) pelapik plastik tebal boleh digunakan tetapi ianya hendaklah dibentuk supaya air mandian dapat mengalir ke tempat buangan (parit / longkang / lubang).

CARA-CARA MEMANDIKAN JENAZAH
Memandikan jenazah orang Islam perlulah mengikut cara-cara pengurusan jenazah yang biasa dilakukan dan diikhtirafkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri masing atau mengikut buku panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Negeri (sekiranya ada). Namun demikian terdapat beberapa perubahan dalam pemandian jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS bagi mencegah pengendali jenazah dari dijangkiti virus AIDS.

Pengendali jenazah perlu melindungi diri dengan memakai
a) Apron plastik / baju hujan
b) 2 lapisan sarung tangan getah
c) Pelindung mulut dan hidung (mask)
d) Kasut but getah
Cara-cara pemandian jenazah orang Islam pembawa HIV dan pesakit AIDS adalah seperti berikut:
1) Bancuhan kloroks dengan larutan 1 : 10 disediakan di dalam 3 buah baldi dan 1 buah besin.
2) Kapas yang belum digunakan direndam dalam besin berisi larutan kloroks (1 : 10).
3) Pakaian jenazah ditanggal dan direndam dalam baldi bancuhan kloroks (1 : 10) selama sekurang-kurangnya 30 minit.
4) Jenazah diletakkan ke dalam tempat khas takungan mayat. Sekiranya tiada terdapat tempat khas, mayat diletakkan ke atas alas plastik tebal yang telah direndam dengan larutan kloroks 1 : 10.
5) Rongga mulut, telinga, hidung, serta faraj dibersih dan disumbat dengan kapas yang telah direndam dengan kloroks dengan menggunakan peralatan iaitu forcep yang telah disediakan (langkah ini perlu dilakukan terlebih dahulu sekiranya terdapat darah atau cecair yang sentiasa terkeluar dari rongga-rongga tersebut setiap kali jenazah dialih posisinya untuk dimandikan).
6) Jenazah kemudian dicuci dan dimandikan dengan larutan kloroks 1 : 10.
7) Semasa memandikan jenazah dengan air larutan kloroks bersihkan dubur dengan kapas yang telah direndam dengan larutan kloroks (1 : 10) dan dubur kemudian disumbat dengan kapas yang telah direndam dengan larutan kloroks.
8) Jenazah kemudian dimandikan dengan air biasa / bersih menurut ajaran agama Islam.
9) Sekiranya rongga-rongga seperti mulut, telinga, hidung atau faraj ingin dibersihkan semula ianya boleh dilakukan dengan kapas yang telah direndam dengan larutan klorok menggunakan forcep dan rongga-rongga tersebut kemudiannya disumbat dengan kapas yang direndam dengan larutan kloroks.
10) Jenazah kemudiannya boleh disiram dengan air daun bidara, air kapur barus atau air kayu cendana.
11)  Jenazah dibilas dengan air larutan kloroks (1:100 pada bilasan terakhir).


MENGKAFANKAN JENAZAH
Bagi mengkafankan jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS, cara-caranya adalah berpandukan kepada panduan yang diterbitkan:
1) Plastik tebal dialaskan ditempatkan mengkafankan jenazah supaya cecair, bendalir atau darah terkumpul tanpa mencemarkan kawasan persekitaran bagi mencegah jangkitan kepada orang lain.
2) Kain kafan dibalut sebagai lapisan pertama. Kain kafan tidak perlu direndam dengan larutan kloroks 1:10 sekiranya tidak terdapat cecair, bendalir atau darah yang terkeluar dari jenazah atau tidak terdapat luka kudis di permukaan tubuh jenazah.
3) Bagi jenazah yang mengeluarkan cecair, bendalir, darah atau terdapat luka / kudis pada permukaan tubuh, jenazah perlu dimasukkan ke dalam beg plastic (body bag) atau dibalut dengan plastik yang telah digunakan untuk mengalas tempat mengkafankan jenazah. Jenazah tidak perlu dibalut dengan plastik atau dimasukkan ke dalam beg plastik sekiranya tiada tumpahan cecair, bendalir, darah atau tiada luka / kudis di permukaan tubuh jenazah tetapi tiada halangan sekiranya lapisan plastik dibalutkan.
4) Seterusnya jenazah dikafankan dengan menggunakan dua lapisan kain kafan sebagai lapisan terakhir. Perhatian lapisan terakhir merupakan kain kafan dan bukannya lapisan plastik.
NOTA
Keluarga terdekat arwah dibolehkan memeluk atau mencium jenazah sekiranya tubuh badan jenazah masih utuh tanpa sebarang kudis / luka atau jenazah tidak mengeluarkan lebihan cecair, bendalir atau darah.

DISINFEKSI PERALATAN DAN AIR MANDIAN JENAZAH
Disinfeksi peralatan dan air mandian jenazah adalah seperti berikut:
1) Peralatan yang telah digunakan untuk memandikan jenazah perlu direndam ke dalam air larutan kloroks (1:10) selama sekurang-kurangnya 30 minit sebelum dicuci.
2) Air mandian jenazah di lantai tempat pemandian jenazah perlu dimopkan dengan kloroks tanpa dicampur dengan air.
3) Air mandian jenazah yang ditakung di dalam lubang perlu ditabur dengan kapur klorida (chloride of lime) dan ditimbus.

SEMBAHYANG MAYAT
Cara jenazah disembahyangkan adalah serupa dengan jenazah orang Islam yang lain.

PENYEDIAAN TANAH PERKUBURAN
Persediaan tanah perkuburan bagi mengebumikan jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS adalah seperti yang terdapat di dalam buku panduan yang diterbitkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri. Kapur Klorida (cloride of lime) tidak perlu ditaburkan ke dalam liang kubur.

PENGKEBUMIAN JENAZAH
Pengkebumian jenazah pembawa HIV dan pesakit AIDS adalah sama seperti pengkebumian jenazah orang Islam lainnya dengan syarat langkah-langkah pencegahan jangkitan HIV telah diambil semasa jenazah dimandi dan dikafankan. Penggunaan sarung tangan getah tidak dimestikan semasa jenazah dikebumikan.

PEMINDAHAN JENAZAH MELALUI KENDERAAN DARAT / LAUT / UDARA
Setiap pemindahan jenazah di dalam atau ke luar negeri perlulah diberitahu terlebih dahulu kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat bagi tujuan penyeliaan dan tindakan yang bersesuaian.

PERINGATAN – LANGKAH-LANGKAH PENCEGAHAN JANGKITAN HIV BAGI SEMUA PENGENDALI JENAZAH
Semua pengendali jenazah harus sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mencegah dari dijangkiti penyakit berjangkit seperti HIV semasa mengendalikan setiap kematian. Langkah-langkah pencegahan ini perlu kerana adakalanya status HIV jenazah yang dikendalikan tidak diketahui atau kemungkinan notifikasi kematian pembawa HIV dan AIDS tidak dikemukakan kepada Pejabat Kesihatan Daerah oleh waris simati.

Langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil adalah seperti berikut:
1) Pastikan bilangan pengendali jenazah dihadkan kepada bilangan sekecil mungkin.
2) Memastikan pengendali-pengendali jenazah tidak mengalami sebarang luka atau kudis pada permukaan tubuh terutama di bahagian tangan.
3) Setiap pengendali jenazah memakai dua lapisan sarung tangan plastik semasa mengendalikan jenazah.
4) Sekiranya jenazah mengeluarkan darah atau cecair berlebihan yang memungkinkan percikan berlaku ke tubuh pengendali jenazah maka pemakaian apron plastik, mask dan kasut but getah diperlukan.
 

MY RECENTLY POST

ANTARA CABARANKU SEBAGAI PLHIV

  Hidup sebagai seorang insan tidak sah jika tidak berhadapan dengan cabaran kehidupan. Jika ditanya satu persatu kepada semua orang pasti s...

MY POPULAR POST