Sunday, 30 March 2014

ambil darah I ( 2014)

Kisah tragis yang menimpa negara baru baru ini mengingatkan aku betapa besarnya kuasa yang maha esa berbanding kuasa manusia. Bayangkan saja betapa canggihnya teknologi MH370 yang dicipta oleh manusia akhirnya tidak mampu menghadapi masalah yang di luar jangkaan ketika dalam sesi penerbangan ke destinasi.


Aku masih hairan mengapa dengan tiba2 perhubungan dengan pihak menara kawalan terputus dan terus terputus sehingga ke hari ini. Kesannya tiada sebarang berita sahih dapat dikongsikan buat semua yang inginkan kepastian keadaan para penumpang..


Di luar sana masih ramai lagi insan yang menanti dengan penuh harapan berita yang menggembirakan mereka namun sebaliknya hari demi hari kesugulan teman sekalipun riak wajah mereka cuba nampak lebih tabah hadapi suasana yang sungguh sukar bagi mereka melaluinya.

Aku hanya mampu menghadiahkan doa buat mereka yang terlibat agar lebih tabah dalam situasi ini. Aku tahu tentu amat sukar bila mana mengetahui insan yang tersayang akhirnya ghaib begitu saja tanpa diketahui di mana titik noktah perjalanan mereka terdampar. Di mana jasad andai terbukti mereka telah terkorban.. ohh, sungguh tragis sekali peristiwa yang menimpa keluarga yang malang ini.


Kepada allah kita datang kepadanya juga kita kembali. Itulah kata kata yang seringkali menjadi penyejuk hati dan post utama di laman2 sosial berkenaan tragedi ini. Dalam mengikuti perkembangan yang berlaku aku masih sempat melihat catatan peristiwa berkenaan perjalananku sebagai insan plhiv.


Bakal menjejakkan kaki ke hospital untuk sesi ambil darah pada isnin ini membuatkan aku rasa berdebar2 memandangkan perjalananku kali ini mealui udara. Lebih cepat sampai lebih banyak masa untuk aku berehat dan tidur secukupnya sebelum keesokan harinya sampel darahku diambil.


Sudah beberapa kali aku melalui situasi yang sama secara bersendirian. Ambil darah&review pun sendiri2.Dalam hati ini hanya Allah saja yang tahu namun demi jaminan status kesihatan yang baik aku gagahi juga langkahku ini. Tiada siapa yang tahu mengapa kehadiranku ke QEH pada masa yang telah ditetapkan. Tiada siapa yang menemaniku seperti insan lain yang ditemani. Hanya aku saja bersendirian.


Teringat pesanan seorang kawan suatu ketika dulu, jika diri rasa berseorangan ingatlah bahawa allah sentiasa bersamamu. Hanya itu lah kata azimat yang kupegang selama ini. Aku tidak harapkan belas ihsan sesiapa lagi kerana aku perlu lebih kuat melangkah tanpa perlu menyusahkan sesiapa. 
 

Lebih lebih lagi soal plhiv ini buat masa ini masih belum bersedia untuk aku berkongsi. Aku sentiasa berdoa moga insan yang bakal tahu status ini adalah insan yang menerimanya dengan keadaan yang lebih supportif. Aku masih ingat kata2 pujangga, teman ketawa senang dicari teman menangis susah dijumpa.


Ada juga rakan yang supportif, katanya, jangan bimbang, suatu masa penawar bagi penyakit ini akan ada juga nanti. Bagi aku, ada atau tidak penawarnya itu adalah ketentuanNYA. Aku tidak menyandarkan harapan yang terlalu tinggi untuk ia berlaku.




Wednesday, 12 March 2014

post 1 ( 2014)

Salam sejahtera buat semua.

Hari demi hari berlalu meninggalkan bermacam kenangan pahit manis dalam kehidupan. Aku yang kerap menyepi sekaligus membiarkan hari hari berlalu begitu saja tanpa sesuatu yang bermanfaat menjadikan aku berfikir sejauh mana perananku dalam komuniti untuk memberi kesedaran tentang kehidupan yang positif dalam dunia PLHIV ini. walaupun aku sedar tugas itu bukan mudah namun mau atau tidak mau perjuangan harus diteruskan juga. mengikut kemampuan yang ada pada diriku.

Buat rakan-rakan yang tidak jemu menyapaku menerusi email dan laman sosial aku titipkan penghargaan buat mereka semua. walaupun tidak pernah bertentang mata namun ikatan ukhuwah tetap terbina seikhlasnya. mana mungkin aku mampu menghadapi hidup sebagai plhiv bersendirian tanpa sokongan mereka. bagi mereka yang sempat menjengah email bertanya tentang diriku, tidak semuanya dapat kubalas melainkan hanya mereka yang betul betul memerlukan bantuan sahaja. prioriti adalah lebih pada mereka agar mereka berada di atas landasan yang sebenarnya. status mereka sebagai plhiv perlu dibantu sebaik mungkin agar mereka dapat menghadapi ujian ini dengan rasional.


kehidupanku kini semakin lama semakin dihimpit pelbagai tugas. adakalanya aku berharap agar aku dapat bercuti panjang dan ingin berehat lama agar aku dapat menenangkan fikiranku. tetapi aku tak boleh lari dari kenyataan hidup sebagai khalifah allah. mengapa  manusia diciptakan ke muka bumi ini adalah untuk menjadi pemimpin. istilah pemimpin itu terlau luas hatta bermula dari hal sekecil2nya. aku perlu bijak mengurus masa agar tidak menjadi seperti robot yang sibuk sepanjang hari dengan tugas. kesannya, diriku pasti menjadi tertekan.

tekanan yang berpanjangan adalah tidak baik bagi kesihatanku. sebab itulah aku telah nyatakan sebelum ni bahawa tugas dalam komuniti ini akan kulakukan seadanya mengikut kemampuanku. 

Dalam menempuh kesibukan tugas tugas harian, jauh di sudut hatiku masih lagi tersisa perasaan yang sukar untuk aku ungkapkan. aku masih lagi berasa kekurangan dalam hidup ini. entahlah kurang dari segi apanya. mungkin lantaran sudah ramai di kalangan rakan senasib dan sebayaku yang sudah mempunyai keluarga sendiri? atau mungkin sebab aku terlalu banyak diberikan tanggungjawab dalam keluarga hinggakan aku tidak ada masa untuk memikirkan tentang diriku ?masya allah, aku terlalu banyak fikir. mungkin sebab dalam seminggu dua ni tahap kesihatanku yang kurang baik menyebabkan fikiranku terganggu..aganyalah ye..

hanya allah yang tahu. perasaanku yang tidak stabil ini selalu menjadi kekangan buat diriku untuk meluahkan sesuatu dalam blog ini. cukuplah tempat aku meluahkan segalanya ialah pada allah sahaja. kerana hanya dia sahaja sebaik sebaik tempat untuk meluahkan perasaan. maha mendengar, maha kaya.....

pada tahun ni menyaksikan detik2 yang memilukan buat diriku dengan pemergian insan yang rapat dengan diriku ke alam baqa. 2 orang yang pergi meninggalkan kami dalam jarak waktu yang hampir dekat. mereka bersama samaku sejak aku kecil lagi. aku kenali hati budi mereka. namun allah lebih menyayangi mereka berdua. dalam pada itu, seribu satu hikmah pasti tersingkap di sebalik pemergian mereka.



Wednesday, 30 October 2013

Sesi Ambil darah 30.10.2013

Untuk kesekian kalinya, aku kembali menitipkan sesuatu ke dalam blog yang sudah lama tidak update. Bukan sengaja membiarkan ia kosong jauh sekali untuk tidak berkongsi serta melibatkan diri untuk kebaikan semua khususnya golongan komuniti seperti aku.


Sebenarnya banyak yang ingin kuluahkan namun aku perlu menapis setiap luahan agar ia sesuai untuk dikongsikan. Aku sememangnya mahu agar blog ini memberi aura yang positif kepada setiap insan yang memerlukan di luar sana.


30.10.2013...Tarikh aku dijadualkan mengambil darah di hospital. Seperti biasa sebelum tarikh keramat dalam hidupku bermula, aku mula merancang dari segi perjalanan ke hospital dan situasi tugasku yang tidak pernah habis di tempat kerja. Aku mahu agar rakan sekerja tidak rasa terbeban disebabkan ketiadaanku nanti.


Aku pernah menerima keluhan dari kawan2 yang mengalami situasi yang tak menyenangkan masa ambil darah di hospital. Lantaran tittle PLHIV, ada segelintir staf yang memandang serong terhadap mereka. Harap2 perkara ni tidak berlaku. Usaha untuk mengikis unsur2 diskriminasi, judgemental dalam diri setiap insan bukan perkara yang mudah tapi tak mustahil untuk mencapainya dengan adanya tahap kefahaman yang cukup tentang isu PLHIV.


Sesi ambil darah kali ni tidak apa yang menarik untuk dikongsikan. Aku hanya dapat belajar bahawa betapa berharganya apa yang aku miliki sekarang dibandingkan dengan insan lain. Aku menghubungi salah seorang peer support QEH yang berjasa kepadaku, Christopher. Ketika aku menelefonnya dia masih dalam perjalanan ke hospital. Aku menunggunya dengan sabar sambil menjamah sarapan pagi. 


Di Sabah ni, hanya dia sahaja rakan komuniti yang selalu kuhubungi. Dia jadi tempat aku mendapat info tentang HIV AIDS memandangkan dia selalu berhadapan dengan orang2 yang baru didiagnose di QEH. Sempat juga aku bersembang dengannya. Cuma aku amat kesal sebab tidak dapat hadir ke program anjuran KASIH pada 23&24 November ni. Tahun lepas aku juga dijemput untuk terlibat namun agak mengecewakan tarikhnya bertembung dengan tugas hakikiku.


Walaupun sekejap saja pertemuanku dengan Christopher, aku dapat rasakan sedikit kelegaan. Bukan selalu aku berpeluang untuk bersembang dengan rakan senasib. Aku harap sesi temujanji akan datang (27 November) berjalan lancar.


Kali ni, aku difahamkan bacaan CD4 dan CD8 tidak dapat disertakan. Terima sahaja dengan hati yang terbuka. Seterusnya aku akan datang sekali lagi ke QEH untuk review penghujung November nanti.

Friday, 5 July 2013

temujanji 1.07.2013 ( part 2 )

Ketibaanku di QEH seawal 6:30 pagi amat melegakan diriku. Aku tidak perlu  lagi menunggu lama2 sebab aku mungkin dalam kelompok yang terawal dipanggil oleh doktor. Mungkin aku tak perlu kelam kabut ke airport mengejar masa 1:55ptg penerbanganku dari KK ke Tawau. Pernah sebelum ni aku terlewat hanya beberapa minit, cik yang jaga pintu masuk tu langsung tak tolak ansur. Alih alih malam tu terpaksa naik bas, 9 jam perjalanan ke Tawau. Tiket flight jangan cerita hangus begitu saja.


Mudah2an kali ni berjalan dengan lancar. Sampai je di kaunter pendaftaran, aku menyerahkan buku temujanji doktor sambil menunggu giliranku dipanggil. Kulihat aku giliran yang kedua. Lega rasanya. Dalam pada itu, jururawat yang menjaga kaunter pada hari tu memaklumkan doktor2 klinik ID sedang berada di KL menghadiri Seminar IAS 2013. Jadi hari ni QEH memang kekurangan doktor. Dimaklumkan doktor yang ambil alih tugas hari ni perlu meninjau pesakit2 lain di wad sebelum memulakan tugas di ID klinik.


Sedikit keresahan mula datang dalam diri namun aku tetap berdoa agar temujanji kali ini tidak akan mengambil masa yang lama akibat terpaksa menunggu doktor dari wad unit lain mengisi kekosongan di unit ID. Aku duduk seperti biasa di ruangan menunggu sehingga pukul 9 pagi. Biasanya waktu ni doktor sudah mula memanggil masuk ke bilik rawatan tapi kali ni tidak pula.


Aku bertanya kepada jururawat di kaunter pendaftaran bila doktor ganti tu datang. Mereka pun tak dapat memberikan ketetapan sebab doktor yang ada perlu menghabiskan tugas di wad lain sebelum mengendalikan kami di unit ID. Sampai pukul berapa entah tak tahu lagi. 


Tepat pukul 10 pagi, doktor belum juga sampai. Kebetulan rakan peer support, Christopher yang baru saja datangsempat berjabat tangan denganku. Lama aku tidak berjumpa dengannya. Sambil berbual2 panjang kami menuju ke kafetaria menikmati minuman pagi. Dia memberitahuku satu isu yang memang aku sedia maklum isu melalui Secret group PWSG iaitu isu TPPA. Mungkin dia menyangka aku tidak tahu tentang isu tersebut. Sebenarnya menerusi kawan2 dalam secret group itu, aku banyak dapat maklumat sejauh mana kesan TPPA terhadap PLHIV khususnya dan pesakit2 lain amnya. Mendengar penjelasanku sedikit sebanyak membuatkan Christoper yakin bahawa aku sentiasa mengikuti arus perkambangan semasa terutama yang berkaitan dengan isu TPPA ini.


Jam menunjukkan pukul 11 pagi. doktor masih juga belum kelihatan. Mengisi masa yang terluang aku sempat berjumpa dengan beberapa orang rakan senasib yang baru kukenal pada hari ni. Salah seorang dari mereka tahu penerbanganku pukul 1:50ptg menyarankan agar aku berbincang dengan petugas ID klinik agar memberikan ubat saja kepadaku manakala tarikh temujanji diubah ke tarikh lain agar aku tidak terlewat ke lapangan terbang.


Selesai berbincang dengan jururawat bertugas dan kaunselor QEH, Joseph, mereka pun tidak dapat membantu aku sebab hanya doktor saja yang boleh memberikan priskripsi ubat. Terpaksalah aku menunggu dengan penuh debaran.


Pukul 11:15, kelibat seorang wanita muda yang agak lincah masuk ke kaunter pendaftaran klinik ID. rupanya itulah doktor yang ditunggu2. Selepas meneliti fail2 pesakit yang sudah disusun di kaunter pendaftaran, giliran yang pertama mula dipanggil dan seorang lelaki berusia lewat 40-an yang duduk di depanku memasuki bilik rawatan. Selepas ni aku pula.

Tidak lama kemudian, kelihatan sepasang suami isteri berbangsa Cina datang ke kaunter pendaftaran bersama seorang doktor Cina lelaki membawa fail. Suami isteri itu duduk di sebelahku manakala doktor Cina yang mengiringi mereka tadi menyerahkan fail kepada jururawat di kaunter. Kulihat suami wanita Cina tu kurus kering je. Dalam hatiku, confirm la dia ni sakit.

Dengan tidak semena2 doktor Cina yang tidak beradab itu masuk ke dalam bilik rawatan dan menyerahkan fail yang dibawanya kepada doktor di sana. Tidak lama kemudian, suami isteri yang duduk di sebelahku tadi terus dipanggil masuk ke dalam bilik doktor. Entah macam mana pula dorang ni suda la datang tidak ambil nombor giliran, terus plak dapat jumpa doktor tanpa menunggu lama gara2 ada orang yang pentingkan diri sendiri.


Geram dan sakit hati dibuatnya. Aku cuba menahan kemarahan. Pukul 11:40 lelaki Cina yang kurus kerempeng itu masuk ke bilik rawatan tanpa mengambil nombor giliranpun. Lamanyaaaa dia di dalam sana keluar je dari bilik doktor tu pukul 12:10.. Kusangka mati suda dia. Isterinya kutengok macam takda perasaan bersalahpun. Macamlah QEH ni nenek moyang dorang yang punya..Ikutkan hati macam mau menghadiahkan penumbuk jak ke muka orang tu. Tak pasal-pasal yang lama menunggu makin lama menunggu.


Tak lama kemudian barulah namaku dipanggil. Mujur keadaan kesihatanku agak baik dan doktor berpuas hati. Selesai saja mengambil ubat dan mendapatkan sijil cuti sakit, aku terus berlari ke arah kereta yang parking di luar hospital. Hari itu aku jadi pelari pecut sebab mengejar masa.Memandu ke rumah, parking kereta di sana dan menaiki teksi ke lapangan terbang. Aku memang sudah menghubungi pemandu teksi yang setia memberikan perkhidmatan menghantar penumpang ke lapangan terbang.


Aku sempat juga sampai ke lapangan terbang tepat pukul 1 ptg. Mujur aku tak terlewat. Sempat juga aku check in sebelum balai berlepas ditutup.



Pengajaran buatku:


Berhubung dengan staf klinik ID terlebih dahulu sebelum datang review untuk mengelakkan sebarang kesulitan terutama jika doktor ada komitmen di tempat lain.


Thursday, 4 July 2013

Temujanji 1.7.2013 ( part 1 )

1 Julai 2013, sesi temujanjiku untuk mengetahui hasil laporan ujian darah yang telah diambil beberapa minggu yang lalu. Aku tidak ingat kali ini temujanji yang keberapa kali aku hadiri. Yang aku tahu tiap kali tarikh temujanji doktor atau tarikh ambil darah aku tidak pernah sekalipun aku mengelak. Semuanya aku hadiri tepat pada waktunya walaupun QEH agak jauh dari tempat tinggalku.

Aku tidak peduli walau jauh mana sekalipun yang penting aku mesti patuh pada rawatan yang perlu aku tempuhi sekarang. Bagiku semua ini satu keperluan. Perkara lain tolak ke tepi dulu. Tengok saja la blog ini sudah jarang kujenguk. Bukan sengaja tapi aku harus akur pada kemampuan diriku sendiri. Tambahan pula tugasku sejak akhir-akhir ini selalu menjadikan aku stress dan keletihan.

Aku perlu rehat yang cukup agar diriku kembali bertenaga untuk menjalankan tugas-tugas yang tak pernah selesai hari demi hari. Kehidupan sebagai PLHIV menjadi satu kemestian untuk aku memastikan agar tahap kesihatanku menjadi keutamaan. Hitung punya hitung aku ada 25 tahun lagi untuk bekerja sebelum memasuki alam persaraan. Ikutkan hati mau saja aku minta pencen awal agar tekanan yang aku rasai kini berakhir. Namun kukira itu bukan penyelesaian terbaik. Setiap masalah adalah cabaran yang perlu diharungi dengan akal fikiran yang positif.

Berbalik pada temujanji 1 Julai baru2 ni, seperti biasa aku datang awal ke QEH. Kesibukan jalan raya pasti menyukarkan pergerakan kalau aku lambat. Kali ini aku datang ke QEH menaiki pesawat Airasia. Tiket yang kubeli 30 Jun, 9:30 malam. sampai di Kota Kinabalu 10:30 malam. Lepas tu menaiki teksi hinggalah sampai di pondok sekuriti rumah. Perut kosong mula berkeroncong minta diisi. 

Aku pun menjengah kedai yang berdekatan untuk mencari apa2 bahan untuk dimasak. Sebenarnya aku tak berapa suka makan lewat malam ni sebab memang tak berapa baik di sudut kesihatan. Tapi kali ni tahap kelaparanku sudah tak dapat kutahan. ( Menu yang dimasak agak simple tapi agak sedap bagiku, kangkung tumis bersama sardin ). Hanya itu yang mampu disediakan bagi insan sebatang kara seperti diriku ini. Cukuplah untuk membuatkan aku rasa kenyang lagipun kukira ia menu yang seimbang juga daripada makan fast food. Aku lebih suka memasak makanan sendiri daripada makan di luar sebab aku jenis suka makan sayuran. Bab makanan aku tak cerewet yang penting ada sayur sudah cukup. ( to be continued...)


Thursday, 9 May 2013

Tahap kesihatanku sebagai Pembawa HIV+ lepas 6 bulan dalam HAART

Hari demi hari berlalu tanpa aku sedari dah hampir masuk tahun ke-4 aku hidup sebagai pembawa HIV+. Tarikh 25 November 2009 menjadi penentu segalanya dalam kehidupanku sehingga kini. Sebelum tarikh itu aku amat berbeza dengan aku yang ada sekarang ni.


Sebelum tahu status sebenar diriku, aku jarang ambil berat soal penjagaan kesihatan. Dalam setahun tak pernah sekalipun aku buat pemeriksaan kesihatan kecuali masa mula2 aku melanjutkan pelajaran dan sebelum memulakan alam pekerjaan. Itupun sekadar memenuhi tuntutan yang sewajarnya dibuat oleh semua orang sebagaimana kebiasaannya. Lain dari itu aku tak terfikir pun untuk ambil tahu macam mana tahap kesihatanku.


Sejak memulakan pengambilan HAART 11.11.2012, hingga kini aku amat bersyukur dengan tahap kesihatanku. Kebimbangan yang mula2 aku rasai tentang risiko ubat HAART terhadap diriku sudah lenyap. 6 bulan pertama aku rasa semakin sihat. Jarang dapat demam selsema dan batuk. Tetapi selepas dua kali temujanji dengan doktor, kadar kolesterol dalam darahku meningkat pula. Aku dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan makanan berminyak. CD4 pula naik. Sebelum HAART, 319, lepas 4 bulan HAART naik hampir 400. Kadar VL pula buat masa ni masih belum dapat diketahui disebabkan masalah teknikal.


Sebenarnya masa darahku diambil, aku tidak pernah puasa sebagaimana yang diarahkan. Pagi sebelum darahku diambil, aku bersarapan seperti biasa. Mungkin sebab itulah kadar kolesterolku naik. Itupun belum sampai ke tahap berbahaya. Salah aku juga yang tidak patuh arahan doktor.


Dalam menempuh hari2 sebagai pembawa HIV, aku juga sempat meluangkan masa membantu rakan2 senasib yang berada senegeri denganku. Aku bersyukur sebab dengan pengalamanku mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth KK, aku dapat membantu beberapa orang lagi untuk mendapatkan rawatan di sana. Tidak seperti aku masa mula2 datang ke Queen, aku langsung tidak ada arah panduan. Bayangkan hospital yang begitu luas macam mana aku tercari2 "id clinic". 











Wednesday, 1 May 2013

AzamAli selepas 6 bulan HAART

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua sahabat di luar sana. Sudah lama blog ini sepi dan lesu tanpa ada sebarang input yang dikongsikan. Begitulah senario yang terpaksa dihadapi oleh insan pemilik blog http://akuinginbelajarsesuatu.blogspot.com bernama Azam. Setiap hari ada saja komitmen yang dijadikan keutamaan sehingga blog ini sudah tidak pernah "update" sejak beberapa bulan lepas. Walaupun antara azam baru 2013 ialah menjadikan blog ini lebih aktif dan bermanfaat buat insan2 di luar sana yang memerlukan.


Realitinya kita hanya membuat perancangan tetapi yang lebih berkuasa adalah tuhan yang maha esa. Jauh di sudut hati wujud juga perasaan kesal sebab keterbatasan yang melanda diri menjadikan suasana blog ini kelihatan suram berbanding di peringkat awal kewujudannya iaitu ketika aku masih di peringkat "down". Dalam pada itu, aku juga tidak dapat "join" aktiviti yang dianjurkan oleh PSWG sejak sekian lamanya.


Sebelum ini aku rajin jenguk blog ni dan blog kawan2 senasib sambil berkongsi perasaan, pengalaman dan apa jua yang dihadapi sepanjang memegang status PLHIV. Bukanlah aku bermaksud melupakan dari mana dan bagaimana hingga aku menjadi seorang yang begitu kuat pada hari ini. Senang cakap ibarat kacang lupakaan kulit. Aku juga punya tekad untuk menjadi seorang yang giat memberi sumbangan dalam kehidupan PLHIV. Semua itu aku lakukan mengikut tahap kemampuanku. 


Masa yang sama aku  tidak akan sekali kali menjadikan diriku dan tanggungjawab2 lain terabai. Aku tidak mahu menjadi antara yang tergolong dalam perumpamaan kera di hutan disusukan anak di pangkuan mati kelaparan. Sebagai PLHIV, aku perlu jadikan tahap kesihatan diriku sebagai prioriti utama dalam hidup. Kalau aku sakit, siapa yang akan menguruskan diriku? bagaimana aku dapat menunaikan tanggungjawabku sebagai insan dan hambaNYA. 


Sebagai PLHIV, aku perlu ambil berat soal kesihatan diri. Pengambilan ubat HAART mesti dipatuhi setiap hari mengikut arahan doktor. Tarikh temujanji dan mengambil sampel darah mesti aku ingat dan pastikan tidak terlepas peluang. Itulah rutin yang WAJIB bagiku sebagai PLHIV. Setakat ini tahap kesihatanku sudah semakin bagus. Doktor berpuas hati dengan perkembanganku sejak mengambil ubat HAART 6 bulan lepas. Bagiku tidak ada lagi yang perlu aku risaukan setakat ini.


Sebagai manusia biasa aku juga pernah terabai waktu pengambilan ubat HAART. Kali pertama aku tertidur awal. Jam 4:30 pagi baru aku terjaga. Masa itu aku betul2 panik. Pernah juga aku terlewat sejam mengambil HAART. Atas perkongsian nasihat dan pengalaman kawan2, aku jadikan sebagai panduan supaya kelalaian ini tidak berulang. Peluang mendapat ubat HAART "first line" yang masih lagi percuma mesti aku manfaatkan sebaik2nya. Jangan sampai kecuaianku membawa kesukaran hingga aku terpaksa ditukarkan ubat ke "second line" HAART  yang lebih mahal dan berbayar.



Kepada mereka yang masih lagi berasa sangsi mengenai rawatan HAART dan bercadang untuk mengelak walaupun sudah sampai masa doktor bagi arahan untuk makan ubat, fikir2kanlah. Kita tidak ada pilihan lain untuk menjamin kesihatan yang lebih baik. Jangan terlalu percaya dengan bermacam2 suplemen juga rawatan2 alternatif kononnya boleh menyembuhkan PLHIV. Kita masih lagi berharap pada keajaiban dari yang maha esa namun jangan sampai kita tidak berpijak di bumi yang nyata.


 





MY RECENTLY POST

ANTARA CABARANKU SEBAGAI PLHIV

  Hidup sebagai seorang insan tidak sah jika tidak berhadapan dengan cabaran kehidupan. Jika ditanya satu persatu kepada semua orang pasti s...

MY POPULAR POST