Thursday, 1 October 2015

Review pada 21.9.2015

Aku telah mengikuti review pd 21.9 baru2 ini. Walaupun keadaan cuaca yang hujan dan keadaan jalan raya yang agak sesak, aku dapat mengharungi suasana itu dan selamat tiba ke hospital.


Setibanya di hospital kelihatan sudah ramai yang menunggu dipanggil oleh doktor. Selepas menimbang berat badan dan menyerahkan buku temujanji kepada staf yang bertugas, aku duduk sambil menunggu giliran.


Doktor yang bertugas pada hari tersebut seorang yang agak 'cool'. Aku sempat bertanya kadar kolesterol dan kadar gula dalam badanku. Dia memberitahu kondisi tubuhku dalam keadaan yang baik secara keseluruhannya cuma cd4 agak menurun sedikit. Viral load masih di tahap 'undetectable'.


Selepas mendapat borang untuk sesi pengambilan darah yang seterusnya, aku menuju ke farmasi untuk mengambil ubat sambil mengurus penghantaran ubat secara pos untuk bekalan ubat yang seterusnya. Kulihat penghujung bulan disember darahku akan diambil dan temujanji berikutnya pula penghujung bulan januari.



Monday, 14 September 2015

Perancangan selepas Temujanji 21.9.2015

Salam sejahtera semua.

Minggu hadapan adalah masa yang kutunggu-tunggu iaitu sesi temujanji bersama doktor di HQE. Mujur pada ketika itu kebetulan tarikh itu adalah bersamaan dengan hari cuti. Jadi aku tidak perlu lagi fikir soal MC.


Aku harap review pada kali ini berjalan dengan baik dan lancar. untuk sesi seterusnya, aku masih menunggu maklumat berkaitan dengan tarikh yang sesuai untuk ambil darah dan review yang akan datang.


Doakan semoga review pada 21.9.2015 ni memberikan khabar yang baik buat diriku. aminn

Thursday, 3 September 2015

Pusat Pengambilan Darah (PPD)

Salam sejahtera buat semua pembaca.

Baru-baru ni 24.08.2015 aku mengikuti rutin kebiasaan iaitu mengambil darah.Cuma bezanya kali ini aku tidak lagi meminta bantuan Kaunselor ID untuk mengambil darah seperti yang selalu kulakukan sebelum ini.


Setiap orang yang sampel darahnya diambil atas tujuan pemeriksaan mesti datang sendiri ke Pusat Pengambilan Darah (PPD) di HQE untuk pengambilan sampel darah masing-masing. Berbeza dengan aku sebelum ini aku tidak datang ke PPD seperti orang lain. Sebaliknya aku meminta jasa baik Kaunselor ID klinik untuk mengambil darahku.


Hari ini bilangan yang datang ke PPD untuk sesi pengambilan darah agak ramai walaupun di saat kedatanganku ialah seawal pukul 7 pagi. Mereka yang datang awal dariku hanya menunggu giliran untuk dipanggil masuk ke ruangan khas untuk pengambilan darah. Satu persatu nama dipanggil masuk dan ditempatkan di satu kawasan yang hanya dipisahkan oleh penghalang @ 'divider'. Staf yang terlibat mengambil darah ada 4 orang semuanya.


Sampai giliran namaku dipanggil masuk oleh seorang staf wanita. Aku terus bangun dan menuju ke arah staf tersebut. Dia menyerahkan borang dan beberapa botol kosong untuk mengisi darah kepadaku. Selepas beberapa minit darahku dapat diambil oleh seorang staf lelaki yang kukira berpengalaman.


Selanjutnya aku menanti keputusan terkini tentang kesihatan diriku pada 21.9.2015 iaitu temujanjiku yang berikutnya. Aku berpuas hati dengan perjalanan sesi mengambil darah di Pusat Pengambilan Darah PPD HQE. Tiada terlihat sebarang unsur-unsur stigma, prejudis dan yang berkaitan seperti yang pernah dikongsikan oleh salah seorang kawan sebelum ini.



Thursday, 18 June 2015

Bekalan Ubat HAART

Beberapa hari lepas aku menerima sms dari staff pejabat pos yang memberitahu bahawa aku dikehendaki datang ke sana mengambil barang kiriman. Aku tahu itu adalah kiriman ubat dari hospital. Selama ini aku menggunakan khidmat Kiriman Ubat Melalui Pos. Cara ini banyak membantuku mendapatkan bekalan ubat HAART pada masa yang sepatutnya dan mengelakkan aku kehabisan ubat tersebut.


Pihak hospital tempat aku review hanya membekalkan ubat HAART cukup untuk sebulan sahaja. Memandangkan jarak  tempat tinggal yang agak jauh, aku menggunakan khidmat Pos tanpa perlu datang ke farmasi hospital untuk mengambil ubat.


Sebelum ni, ubatku dihantar ke hospital daerah. Tiap kali bekalan ubat sampai aku terpaksa pula datang ke sana. Aku rasa ia agak menyukarkan diriku sebab aku terpaksa beratur panjang. Service staf hospital yang bertugas menyerahkan ubat mereka tidak memuaskan hatiku. Seolah-olah aku review di hospital itu sedangkan tugas mereka hanya menyerahkan ubat tanpa perlu banyak bertanya tentang status dan ubat yang kuambil. Ubat pula tidak dibungkus dengan rapi. Boleh nampak dengan jelas botol ubat oleh sesiapa sahaja.


Lantaran itu, aku menukarkan alamat ke pejabat pos. Ubat yang dihantar dan diambil di pejabat pos keadaannya lebih selamat. Dibungkus dengan rapi  tanpa seorang pun yang tahu isi kandungan bungkusan di dalamnya. Cuma staf pejabat pos tu memang tahu ia adalah ubat cuma dia tak tahu plak ubat apa.. lebih selamat dan terjamin privesi.


Aku cuma perlu membayar RM5 shj sebelum ni tapi berkuatkuasa 1 April ia bertambah jadi RM5.30. Apapun aku bersyukur sebab aku tak perlu datang ke kaunter farmasi hospital setiap bulan membawa slip bekalan ubat untuk mendapatkan bekalan ubat yang diperlukan.


Bermakna aku hanya datang ke hospital setiap kali ambil darah dan temujanji doktor sahaja.

Monday, 1 June 2015

Takziah buat AHP

Antara perkara yang paling menyedihkan dalam hidup ialah perpisahan. Perpisahan yang melibatkan insan yang amat diperlukan. Seorang yang tak jemu memberi apa jua pengorbanan mengikut batas dirinya demi malihat insan lain bahagia.


Baru2 ni aku dikejutkan dengan pemergian AHP. Seorang yang telah banyak mengubah diriku dalam isu hiv dan AIDS ini. Ada hikmah mengapa segalanya terjadi. Walaupun rasa berat hati namun takdir mesti diterima dengan redha. Insan yang aku sayangi ini telah pergi menghadap ilahi dalam keadaan ramai lagi insan di luar sana yang mesih memerlukan dirinya mengharungi kehidupan suka duka sebagai PLHIV.


Aku sentiasa berdoa semoga AHP dicucuri rahmat. Terima kasih yang tak terhingga kuucapkan buat dirinya yang selama ini membimbing aku menempuh kehidupan yang mencabar ini. Tidak terkata jasa dan budinya. Biarlah aku saja yang tahu betapa kekuatan yang aku miliki kini antaranya hasil sikap supportif arwah terhadapku.


Al Fatihah buat AHP. Semoga kita bertemu di Jannah. Ukhuwah yang terjalin antara kita sukar dibeli dengan wang ringgit. Ukhuwah itulah yang membawa ke syurga. Diri ini akan sentiasa mengingati jasamu.


Sunday, 28 December 2014

Cabaran Semasa hadapi dengan tabah.

Baru2 ini pelbagai cabaran melanda kita. Sebagai manusia kita hanya mampu menerimanya mau atau tidak sebab itulah yang telah tersurat untuk kita semua. Semoga ujian2 tersebut menjadikan kita lebih kuat dan tabah menghadapinya. Ada hikmah atas segala yang berlaku kepada kita.


Setakat ni aku berada dalam keadaan yang baik. Tahap kesihatan turun naik. Masa untuk ambil darah berikutnya  pada Mac 2015 dan review pula april, sebulan selepasnya. Moga segalanya berjalan dengan baik dan lancar



Monday, 31 March 2014

Double ( Ambil darah + Review )

Aku bersyukur kepada Allah kerana sesi ambil darah yang dijadualkan pada hari ini berjalan dengan lancar. Walaupun pada mulanya timbul kerisauan dalam hati pada kali ini. Entah mengapa aku terlalu dibayangi oleh perasaan ini. Kerisauan yang sukar diluah dengan kata-kata. Aku sendiri buntu akal untuk menzahirkannya satu persatu.


Aku cuma mahu berkongsi kebimbanganku terhadap kekerapanku ke hospital untuk ambil darah dan temujanji selama ini bakal menjejaskan kepercayaan pihak majikanku. Ia juga menjadi punca terjejasnya hubungan baik antara aku dengan kawan2 sekerja.


Jika dalam setahun sudah lebih dari dua kali MC, tak mustahil akan timbul keraguan baik di kalangan pentadbir dan rakan sejawat. Umur masih belum sampai 40 tapi selalu MC MC MC..

Walaupun setidak tidaknya ada sick leave, tapi tak kan terlalu kerap kali.

Kerahsiaan tetap menjadi peganganku. Aku masih lagi belum bersedia untuk berterus terang tentang kondisiku lebih2 lagi sesama kawan sekerja apatah lagi majikanku. Aku tahu sejauh mana tahap pengetahuan kawan kawan di sekelilingku berkenaan HIV AIDS. 


Kesimpulannya, masih belum sesuai untuk mereka tahu. Isu yang remeh temeh pun boleh diperbesarkan apatah lagi isu ini. Ini realiti yang berlaku di sekelilingku, bukan bermaksud aku menyifatkan setiap insan itu dengan ciri2 judgemental, stigma dan seumpamanya. Aku belajar dari pengalaman sebelum ini dan ia menjadikan aku agar lebih berhati2.


Agaknya menanti superhero datang memberi penerangan kepada mereka satu persatu bahawa plhiv tidaklah bahaya seperti yang disangkakan dan bla bla bla. Entah bila dan siapakah gerangan. Aku ke? 


Keinginan memang ada namun bukan sekarang. Cukup la buat masa ini aku menjadi seorang blogger biasa yang ingin berkongsi suka duka kehidupanku sebagai plhiv. Hanya itu yang termampu aku lakukan di samping kesibukanku dalam tugas dan tanggungjawab harianku.

 
Sedangkan parents dan kerabatku tidak sorang pun tahu statusku plhiv ini. Itulahlah kelemahanku sebagai insan yang serba kekurangan ini. Ditelan pahit dibuang sayang. Aduhai diri yang begitu banyak kekurangannya.



Aku tiba di QEH seawal pukul 6.15 pagi. Sempat untuk aku menghirup udara segar di pagi hari di tengah2 bandaraya ini. Keadaan lalulintas pun masih belum sesak. Lancar saja pergerakan kenderaan yang kunaiki ke QEH.


Aku tidak menjamah sebarang makanan sebagaimana kebiasaannya. Itulah kelaziman yang perlu dipatuhi sebelum darah diambil. Pernah sekali aku makan nasi berlaukkan ayam masak kari sebelum darah diambil. Akibatnya kalau tak ikut arahan yang sepatutnya padah menimpa diri sendiri.


Doktor kata kolesterolku naik dan menyuruhku berjaga2 supaya tidak sampai kepada tahap yang memerlukan aku mengambil ubat kolesterol. Sudahlah setiap hari menelan dua biji ubat HAART, pastu telan lagi ubat kolesterol. Berapa banyak ubat da....


Aku terlebih dahulu menemui kaunselor Joseph sebelum sampel darahku diambil. Tujuan hanyalah untuk meminta bantuannya mendapatkan sick leave untuk kukemukakan kepada majikan keesokan harinya. Namun katanya, lebih elok untuk sesi ambil darah dan temujanji akan datang, dipastikan dahulu bila masanya minggu2 bercuti agar tarikh dapat diletakkan pada waktu tersebut. Ini untuk mengelakkan agar aku kerap MC.



Selepas perbincangan dengan kaunselor joseph, tarikh temujanjiku yang sepatutnya 30 April ditukar ke hari ini. Sesi ambil darah untuk akan datang pula ditetapkan pada hari ahad bersamaan 10 Ogos. Ini bagi mengelakkan aku sekali lagi mengambil MC pada penghujung April nanti begitu juga sesi ambil darah akan datang. Cukuplah MC untuk hari ini sahaja. Next review ialah pada 15. September.



Seterusnya, sesi berjumpa dengan Doktor Farah Nadiah Bidin. Tak sampai 10 minit konsultasiku bersama doktor memandangkan tiada masalah yang aku hadapi sejak pengambilan ubat HAART.


Doktor puas hati dengan keadaanku. Cuma pada kali ni tidak ada laporan CD4 dan VL terkini ,hanya berpandukan pada laporan yang lepas2 saja. Katanya, jika ada masalah dalam ujian darah kali ini, pihak ID akan menghubungiku untuk tindakan selanjutnya.


Aku berpuas hati dengan sesi ambil darah kali hari ini. Staf ID yang membantu khususnya kaunselor Joseph memberikan aku semangat baru untuk lebih cekal dan lebih menjaga tahap kesihatanku. Syukur alhamdulillah, boleh dikatakan hari ini dua dalam satu bagi diriku sebagai PLHIV sekaligus merungkai permasalahan yang kuhadapi berkaitan dengan MC.


Demikianlah catatanku untuk sesi kali ini. Moga memberi manfaat buat kita semua.

MY RECENTLY POST

ANTARA CABARANKU SEBAGAI PLHIV

  Hidup sebagai seorang insan tidak sah jika tidak berhadapan dengan cabaran kehidupan. Jika ditanya satu persatu kepada semua orang pasti s...

MY POPULAR POST