Friday, 19 January 2024

PEREDIAAN AMBIL DARAH 26 FEBRUARI 2024

Tahun ini adalah tahun yang ke-12 aku menjalani rawatan HAART. Setakat ini kondisi kesihatanku amat baik dan stabil. Ubat yang diberikan dapat aku ambil dengan teratur.

Sesi memulakan HAART tahun 2012, aku mengambil ubat pada jam 10 malam. Namun setelah beberapa tahun aku menukarkan masa dari 10 malam ke 9 malam setelah berbincang dengam doktor. 

Tarikh ambil darah : 26 Februari 2024
Tarikh jumpa doktor : Mac 2024

Semoga urusan dipermudahkan. 


Tuesday, 16 January 2024

MENGHARUNGI TAHUN BARU 2024

Tahun 2023 baru sahaja melabuhkan tirai dan dimulai dengan tahun 2024. Tahun baru yang sudah pastinya mempunyai banyak ujian dan dugaan bagi diri ini sebagai PLHIV.

Peralihan ke tahun 2024 juga memunjukkan usia yang semakin meningkat dan semakin menghampiri titik noktah kehidupan alam fana. Diri ini merasakan kehidupan di sekeliling biasa biasa saja. Tidak ada perkara yang menggembirakan. Mungkin tandanya diri ini sudah semakin dimamah usia. 

Hari demi hari episod drama kehidupan tidak pernah berhenti. Ada saja episod baharu yang datang mencabar kudrat diri untuk menghadapinya. 

Pernah terdetik juga dalam hati ini alangkah baiknya jika ajal sudah tiba. Namun, diri ini percaya setiap perkara yang terjadi pasti ada hikmah di sebaliknya 

Di sebalik semua perkara yang berlaku, diri ini tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada mereka yang selama ini sentiasa bersama-sama menghadapi pahit manit ujian hidup yang dihadapi. 

Semoga tuhan membalas kebaikan itu dengan rahmat yang berpanjangan. 

Tentu ramai yang perasan kewujudan blog ini yang semakin dingin. Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. 

Bermula sejak pemergian AHP, insan yang telah banyak memberi semangat kepada diri ini menempuh ranjau hidup debagai PLHIV. Dia sangat supportif. Blog AHP menjadi inspirasi untuk diriku mula berblog hinggalah terwujudnya blog ini. 

Selepas ketiadaan AHP, satu persatu insan yang pernah kukenali hilang tanpa dapat dijejak. Hanya ada satu dua orang sahaja itupun jauh di negeri lain. 
-------------------------------

 Hari ini aku meneruskan rutin membawa bapa ke hospital utk review doktor. Sudah masuk tahun yang kelima rutin ini diteruskan. Keadaan kesihatan bapa ada pasang surutnya. 

Bulan 2 nanti giliranku pula ambil darah disusuli review doktor pada Mac. Semoga urusan dipermudahkan. 

( Sempat bersarapan pagi di kantin hospital. Menu cuma mee goreng telur mata sapi dan lemon teh panas kosong) 


Tuesday, 24 October 2023

MENGELAKKAN DIRI BUKAN BERMAKNA ANTI SOSIAL

SEBAGAI SEORANG MANUSIA BERSOSIALISASI ADALAH SATU KEPERLUAN YANG SERING BERLAKU DALAM KEHIDUPAN. SELARAS DENGAN PERHUBUNGAN SESAMA MANUSIA DAN HUBUNGAN DENGAN TUHAN KEDUA-DUANYA SALING BERKAIT.

NAMUN TIDAK DINAFIKAN SIKAP SEGELINTIR ORANG YANG TERBIASA BERSEMBANG ATAU BERTANYA MENGENAI HAL EHWAL YANG MENYENTUH ISU PERIBADI. KEDENGARAN AGAK MENJENGKELKAN NAMUN ITULAH REALITI YANG SELALU BERLAKU. 

CONTOH, ADA 1 ORANG NI SUKA BERTANYA TENTANG PERIHAL GAJI, PANGKAT DAN KEDUDUKAN SEOLAH-OLAH PERKARA TERSEBUT JIKA DIA TIDAK TAHU MENJADIKAN DIA TAK SENANG DUDUK. 

PERSOALANNYA UNTUK APA HAL-HAL SEBEGITU DICUNGKIL? APA KEBAIKAN UNTUK DIA? TIDAKKAH DIA TERFIKIR BAGAIMANA PERASAAN ORANG YANG DITANYA TU LEBIH-LEBIH LAGI SOALAN-SOALAN YANG TIDAK SEPATUTNYA DITANYA ITU DITANYA DI KHAYALAK RAMAI? 

ADALAH LEBIH BAIK MENGELAKKAN DIRI DARI BERTEMU DENGAN ORANG YANG TIDAK PRIHATIN DENGAN SENSITIVITI ORANG LAIN. 


Friday, 20 October 2023

BUAT YANG TERBAIK DEMI KESIHATAN

Hari demi hari berlalu meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis dalam kehidupan. Perkara yang telah berlalu baik yang menggembirkan atau menyedihkan kekal terpahat dalam ingatan.

Andai kenangan itu memberikan senyuman maka ia wajar dikenang. Namun jika sebaliknya, wajarlah ia dilupakan terus dari ingatan. 

Melupakan itu satu usaha untuk meletakkan diri agar sentiasa berada di landasan yang terbaik. 

Hari-hari sebagai PLHIV tetap aku lalui seperti biasa. Mahu atau tidak virus ini tetap menjadi darah daging dalam tubuhku. Aku tidak mampu untuk melenyapkannya.

Bahkan dunia hari ini masih belum ada tanda-tanda bahawa virus ini boleh dihapuskan apabila ia sudah bersarang dalam badan. 

Melihat di sudut yang positif, virus ini telah menjadikan aku lebih kuat menempuh cabaran hidup dan lebih perhatian terhadap penjagaan kesihatan. Di sebalik sesuatu yang dianggap sebagai keburukan terselit pelbagai kebaikan.

Menceritakan pula tentang review hospital dan keputusan ujian darah yang telah aku ambil menunjukkan pasang surut. Berfokuskan pada kadar bacaan CD4 dan VL, itulah yang menjadi aras petunjuk tahap kesihatan seirang PLHIV selain melihat pada kadar bacaan gula, kolesterol, hati, buah pinggang dan lain-lain. 

Pernah sekali aku mengalami bacaan gula yang mencapai 6.7. Doktor yang melihat laporan hasil ujian darah itu telah meletakkan aku dalam keadaan berjaga-jaga kerana dianggap aku sudah hampir ke tahap untuk menghidap kencing manis. 

Aku mula mengingat kembali cara pemakananku sebelum sesi mengambil darah dilakukan. Ternyata aku perlu mengubah tabiat yang boleh menjadikan bacaan gula semakin naik. 

Itu antara momen pasang surut yang kualami sepanjang menghadapi sesi rawatan di hospital. Aku terus meletakkan azam yang tinggi menjadikan usaha penjagaan kesihatan sebagai matlamat hidupku. 

Saturday, 18 February 2023

STATUS DAN KERAHSIAAN

Status seseorang sebagai PLHIV secara rasmi jika diperoleh melalui ujian darah secara klinikal. Ia boleh dijalankan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan atau swasta.

Sejurus mengetahui status tersebut pasti akan timbul isu kerahsiaan. Al maklum perkara ini amat sensitif kerana jika silap langkah akan mengundang implikasi negatif kesan stigma yang masih wujud terhadap golongan PLHIV. 

Ikutlah saluran yang tepat dengan merujuk pada yang pakar dalam bidangnya. 

Thursday, 22 December 2022

Selamat tahun baru 2023

Hello semua.

Tahun 2022 menyaksikan pelbagai suka duka dalam kehidupan. Semoga segala ujian yang menimpa menjadikan diri kita lebih kuat menongkah arus perjuangan hidup di masa-masa akan datang. 

Kepada mereka yang telah mendapat rawatan teruskan sesi rawatan tersebut. Bagi mereka yang baru sahaja diagnosed hiv positif jangan mudah patah semangat. Usahalah dapatkan rawatan dan jangan terpengaruh dengan iklan-iklan di media sosial yang memberi jaminan bahawa hiv dapat disembuhkan dengan rawatan alternatif.

Semua itu tak lain hanya untuk mengaut keuntungan. Ada bermacam-macam jenis iklan hingga ada yang sanggup menggunakan agama kononnya boleh menyembuhkan. Ketahuilah hiv ini masih belum ada penyembuhnya. 

Logiknya jika mereka terbukti dapat menyembuhkan hiv sudah pasti mereka akan tampil ke hadapan membantu mensifarkan seterusnya menghilangkan hiv aids di dunia ini. Sebaliknya dakwaan mereka itu hanya sekadar menangguk di air yang keruh sahaja.

Mereka hanya mahu mendapatkan keuntungan daripada hasil bayaran orang yang menjadi mangsa penipuan mereka. Zaman ini macam-macam taktik dibuat semata-mata untuk dapat wang. 

Aku menyifatkan mereka ini umpama scammer yang berlindung di sebalik niat baik. 




Tuesday, 8 November 2022

JAGA KESIHATAN

MENJADI KEUTAMAAN KEPADA SEMUA ORANG UNTUK MENJAGA KESIHATAN. FIKIRAN PERLU SENTIASA TENANG. ELAKKAN STRESS. DAPATKAN REHAT YANG CUKUP. PASTIKAN UBAT TIDAK SKIP DAN ELAKKAN PENGAMBILAN UBAT2 TRADISIONAL SEBAB IA BOLEH MEMBERI KESAN PADA UBATAN YANG DIAMBIL. 

WANG RINGGIT TIDAK ADA GUNANYA JIKA TUBUH BADAN DALAM KEADAAN SAKIT. MENCEGAH LEBIH BARIK DARI MENGUBATI. 


MY RECENTLY POST

ANTARA CABARANKU SEBAGAI PLHIV

  Hidup sebagai seorang insan tidak sah jika tidak berhadapan dengan cabaran kehidupan. Jika ditanya satu persatu kepada semua orang pasti s...

MY POPULAR POST