Sehingga kini, kes Covid-19 yang dilaporkan di Malaysia telah mencapai angka 20, 000 ke atas sejak beberapa minggu yang lalu. Keadaan ini bukan sahaja menunjukkan tahap kes harian yang semakin meningkat malah membawa kepada peningkatan kes kematian melebihi 100 orang dalam sehari. Amat merisaukan sekali keadaan ini.
Sebagai seorang yang sudah 12 tahun bergelar PLHIV, keadaan tersebut banyak mengajar saya agar lebih berhati-hati serta berwaspada agar seboleh-bolehnya diri tidak tergolong dalam statistik harian Covid-19 yang tidak diketahui titik noktahnya.
Setakat ini sudah dua kali PKP dilaksanakan sehingga impian untuk travel tertunda. Kalau melihat pada situasi terkini, hasrat untuk travel nampaknya perlu diketepikan. Seingat diri ini, penghujung tahun 2019 adalah rancangan terakhir untuk travel. Tiket dan pengiapan telah ditempah seawal tahun 2019 namun akhirnya terpaksa dibatalkan kerana penularan covid-19.
Mujurlah tiket penerbangan dapat ditebus balik. Agak malang tempahan hotel hangus begitu saja. Tidak mengapa. Mungkin ada hikmah atas segala yang berlaku. Semoga pandemik ini cepat berakhir dan negara ini mencapai tahap imuniti kelompok agar segalanya kembali kepada sedia kala.