Hari demi hari berlalu tanpa aku sedari dah hampir masuk tahun ke-4 aku hidup sebagai pembawa HIV+. Tarikh 25 November 2009 menjadi penentu segalanya dalam kehidupanku sehingga kini. Sebelum tarikh itu aku amat berbeza dengan aku yang ada sekarang ni.
Sebelum tahu status sebenar diriku, aku jarang ambil berat soal penjagaan kesihatan. Dalam setahun tak pernah sekalipun aku buat pemeriksaan kesihatan kecuali masa mula2 aku melanjutkan pelajaran dan sebelum memulakan alam pekerjaan. Itupun sekadar memenuhi tuntutan yang sewajarnya dibuat oleh semua orang sebagaimana kebiasaannya. Lain dari itu aku tak terfikir pun untuk ambil tahu macam mana tahap kesihatanku.
Sejak memulakan pengambilan HAART 11.11.2012, hingga kini aku amat bersyukur dengan tahap kesihatanku. Kebimbangan yang mula2 aku rasai tentang risiko ubat HAART terhadap diriku sudah lenyap. 6 bulan pertama aku rasa semakin sihat. Jarang dapat demam selsema dan batuk. Tetapi selepas dua kali temujanji dengan doktor, kadar kolesterol dalam darahku meningkat pula. Aku dinasihatkan supaya mengurangkan pengambilan makanan berminyak. CD4 pula naik. Sebelum HAART, 319, lepas 4 bulan HAART naik hampir 400. Kadar VL pula buat masa ni masih belum dapat diketahui disebabkan masalah teknikal.
Sebenarnya masa darahku diambil, aku tidak pernah puasa sebagaimana yang diarahkan. Pagi sebelum darahku diambil, aku bersarapan seperti biasa. Mungkin sebab itulah kadar kolesterolku naik. Itupun belum sampai ke tahap berbahaya. Salah aku juga yang tidak patuh arahan doktor.
Dalam menempuh hari2 sebagai pembawa HIV, aku juga sempat meluangkan masa membantu rakan2 senasib yang berada senegeri denganku. Aku bersyukur sebab dengan pengalamanku mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth KK, aku dapat membantu beberapa orang lagi untuk mendapatkan rawatan di sana. Tidak seperti aku masa mula2 datang ke Queen, aku langsung tidak ada arah panduan. Bayangkan hospital yang begitu luas macam mana aku tercari2 "id clinic".