Thursday, 31 December 2015

Diriku di ambang tahun baru 2016

Petang yang hening di hari terakhir tahun 2015..aku rasakan tetap sama seperti tahun tahun sebelumnya. Tidak ada perbezaan walau sedikitpun. Tahun tahun yang sudah aku mengikuti program sambutan tahun baru anjuran kawasan kediamanku. Sekali lagi pada tahun ini acara yang sama diadakan. Namun aku sudah ada perancangan lain untuk diriku sebagai pengisian yang lebih santai dan privesi.


Semalam saja sudah ada surat jemputan beserta pemberitahuan tentang acara  tahunan pada malam ini. Aku tidak berminat untuk menyertainya. Cukuplah ahli keluargaku yang lain hadir sebagai wakil dan tanda bahawa kami turut serta dalam aktiviti anjuran mereka. Aku tidak menemui kepuasan yang ingin kucari dalam aktiviti mereka. Entah mengapa hatiku berkata demikian. Sejujurnya aku ingin bersendirian sambil menghitung segala kekurangan diri.


Kepada yang membaca blog ini dan yang pernah memberi kata kata semangat sekalipun kita tidak saling mengenali aku cuma mampu melafazkan kata kata penghargaan dan terima kasih. Semoga blog ini mampu memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan sampai bila bila.





Wednesday, 30 December 2015

Ambil Darah di PPD Queen(last bg tahun 2015)

Salam sejahtera..

Pada 21 Disember baru baru ini aku telah menjalani rutin sebagai pengunjung tetap hospital iaitu sesi ambil darah. Berbeza seperti sebelum ini aku datang seawal 6:30 pagi agar dapat menghabiskan sesi ambil darah lebih awal. Perancangan kali ini berjaya. Aku berharap agar keputusan kali ini lebih baik berbanding sebelum ini.


Seterusnya aku perlu membuat perancangan untuk review pada 24 Januari tahun hadapan. Jika tidak ada sebarangan halangan tarikh itulah yang menjadi cuti pertamaku bagi tahun 2016 nanti. 

Tuesday, 15 December 2015

Amal jariah di sudut kaca mata seorang PLHIV

 Salam santun di hari yang indah..

Acapkali kedengaran di ruang media sosial dan media massa tentang kehebatan insan-insan yang terpilih dalam aspek amal jariah. Bila bercakap tentang amal jariah, aku terfikir bahawa ia adalah satu saluran yang boleh membantu khususnya insan seperti aku kelak. Bantuan dari sudut apa, terang dan jelas bahawa ia adalah bertujuan saham untuk hari kemudian.

Mengimbas kembali apakah yang telah aku lakukan untuk itu, aku belum dapat memberi satu kepastian yang boleh memberi kepuasan kepada diriku. Rasanya masih terlalu sedikit yang boleh kujadikan sebagai amal jariah. Bergerak atas kapasiti individu yang adakalanya turun naik semangat dan motivasinya, hanya blog ini sahaja yang mampu menjadi medan untuk aku jadikan sebagai sumbangan amal jariahku buat insan insan yang masih memerlukannya.

Sesungguhnya bagi diriku tidak tergambar keseronokan andai aku dapat memberi bantuan kepada rakan rakan senasib yang masih tercari cari hala tuju yang sepatutnya dilalui. Ujian yang bertandang menimpa diriku dan rakan yang senasib bukan mudah untuk dihadapi. Hanya yang kuat sahaja boleh berdepan dengan perkara ini. 

Aku akui menjadi seperti aku hari ini memerlukan fasa fasa tertentu yang menjadikan aku bangkit dari mimpi yang lena. Mimpi apakah itu? Adakah ia saja saja aku buat sendiri atau ia hadir disebabkan jiwaku yang terlalu lemah untuk menghadapinya. Boleh jadi iya dan boleh jadi tidak. Mungkin salah satunya betul atau kedua duanya itulah puncanya aku menjadi down dalam hidup.

Saat kebangkitanku bermula tatkala dipertemukan dengan insan insan yang hebat. Siapakah mereka? Mereka adalah insan yang jauh dariku namun sentiasa dekat di ruang hatiku. Walaupun sudah ada di antara mereka yang pergi menyahut seruan ilahi, namun segala kata nasihat dan  bukti sisa sisa perjuangan mereka tetap mekar di sanubariku.

Kesedihan dapat kurasai kerana tidak dapat bersama sama mereka. Berjuang menjadikan kehidupan ini lebih bermakna dan lebih terisi dengan pelbagai program yang memperkasakan diri. Jika sebelum ini aku mempunyai otai yang kujadikan rujukan namun kini  dia sudah tiada. Allah lebih menyayangi dirinya. 

Justeru, aku perlu menjadi lebih berdikari. Aku yakin dan percaya walaupun insan tersebut sudah tiada, aura perjuangannya masih belum berkubur lagi. Kenangan yang dapat kusimpan hanyalah beberapa keping foto dan beberapa respon yang sempat dihantar dalam blog yang tidak seberapa ini.

Menghadapi hari hari mendatang seperti biasa, aku ingin berkongsi setiap saat bagaimana aku perlu tabah. Bagaimana aku perlu kuat. Rasanya ia tidaklah sesukar mana kerana sebelum ini aku sudah berjaya tersedar dari suasana emosi yang terlalu "down". Tinggal lagi aku perlu menambah kekuatan diri supaya tidak mudah rebah dalam perjuangan.

Semoga kita insan senasib sentiasa kuat dan tabah.

 





Monday, 14 December 2015

Sekadar coretan Hati yang kusut..

Salam sejahtera.

Semakin diri diinjak usia semakin diri ini terfikir, apakah yang telah aku sumbangkan dalam kehidupan. Ya, sumbangan yang mungkin memberikan manfaat kepada semua orang. Aku hanyalah insan biasa yang mempunyai banyak kekurangan dan keterbatasan. Namun aku juga ingin berbakti kepada sesiapa sahaja agar ia menjadi saham yang boleh membantuku di hari kemudian. Tidak kiralah apa jua bentuk sumbangan yang penting boleh membantu meringankan penderitaan atau kesusahan orang lain.

Stop talking about it... Nampaknya aku sudah semakin hilang idea dalam pengisian blog yang kukira suda masuk ke usia yang ke 3 atau ke 4 tahun kewujudannya. Aku tidak mahu melihat ke belakang. Langkah perlu diteruskan ke hadapan sambil cuba mencipta kehidupan yang bermakna buat diri dan sesiapa sahaja di sekelilingku.

Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, kedengaran berita tentang pemergian beberapa orang insan yang telah banyak menemaniku dalam sisa-sisa usiaku yang lalu. Aku membesar bersama-sama perjuangan mereka. Kehidupanku pernah diserikan dengan telatah suka duka mereka yang kutonton melalui kaca televisyen. Sekalipun tidak pernah bertemu secara bersemuka, namun kehadiran mereka yang seringkali menghiasi rancangan dalam program yang kusukai ternyata memberikan impak kepada diriku.

Aku hanya mampu mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat. Berpegang kepada keyakinan bahawa suatu masa aku juga pasti akan mengikuti jejak langkah mereka. Cuma entah bila dan bagaimana bila tiba saat itu nanti. siapakah yang akan menemaniku dan menyempurnakan diriku sebelum aku berdepan dengan alam kehidupan yang kekal.


Kehadiran teman teman umpama pasang surut yang tiada kekalnya. Sering berubah ubah. Namun tiada satupun yang setia bersama sama menemani diriku ini. Kekadang aku juga ingin meluahkan sesuatu dalam blog namun hasrat itu terhenti. entah mengapa. Kekurangan idea? Kekangan masa akibat kesibukan? Semua itu bukannya alasan. Hanya aku sahaja yang mencipta alasan sendiri untuk tidak menulis di blog ini.

Sudah ramai di kalangan sahabat, teman, kawan yang menemui kebahagiaan dalam kehidupan mereka. Aku bersyukur melihat mereka dalam kegembiraan. Aku hanya mampu melihat keriangan di wajah mereka dari jauh. Biarlah aku sekadar menjadi pemerhati. entah bila pula tiba giliranku menikmati kebahagiaan itu. Untuk memberi satu perangsang kepada diri aku menganggap setiap hari hari yang kulalui adalah satu nikmat dan kebahagiaan.


Berapa ramai insan di luar sana yang menghadapi kepayahan tidak seperti aku. Kepada pembaca sekalian, maaf jika penulisan kali ini agak nampak emosional. Setiap orang mempunyai ujian hidup masing masing dan cara yang tersendiri untuk menghadapinya. Aku tidak tahu berapa lama lagi tempoh kehidupanku. Yang pasti aku perlu sentiasa bersyukur dan cuba memperbaiki diri.


Kepada mereka yang sering kusakiti aku hanya mampu menghulur salam kemaafaan. Sebarang persoalan yang tidak dapat kujawab bukan bermakna aku enggan menjawabnya. Segala persoalan kadang kala boleh kita temui dengan mudah jawapannya andai kita berusaha untuk mencarinya dari pelbagai sumber. Dalam zaman serba moden terlalu banyak cara untuk menjawab segala kemusykilan dengan cara yang mudah, cepat dan tepat.






MY RECENTLY POST

CARA PLHIV MENINGKATKAN KEYAKINAN DIRI

Meningkatkan keyakinan diri sebagai seorang yang hidup dengan HIV (PLHIV) memerlukan penerimaan diri dan usaha berterusan untuk hidup dengan...

MY POPULAR POST