Tuesday, 15 December 2015

Amal jariah di sudut kaca mata seorang PLHIV

 Salam santun di hari yang indah..

Acapkali kedengaran di ruang media sosial dan media massa tentang kehebatan insan-insan yang terpilih dalam aspek amal jariah. Bila bercakap tentang amal jariah, aku terfikir bahawa ia adalah satu saluran yang boleh membantu khususnya insan seperti aku kelak. Bantuan dari sudut apa, terang dan jelas bahawa ia adalah bertujuan saham untuk hari kemudian.

Mengimbas kembali apakah yang telah aku lakukan untuk itu, aku belum dapat memberi satu kepastian yang boleh memberi kepuasan kepada diriku. Rasanya masih terlalu sedikit yang boleh kujadikan sebagai amal jariah. Bergerak atas kapasiti individu yang adakalanya turun naik semangat dan motivasinya, hanya blog ini sahaja yang mampu menjadi medan untuk aku jadikan sebagai sumbangan amal jariahku buat insan insan yang masih memerlukannya.

Sesungguhnya bagi diriku tidak tergambar keseronokan andai aku dapat memberi bantuan kepada rakan rakan senasib yang masih tercari cari hala tuju yang sepatutnya dilalui. Ujian yang bertandang menimpa diriku dan rakan yang senasib bukan mudah untuk dihadapi. Hanya yang kuat sahaja boleh berdepan dengan perkara ini. 

Aku akui menjadi seperti aku hari ini memerlukan fasa fasa tertentu yang menjadikan aku bangkit dari mimpi yang lena. Mimpi apakah itu? Adakah ia saja saja aku buat sendiri atau ia hadir disebabkan jiwaku yang terlalu lemah untuk menghadapinya. Boleh jadi iya dan boleh jadi tidak. Mungkin salah satunya betul atau kedua duanya itulah puncanya aku menjadi down dalam hidup.

Saat kebangkitanku bermula tatkala dipertemukan dengan insan insan yang hebat. Siapakah mereka? Mereka adalah insan yang jauh dariku namun sentiasa dekat di ruang hatiku. Walaupun sudah ada di antara mereka yang pergi menyahut seruan ilahi, namun segala kata nasihat dan  bukti sisa sisa perjuangan mereka tetap mekar di sanubariku.

Kesedihan dapat kurasai kerana tidak dapat bersama sama mereka. Berjuang menjadikan kehidupan ini lebih bermakna dan lebih terisi dengan pelbagai program yang memperkasakan diri. Jika sebelum ini aku mempunyai otai yang kujadikan rujukan namun kini  dia sudah tiada. Allah lebih menyayangi dirinya. 

Justeru, aku perlu menjadi lebih berdikari. Aku yakin dan percaya walaupun insan tersebut sudah tiada, aura perjuangannya masih belum berkubur lagi. Kenangan yang dapat kusimpan hanyalah beberapa keping foto dan beberapa respon yang sempat dihantar dalam blog yang tidak seberapa ini.

Menghadapi hari hari mendatang seperti biasa, aku ingin berkongsi setiap saat bagaimana aku perlu tabah. Bagaimana aku perlu kuat. Rasanya ia tidaklah sesukar mana kerana sebelum ini aku sudah berjaya tersedar dari suasana emosi yang terlalu "down". Tinggal lagi aku perlu menambah kekuatan diri supaya tidak mudah rebah dalam perjuangan.

Semoga kita insan senasib sentiasa kuat dan tabah.

 





No comments:

Post a Comment

MY RECENTLY POST

CARA PLHIV MENINGKATKAN KEYAKINAN DIRI

Meningkatkan keyakinan diri sebagai seorang yang hidup dengan HIV (PLHIV) memerlukan penerimaan diri dan usaha berterusan untuk hidup dengan...

MY POPULAR POST