Hari ini adalah hari kemenangan seluruh umat yang mengharungi dugaan Ramadan. Seperti kebiasaannya raya kali ini disambut bersama keluarga. Suasana sederhana yang meriah. Cukup dengan kehadiran bersama family di sini.
Juadah terlalu banyak terhidang tinggal menunggu untuk menjamu selera. Yang tergambar di fikiran ialah ingin berwaspada dalam pengambilan menu raya agar kesihatan diri terjaga.
Al maklum selepas sebulan sistem pencernaan sudah terbiasa dengan puasa. Sudah tentu ingin menghindar diri daripada kemudaratan akibat pemakanan yang tidak dikawal.
Tahun ke-8 menyambut raya sebagai PLHIV banyak mengajar diri lebih prihatin soal kesihatan. Target utama ialah menaikkan Cd4 dan kiraan viral load undetectable.
Tahun ini menyaksikan pemergian insan yang kukenali mempunyai sejarah perjuangan hidup yang hebat. Atuk @ Roslan Hamzah. Walau cuma kumengenali arwah melalui fb terserlah sikap arwah yang prihatin sesama warga komuniti.
Yang pergi tetap meninggalkan kita yang masih ada wajarlah disantuni dengan sebaiknya. Semoga ruh arwah dicucuri rahmat di sisiNYA. Ini adalah kali kedua aku kehilangan insan hebat yang menjadi dahan berpaut dalam menelusuri kehidupan PLHIV. Arwah abg pie dan Atuk.
Kedua-dua figura tersebut bagi aku adalah contoh yang ideal kerana mereka telah menempuh pelbagai cabaran berkaitan isu-isu PLHIV dan mereka pernah memberikan aku kata-kata semangat agar menempuh ujian ini dengan kuat.
Mereka berdua tiada galang gantinya bagi diriku. Kisah hebat mereka yang berjuang tanpa kenal erti penat lelah kujadikan sumber inspirasi. Versi berbeza tapi matlamat sama. Aku bergerak atas kapasiti diri dalam perjuangan hidup PLHIV yang penuh cabaran.