Pneumonia
biasanya disebabkan oleh jangkitan kuman bakteria dan virus, tetapi
kadang-kadang boleh di sebabkan kulat atau parasit. Ia juga boleh
terjadi akibat dari tindakbalas kimia atau fizikal. Tanda-tanda
pneumonia adalah batuk, sakit dada, demam dan susah bernafas. Pneumonia
boleh didiagnos melalui kaedah x-ray dan pemeriksaan kahak. Rawatan
bergantung kepada penyebab pneumonia ; pneumonia disebabkan oleh
bakteria dirawat dengan antibiotik. Pneumonia boleh terjadi di semua
golongan umur dan ia adalah salah satu penyebab utama kematian di
golongan pesakit kronik. Terdapat vaksin untuk pneumonia yang disebabkan
oleh pneumococcus. Prognosis pneumonia bergantung kepada jenis,
rawatan, komplikasi dan keadaan ko-morbid seseorang.
Oksigen tidak dapat memasuki paru-paru apabila
diserang pneumonia (kanan) dibanding dengan keadaan normal
Epidemiologi
Pneumonia biasa didapati diseluruh dunia. Ia adalah penyebab kematian
yang penting disemua golongan umur dan adalah penyebab kematian utama
pada golongan kanak-kanak di negara yang berpendapatan rendah.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia menjangkakan kematian berkurangan di
peringkat dewasa tetapi meningkat semula di kalangan mereka yang lanjut
usia.
Di United Kingdom, kadar kejadian tahunan pneumonia
adalah 6 kes untuk setiap 1000 penduduk yang berumur 18-39 tahun. Untuk
mereka yang berumur 75 tahun, angka ini meningkat ke 75 kes untuk setiap
1000 orang. 20% - 40% pesakit memerlukan rawatan di wad dan dari jumlah
ini, 5-10% dirawat di Unit Rawatan Rapi. Kadar kematian di United
Kingdom adalah 5-10%.
Klasifikasi Pneumonia
1. Pneumonia jangkitan dari komuniti: (Community Acquired Pneumonia)
Pneumonia ini adalah yang paling biasa. Ia disebabkan oleh kuman-kuman
yang biasa terdapat dalam komuniti/masyarakat. Kuman-kuman penyebab
adalah kuman bakteria seperti Streptococcus pneumoniae, Haemophilus
influenza, Staphylococcus aureus , Moraxella catarrhalis, Kelbsiella dan
bakteria tidak tipikal (atypical bacteria) seperti Mycoplasma
pneumoniae, Chlamydia pneumonia dan Legionella pneumophilia. Di
Malaysia, kuman Mycobacterium tuberculosis yang menyebabkan penyakit
tibi adalah salah satu penyebab utama pneumonia komuniti. Secara
keseluruhan, Streptococcus pneumoniae adalah penyebab utama pneumonia
diseluruh dunia. Kuman virus yang boleh menyebabkan pneumonia adalah
virus influenza, virus respiratory syncitial, adenovirus, parainfluenza
virus dan virus H1N1. Selain daripada bakteria dan virus, berbagai
organisma parasit seperti Toxoplasma gondii, Strongyloides stercoralis
dan Ascaris boleh juga menyebabkan pneumonia. Mikroorganisma parasit ini
memasuki badan melalui kulit atau ditelan kemudian pergi ke paru-paru
melalui saluran darah. Parasit boleh menyebabkan satu tindakbalas immun
di mana subset sel darah putih iaitu sel eosinofil meningkat. Ini
dipanggil 'eosinophilic pneumonia'.
Paru-paru
dihidapi pneumonia di mana alveoli di penuhi dengan sel-sel inflamasi.
2. Pneumonia jangkitan dari hospital (Hospital Acquired Pneumonia)
Ia juga dikenali sebagai pneumona nosokomial. Ia adalah sejenis
pneumonia yang dihidapi selepas 72 jam seseorang berada di dalam
hospital atau 72 jam selepas dikeluarkan dari hospital untuk penyakit
lain. Kuman penyebab adalah berlainan dengan kuman dari komuniti iaitu
bakteria Klebsiella, Pseudomonas, Enterobacter, Serratia dan Methicillin
Resistant Staphylococcus aureus (MRSA). Oleh kerana pengidap nosokomial
pneumonia ada penyakit lain dan terdedah kepada bakteria yang lebih
berbahaya, nosokomial pneumonia adalah lebih serius jika dibandingkan
dengan pneumonia komuniti.
Faktor-faktor yang menyebabkan
seseorang yang dimasukkan ke hospital mudah mendapat pneumonia hospital
adalah malnutrisi berpanjangan, penyakit jantung atau paru-paru lain
yang sediada dan kurangnya jumlah acid dalam perut. Semua faktor ini
boleh mengurangkan daya tahanan seseorang pesakit. Pneumonia yang
berkaitan dengan alat bantuan pernafasan (ventilator-associated
pnenumonia) adalah subset pneumonia nosokomial dimana pneumonia terjadi
selepas 48 jam seseorang pesakit diberi bantuan pernafasan secara
mekanikal.
3. Pneumonia yang berkait dengan Fasiliti Kesihatan
Ini adalah pneumonia yang dihidapi oleh penghuni-penghuni fasiliti kesihatan seperti di 'nursing home'.
4. Pneumonia di kalangan golongan yang kurang daya tahanan (Immunosupres)
Golongan yang kurang daya tahan ialah mereka yang mengidap 'acquired
immune deficiency syndrome' (AIDS), pesakit yang mendapat rawatan
kemoterapi atau steroid , pesakit kegagalan buah pinggang dan pengidap
kanser. Organisma yang boleh menjangkiti paru-paru di kalangan mereka
adalah sama seperti yang terdahulu (no. 1 hingga no. 3).
Walaubagaimanapun mereka ini juga boleh mendapat jangkitan dari
organisma yang tidak memberi masalah kepada orang yang sihat sistem daya
immunnya. Organisma-organisma ini adalah virus cytomegalovirus, kulat
Pneumocystis jiroveci, Pneumocystis carini, Cryptococcus neoformans,
Coccidioides immitis dan Histoplasma capsulatum, bakteria Mycobacterium
avium-intercellulare serta kulat 'invasive' aspergilosis serta
'invasive' candidiasis.
5. Lain-lain
Severe acute respiratory syndrome (SARS)
Ia adalah sejenis pneumonia yang sangat berjangkit, amat berbahaya
dan boleh menyebabkan kematian . Ia disebabkan oleh virus corona SARS
yang pertama kali dikenalpasti di Negara China pada tahun 2002.
Pneumonia akibat bahan kimia
Ini disebabkan oleh bahan-bahan kimia seperti racun serangga yang
memasuki paru-paru melalui penyedutan udara yang dicemari serangga.
Pneumonia apabila tersedak ( Aspiration pnuemonia)
Ini terjadi apabila bahan-bahan asing seperti daripada mulut atau
kandungan isi perut tersedut ke dalam paru-paru semasa makan,
"reflux"atau apabila seseorang itu muntah. Bahan-bahan yang disedut
bukan sahaja boleh menyebabkan radang paru-paru, tetapi ia juga boleh
mengandungi bakteria 'anaerobik' (boleh membiak tanpa oksigen).
Aspiration pneumonia adalah penyebab kematian utama dikalangan
pesakit-pesakit hospital yang berada di dalam keadaan koma dan pada
mereka yang menetap di rumah 'nursing'. Ini adalah kerana
pesakit-pesakit demikian mempunyai daya tahan yang lemah dan saluran
pernafasan mudah dijangkiti.
'Interstitial' pneumonia
Pneumonia ini terjadi di ruang antara satu alveoli dan yang lain. Ia
selalunya disebabkan oleh virus atau bakteria atipikal.
Simptom
Pesakit yang mengidap pneumonia akan mengadu batuk berkahak warna
kuning atau hijau dan demam panas dan ini boleh disertai dengan
menggigil. Kahak bagi mereka yang dijangkiti Streptococcus pneumoniae
ber warna 'berkarat' (rusty coloured sputum). Sesak nafas adalah aduan
yang biasa. Sakit dada semasa menarik nafas atau 'pleuritic chest pain'
adalah sakit yang dialami seperti ditusuk sesuatu yang tajam. Batuk
berdarah adalah salah satu simtom pneumonia. Tanda-tanda atau simptom
lain adalah kurang selera makan, sakit kepala, berpeluh, sakit-sakit
sendi dan otot. Pneumonia yang disebabkan oleh kuman Legionella boleh
menyebabkan sakit perut dan cirit-birit sementara pneumonia yang
disebabkan kuman tibi atau Pneumocystis boleh menyebabkan kurang berat
badan dan berpeluh pada waktu malam. Di kalangan mereka yang lanjut
usia, manifestasi pneumonia selalunya tidak tipikal. Mereka mungkin
boleh kelihatan keliru, hilang keseimbangan badan dan akibatnya jatuh.
Tanda Fizikal
Tanda-tanda fizikal yang didapati apabila diperiksa oleh pengamal
perubatan adalah demam (>37.8oC )tetapi kadang-kadang suhu badan
rendah, kadar pernafasan yang meningkat ( > 20 / minit) dan nadi yang
laju ( >100/minit). Pesakit yang didapati sangat susah untuk
bernafas, keliru dan terdapat kebiru-biruan pada bibir atau lidah perlu
dirawat segera.
Apabila dada diperiksa dengan alat stethoskop, ada
kelainan semasa pesakit menarik nafas. Walaubagaimanapun sesetengah
pesakit tidak menunjukkan apa-apa tanda.
Gambarajah : Tanda-Tanda Utama Radang Paru-Paru (Pneumonia)
Tanda sistemik :
Demam panas
Menggigil
Sakit kepala
Kurang selera maka
Penyiasatan
Penyiasatan yang di lakukan untuk memastikan diagnosa ialah kahak akan
diperiksa di bawah mikroskop untuk melihat kuman dan jenis kuman akan
dipastikan dengan kultur kahak. Kahak juga akan diperiksa untuk kuman
tibi. Pemeriksaan x-ray dada akan dilakukan juga di mana kesan putih
pada x-ray boleh menandakan pneumonia. Walaubagaimanapun tidak semua
pneumonia dapat dilihat pada x-ray mungkin kerana ia adalah diperingkat
awal atau ia melibatkan bahagian paru-paru yang sukar dikesan oleh
x-ray. Jarang sekali scan tomografi komputer (CT scan) dilakukan. Ia
dilakukan untuk mengenalpasti diagnosa selain dari pneumonia atau
pneumonia yang tidak kelihatan pada X-ray dada. Pemeriksaan darah juga
boleh membantu untuk melihat tindakbalas jangkitan kuman bakteria, virus
atau parasit. Ini dilihat sebagai peningkatan kepada bilangan sel darah
putih, tetapi pada mereka yang kurang daya imun sel darah putih boleh
jadi rendah atau 'normal'. Darah juga akan dikultur untuk mengenalpasti
kuman di dalam darah dan ini di panggil sepsis atau septisemia. Bakteria
yang telah dikenalpasti akan di uji samada ia sensitif kepada
antibiotik yang telah atau akan digunakan. Ujian serologi dilakukan
untuk Mycoplasma, Legionella , Chlamydia dan Legionella. Sapuan kahak
(throat swab) di ambil untuk ujian H1N1. Rembesan daripada paru-paru
boleh di uji untuk virus seperti influenza, respiratory syncytial virus
dan adenovirus. Ujian darah untuk fungsi buah pinggang dan hepar
dilakukan untuk mengenalpasti samada terdapat kerosakan disebabkan oleh
sepsis.
Gambarajah: X-ray dada
Normal
Pneumonia di sebelah kanan paru-paru ( tanda putih disebelah kiri gambar)
Rawatan
Tidak semua pesakit akan dimasukkan ke hospital, tetapi diberi rawatan
sebagai pesakit luar. Biasanya antibiotik di beri secara oral, pesakit
dinasihatkan banyak minum air dan berehat di rumah. Ubat batuk yang di
beli di kedai-kedai adalah tidak berkesan untuk rawatan pneumonia. Jika
simptom tidak berubah atau bertambah teruk atau berlaku komplikasi,
penjagaan di hospital adalah diperlukan. Mereka yang didapati sukar
untuk bernafas, mempunyai penyakit lain dan mereka yang lanjut usia,
juga akan dimasukkan ke hospital.
Pneumonia yang disebabkan
oleh bakteria dari komuniti akan dirawat dengan antibiotik seperti
augmentin, erythromycin atau azithromycin. Rawatan diberi selama 7
hingga sepuloh hari. Antibiotik yang digunakan untuk merawat pneumonia
jangkitan dari hospital adalah seperti cephalosporin, carbepenem,
aminoglycoside dan vancomycin. Ini diberi secara intravena.
Tiada rawatan spesifik untuk kebanyakan pneumonia yang disebabkan oleh virus. Jangkitan H1N1 dirawat dengan ubat oseltamivir.
Selain dari rawatan pengubatan, pesakit juga digalakkan banyak berehat dan banyak minum air.