Aku
bersyukur kepada Allah kerana sesi ambil darah yang dijadualkan pada
hari ini berjalan dengan lancar. Walaupun pada mulanya timbul
kerisauan dalam hati pada kali ini. Entah mengapa aku terlalu dibayangi oleh perasaan ini. Kerisauan yang sukar
diluah dengan kata-kata. Aku sendiri buntu akal untuk menzahirkannya
satu persatu.
Aku cuma
mahu berkongsi kebimbanganku terhadap kekerapanku ke hospital untuk
ambil darah dan temujanji selama ini bakal menjejaskan kepercayaan
pihak majikanku. Ia juga menjadi punca terjejasnya hubungan baik
antara aku dengan kawan2 sekerja.
Jika dalam
setahun sudah lebih dari dua kali MC, tak mustahil akan timbul
keraguan baik di kalangan pentadbir dan rakan sejawat. Umur masih
belum sampai 40 tapi selalu MC MC MC..
Walaupun
setidak tidaknya ada sick leave, tapi tak kan terlalu kerap kali.
Kerahsiaan
tetap menjadi peganganku. Aku masih lagi belum bersedia untuk
berterus terang tentang kondisiku lebih2 lagi sesama kawan sekerja
apatah lagi majikanku. Aku tahu sejauh mana tahap pengetahuan kawan kawan di sekelilingku berkenaan HIV AIDS.
Kesimpulannya, masih belum sesuai untuk mereka tahu. Isu yang remeh temeh pun boleh diperbesarkan apatah lagi isu ini. Ini realiti yang berlaku di sekelilingku, bukan bermaksud aku menyifatkan setiap insan itu dengan ciri2 judgemental, stigma dan seumpamanya. Aku belajar dari pengalaman sebelum ini dan ia menjadikan aku agar lebih berhati2.
Agaknya menanti superhero datang memberi penerangan kepada mereka satu persatu bahawa plhiv tidaklah bahaya seperti yang disangkakan dan bla bla bla. Entah bila dan siapakah gerangan. Aku ke?
Keinginan memang ada namun bukan sekarang. Cukup la buat masa ini aku menjadi seorang blogger biasa yang ingin berkongsi suka duka kehidupanku sebagai plhiv. Hanya itu yang termampu aku lakukan di samping kesibukanku dalam tugas dan tanggungjawab harianku.
Sedangkan parents dan kerabatku tidak sorang
pun tahu statusku plhiv ini. Itulahlah kelemahanku sebagai insan yang serba kekurangan
ini. Ditelan pahit dibuang sayang. Aduhai diri yang begitu banyak
kekurangannya.
Aku tiba di
QEH seawal pukul 6.15 pagi. Sempat untuk aku menghirup udara segar di
pagi hari di tengah2 bandaraya ini. Keadaan lalulintas pun masih
belum sesak. Lancar saja pergerakan kenderaan yang kunaiki ke QEH.
Aku tidak
menjamah sebarang makanan sebagaimana kebiasaannya. Itulah
kelaziman yang perlu dipatuhi sebelum darah diambil. Pernah sekali
aku makan nasi berlaukkan ayam masak kari sebelum darah diambil.
Akibatnya kalau tak ikut arahan yang sepatutnya padah menimpa diri sendiri.
Aku terlebih
dahulu menemui kaunselor Joseph sebelum sampel darahku diambil.
Tujuan hanyalah untuk meminta bantuannya mendapatkan sick leave untuk
kukemukakan kepada majikan keesokan harinya. Namun katanya, lebih
elok untuk sesi ambil darah dan temujanji akan datang, dipastikan
dahulu bila masanya minggu2 bercuti agar tarikh dapat diletakkan pada
waktu tersebut. Ini untuk mengelakkan agar aku kerap MC.
Selepas
perbincangan dengan kaunselor joseph, tarikh temujanjiku yang
sepatutnya 30 April ditukar ke hari ini. Sesi ambil darah untuk
akan datang pula ditetapkan pada hari ahad bersamaan 10 Ogos. Ini
bagi mengelakkan aku sekali lagi mengambil MC pada penghujung April
nanti begitu juga sesi ambil darah akan datang. Cukuplah MC untuk
hari ini sahaja. Next review ialah pada 15. September.
Seterusnya,
sesi berjumpa dengan Doktor Farah Nadiah Bidin. Tak sampai 10 minit
konsultasiku bersama doktor memandangkan tiada masalah yang aku
hadapi sejak pengambilan ubat HAART.
Doktor puas
hati dengan keadaanku. Cuma pada kali ni tidak ada laporan CD4 dan VL
terkini ,hanya berpandukan pada laporan yang lepas2 saja. Katanya,
jika ada masalah dalam ujian darah kali ini, pihak ID akan
menghubungiku untuk tindakan selanjutnya.
Aku berpuas
hati dengan sesi ambil darah kali hari ini. Staf ID yang membantu
khususnya kaunselor Joseph memberikan aku semangat baru untuk lebih
cekal dan lebih menjaga tahap kesihatanku. Syukur alhamdulillah,
boleh dikatakan hari ini dua dalam satu bagi diriku sebagai PLHIV
sekaligus merungkai permasalahan yang kuhadapi berkaitan dengan MC.
Demikianlah catatanku untuk sesi kali ini. Moga memberi manfaat buat kita semua.