Monday, 5 November 2012

HIV/AIDS atau HIV dan AIDS; isu-isu berkaitan yang sering terlepas pandang

Dalam entry kali ini, aku sengaja mengambil dua sumber yang berbeza namun memperkatakan isu yang sama iaitu berkenaan dua perkara; 1) HIV.  2) AIDS. 


Dua pihak yang membincangkan isu ini ialah dari kalangan warga Kementerian Kesihatan Malaysia KKM dan insan berhati mulia yang menjadi dahan tempat bergantung golongan PLHIV, boleh dikatakan memberi sumbangan yang begitu besar dari segi menyelamatkan jiwa insan2 dari pelbagai latar belakang yang selama ini enggan tampil ke hadapan untuk menerima rawatan. 


Mari kita baca dan teliti perbezaan antara kedua-dua sumber ini dan mengambil iktibar. 


Setelah lebih 20 tahun, penyakit HIV/AIDS telah menjangkiti seramai 33 juta penduduk di dunia iaitu lebih kurang menyamai jumlah penduduk di Malaysia. Tidak seperti di Thailand dan Singapura, penagih dadah suntikan adalah antara risiko utama punca berlaku jangkitan HIV di negara Malaysia ini.
 
 
Sehingga 2008, kes HIV terkumpul telah mencapai kepada 14,199 di Negeri Johor. Kaum lelaki dan mereka yang produktif iaitu berusia antara 22-49 tahun adalah majoriti mengidap penyakit HIV ini. 


Walaupun tren jangkitan wanita dan penagih dadah secara suntikan telah menurun, risiko jangkitan melalui hubungan seks meningkat dikhuatiri menunjukkan paradigma jangkitan HIV berubah kesan penggunaan dadah 'designer' seperti amphetamine dan minat kepada kaum sejenis.
 
 
Kementerian Kesihatan Malaysia menjalankan pelbagai program pencegahan, rawatan dan kawalan HIV/AIDS bagi memastikan penyakit tidak dijangkiti kepada orang yang belum dijangkiti dan mengurangkan morbiditi bagi mereka yang telah dijangkiti HIV.
 
 
Perubahan tingkah laku berisiko perlu dihentikan atau perlu melakukan beberapa tindakan bagi mengelakkan diri dijangkiti HIV:

 
1.Tidak berkongsi jarum dan alat suntikan sekiranya sebelum ini ada berkongsi jarum bagi penagih dadah secara suntikan.

 
2.Menggunakan kondom sekiranya sebelum ini tidak menggunakan kondom ketika melakukan seks bagi pasangan seks yang tidak diketahui status HIV atau pasangan seks adalah HIV positif.

 
3.Lakukan ujian saringan HIV secara sukarela di klinik kesihatan sekiranya ada melakukan tingkah laku berisiko: berkongsi jarum bagi penagih dadah secara suntikan, tidak menggunakan kondom ketika melakukan seks bagi pasangan seks yang tidak diketahui status HIV atau pasangan seks adalah HIV positif.
 
 
Selain saringan, rawatan yang ada di klinik kesihatan, kaunseling dan pendidikan kesihatan yang efektif perlu diberi kepada pelanggan yang berisiko dan masyarakat luar dapat mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap mereka yang dijangkiti HIV.
  

Secara umumnya, semua orang berperanan dalam pencegahan penularan HIV. Antara langkah yang boleh diambil baik secara individu maupun kumpulan iaitu :
 

1.Mencegah transmisi HIV/AIDS dengan mengetahui cara penyebarannya.

 
2.Mengurangkan morbiditi dan kesengsaraan seseorang akibat penyakit HIV/AIDS ( berkaitan dengan membanteras stigma, judgemental dan diskriminasi di kalangan semua orang.

 
3.Menggunakan sumber yang ada sepenuhnya bagi membenteras penyakit HIV/AIDS.

 
4.Mempromosi serta bekerjasama dengan agensi peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa berkaitan HIV/AIDS.


 Kredit untuk http://jknjohor.moh.gov.my/bmv2/modules/mastop_publish/?tac=27



Bagi memantapkan pengetahuan berkenaan isu HIV dan AIDS, maka dengan ini saya mengambil sumber daripada blog Akuhivpositif yang sangat lengkap dan boleh dijadikan panduan bersama. 


Bagi saya, pengetahuan yang mencukupi sangat perlu bagi membanteras sikap diskriminasi, jugdemental dan stigma di kalangan sesiapa sahaja berkenaan isu ini.

 
HIV ialah akronim kepada Human Immunodeficiency Virus. Ianya virus yang menyerang sistem pertahanan badan yang membuatkan mereka yang dijangkiti HIV menjadi lemah dan mudah terdedah kepada pelbagai penyakit.

Pembawa HIV dipanggil People Living with HIV (PLHIV). Apabila mereka dijangkiti penyakit-penyakit tertentu maka mereka dipanggil mengidap AIDS.

AIDS pula adalah akronim kepada Acquired Immunodeficiency Syndrome.

AIDS sering disalahfaham sebagai satu penyakit. Hakikatnya TIDAK kerana AIDS merujuk kepada sekumpulan penyakit yang biasa dihidapi oleh pembawa HIV. Ianya dinamakan Jangkitan Opportunistik (JO).

JO merupakan jangkitan yang “mengambil kesempatan” kerana kelemahan sistem daya tahan badan. Ada lebih kurang 30 JO yang diklasifikasikan sebagai AIDS.

JO hanyalah merupakan penyakit biasa yang mungkin dihidapi oleh sesiapa sahaja tetapi kerana mereka bukan pembawa HIV maka mereka tidak dipanggil pesakit AIDS.

Contohnya penyakit TB. Jika bukan pembawa HIV, mereka dipanggil pesakit TB tetapi jika pembawa HIV, mereka dikatakan mengidap AIDS.


2.                  Setakat ini HIV/AIDS memang tiada penawar (sembuh sepenuhnya) tetapi ianya boleh dirawat sama seperti penyakit-penyakit kronik yang lain seperti pesakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.

Melalui rawatan yang betul, penjagaan kesihatan dan pemakanan yang berkhasiat, seseorang pembawa HIV mampu hidup lama dan sihat seperti insan lain tanpa apa-apa masalah. Boleh dikatakan AIDS dapat dielakkan jika pembawa HIV mendapatkan rawatan awal.


3.                  Rawatan HIV terbahagi kepada dua iaitu rawatan Counseling dan Pharmacology. Secara umum, rawatan utama Pharmacology adalah HAART.


4.                  HAART adalah Highly Active Anti-Retroviral Therapy iaitu ubat antiretroviral yang menghalang virus-virus baru terbentuk dan membantu sistem imuniti berfungsi secara normal di dalam badan pembawa HIV/ AIDS.

Disebabkan HAART adalah kombinasi dadah kartel, ianya memberikan risiko kepada pembawa HIV untuk menghadapi kesan sampingan. Oleh itu makanan berkhasiat akan membantu mengurangkan kesan buruk dadah tersebut di samping meningkatkan kebolehan tubuh menyerap ubat-ubatan. Makanan berkalori tinggi seperti protien, karbohidrat dan senaman sangat membantu.


5.                  Punca jangkitan HIV disebabkan kerana individu gagal mengambil langkah-langkah pencegahan semasa melakukan aktiviti berisiko. Contohnya tidak menggunakan kondom semasa melakukan hubungan seks dan berkongsi jarum suntikan yang tercemar dengan darah HIV.

Sekalipun seseorang individu aktif melakukan hubungan seks berbilang pasangan tetapi masih mengamalkan seks yang selamat, beliau tidak akan dijangkiti. Begitu juga sekiranya mereka menyuntik dadah (IDU) tetapi tidak berkongsi jarum suntikan, anda tidak akan dijangkiti.

HIV juga tidak akan berjangkit melalui dadah jenis sedutan seperti ganja, pills seperti ecstasy dan lain-lain pills psychotropic dan cecair seperti ubat batuk.
     
6.                  Punca jangkitan HIV hanyalah melalui:

6.1             Perhubungan seks tanpa kondom dengan orang yang telah dijangkiti HIV, di mana berlaku pemindahan cecair badan seperti air mani, air mazi, bendalir faraj atau darah (termasuk darah haid) dari tubuh orang yang telah dijangkiti HIV itu ke tubuh orang yang lain.

6.2             Melalui darah yang telah dicemari dengan HIV, umpamanya melalui jarum suntikan yang tidak disteril, pemindahan darah dan organ-organ badan.

6.3             Melalui ibu yang telah dijangkiti HIV kepada anaknya semasa kehamilan, kelahiran atau memberi susu badan.

6.4             Pemindahan darah / organ


OLEH ITU…

HIV tidak akan berjangkit melalui sentuhan, bergaul, berkongsi makanan, tandas, peralatan, bersukan, berpelukan, ciuman dan apa sahaja selagi tidak melibatkan punca-punca di atas. Jadi kenapa anda takut dengan pembawa HIV?

(Sebenarnya setiap hari anda mungkin bergaul dan berkongsi peralatan makanan dengan pembawa HIV di masjid, tempat kerja, majlis-majlis perkahwinan, di kedai-kedai makan atau restoran)


7.                  Risiko jangkitan HIV melalui ibu kepada anak adalah sekitar 30% tetapi jika ibu tersebut mengambil HAART, risikonya hampir sifar kerana HAART mampu menekan virus sehingga lebih rendah daripada 50 copies.


8.                  Virus HIV adalah virus yang lemah cuma ianya sangat ‘tabah’ mempertahankan diri, menggandakan diri dan bersembunyi di tubuh pembawa HIV. Ianya jauh lebih lemah berbanding virus Influenza dan H1N1 yang boleh tersebar melalui udara. Pembawa HIV sepatutnya pandai memanipulasi dan belajar daripada ketabahan virus itu sendiri.


9.                  Sekitar 6% daripada darah yang digunakan di hospital adalah tercemar dengan pelbagai jenis virus manakala 2.5% daripadanya mengandungi HIV.

Dapatkan pandangan pakar sebelum anda menandatangani sebarang dokumen persetujuan pemindahan darah dilakukan terutama bagi pesakit yang mempunyai sistem imunisasi badan yang sedia rendah seperti pesakit diabetes dan kanser.

Risiko adalah pasti. Jika tidak, pihak hospital tidak akan meminta anda menandatangani sebarang dokumen untuk akur tentang risiko sebelum prosedur sesuatu pemindahan darah dilakukan.

Bagaimana ianya berlaku? Ianya berlaku apabila penderma mendermakan darah dalam tempoh window period (tempoh pengeraman) virus di dalam darah mereka dan jumlah virus masih di bawah 50 copies.


10.             Jika anda golongan berisiko, menghidap hepatitis, HPV dan sebagainya, jangan sesekali menderma darah sebagai cara untuk mengetahui status kesihatan anda.


11.             Masalah utama pembawa HIV dan masyarakat ialah kegagalan memahami HIV secara tepat. Akibatnya berlakulah judgmental, stigma dan diskriminasi. Sikap ini jauh lebih pantas membunuh pembawa HIV berbanding JO.


12.             Kebanyakan anggota masyarakat tidak sedar bahawa di sebalik pembawa HIV yang mereka hukum dengan stigma dan diskriminasi itu, pasangan dan anak-anak mereka yang tidak bersalah turut mengalami tekanan yang cukup dahsyat akibat kekejaman yang tidak berperikemanusiaan ini.

Mereka dipulaukan, hilang punca pendapatan, keyakinan diri dan sebagainya akibat kedunguan yang tidak perlu. 


13.             Punca utama jangkitan HIV sekarang adalah melalui perhubungan seks termasuk di kalangan isteri pembawa HIV yang tidak mengetahui pasangan mereka mempunyai HIV. Bahkan jangkitan di kalangan surirumah lebih tinggi berbanding di kalangan pekerja seks!

Adilkah penderitaan mereka kita tambah tanpa rasa bersalah?


14.             Lebih 70% pembawa HIV/AIDS di Malaysia adalah umat Islam tetapi masih sedikit golongan agama yang bersedia membantu pembawa HIV. Ujian terhadap pembawa HIV adalah ujian terhadap seluruh umat Islam untuk menilai sejauh mana kita membantu saudara seagama. Membantu mereka adalah tuntutan Fardhu Kifayah yang sering diabaikan.


15.             Terdapat ramai pembawa HIV/AIDS yang perlukan bimbingan untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan tetapi dipinggir dan keliru akibat sikap judgmental sesetengah golongan. Akibatnya ada yang gagal berubah daripada kehidupan silam. Mereka dihukum dengan sejarah yang tidak lagi mampu mereka ubah dan akibatnya ada yang mati di gereja!

16.             Terdapat hampir 100 ribu orang pembawa HIV di Malaysia dan purata jangkitan setiap hari melebihi 10 orang merangkumi semua golongan anggota masyarakat sama ada pelajar IPT, penjawat awam, profesional, ilmuan, agamawan dan sebagainya.


Kredit khusus buat Blog Http://akuhivpositif.blogspot.com

No comments:

Post a Comment

MY RECENTLY POST

CARA PLHIV MENINGKATKAN KEYAKINAN DIRI

Meningkatkan keyakinan diri sebagai seorang yang hidup dengan HIV (PLHIV) memerlukan penerimaan diri dan usaha berterusan untuk hidup dengan...

MY POPULAR POST