Rakan AzamAli.com.my

Saturday, 10 November 2012

Sejarah AIDS


PENDAHULUAN
 
Manusia mendapat penyakit sebab dijangkiti oleh kuman yang menyebabkan penyakit. Manusia mendapat penyakit AIDS sebab dijangkiti oleh kuman yang menyebabkan penyakit AIDS iaitu HIV.


AIDS ialah penyakit yang disebabkan oleh kuman HIV. HIV adalah sejenis virus.


Acquired Immuno Deficiency Syndrome (AIDS) adalah penyakit yang disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai Human Immunodeficiency Virus (HIV). Virus HIV digolongkan didalam kumpulan virus retrovirus. Ini bermakna virus ini sangat lemah dan tidak dapat membiak dengan sendiri. 


Semua virus jenis retrovirus perlu masuk di dalam sel perumah (di dalam hal kes AIDS ialah manusia) dan mencuri bahan genetik perumah berkenan untuk membiak. 


Maklumat yang ada menunjukkan virus HIV mengambil masa 8 hingga 10 tahun untuk menyebabkan penyakit AIDS. Maklumat yang ada juga menunjukkan hampir semua jangkitan HIV akan berakhir dengan AIDS. Walaupun begitu bukan semua tularan HIV menyebabkan jangkitan HIV. Ini bermakna didalam keadaan tertentu (ahli sains dan pakar perubatan masih tidak pasti apa kah keadaan "tertentu" berkenaan), virus HIV masuk ke dalam badan manusia tetapi tidak menyebabkan penyakit.


Laporan ada menunjukkan terdapat pesakit HIV kanak-kanak yang "sembuh" selepas 5 tahun dijangkiti HIV. Kanak-kanak berkenaan yang disahkan dijangkiti oleh kuman HIV selepas dilahirkan oleh ibunya yang juga dijangkiti HIV tidak menunjukkan tanda-tanda yang biasanya dialami oleh pesakit HIV kanak-kanak. Pemeriksaan lanjut menunjukkan kuman HIV tidak ditemui lagi didalam tubuh kanak-kanak berkenaan (Ref :saya akan memberikan rujukan kemudian, masa sekarang lupa!).


Laporan juga ada menunjukkan terdapat kes HIV dewasa yang telah dijangkiti selama melebihi 10 tahun tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda AIDS. Didalam satu kes yang melibatkan seorang dewasa wanita di Afrika. Kes satu lagi melibatkan penderma darah dan penerima darahnya. Jumlah sel CD4+ (yang biasanya dijadikan petunjuk keadaan kes-kes AIDS) juga berada di dalam keadaan normal.


AIDS bermula daripada akhir tahun 1970. Pada awal 1980 dimana pakar-pakar perubatan di beberapa bandar besar Amerika Syarikat telah mula menemui suatu keadaan yang ganjil. Ianya ditunjukkan oleh gejala kurang daya tahan melawan penyakit. Ia ditemui di kalangan lelaki yang dahulunya sihat.


Keadaan baru ini ditunjukkan oleh bengkak kelenjar linfa seluruh tubuh, infeksi opportunistik (selalunya radang paru-paru yang disebabkan oleh Pneumocystic carinii, mucosal candidiasis dan disseminated cytomegalovirus infection) dan Karposi sarcoma


Pada bulan Jun 1981, penyakit ini telah menarik perhatian ramai pakar perubatan apabila Centers for Disease Control (CDC) melaporkan lima pesakit lelaki dari Los Angeles di dalam Morbidity and Mortality Weekly Report (MMWR). Selepas itu terdapat beberapa laporan dimana penyakit yang sama ditemui di kalangan lelaki homoseksual dan penagih dadah secara suntikan.


Mereka-mereka ini menunjukkan sel T limfosit yang tidak bertindak balas dengan ransangan antigen dan mitogen (Sebagai pertahan utama tubuh, sel T limfosit akan menyerang semua bahan asing yang masuk kedalam tubuh samada ianya antigen atau mitogen). Beberapa lama selepas itu keadaan menjadi lebih jelas. 


Penyakit kurang daya tahan ini juga melibatkan beberapa kumpulan lain. Kumpulan berkenaan ialah pendatang dari kepulauan Haiti, pesakit hemofilia (sejenis penyakit keturunan dimana tubuh secara semula jadi memusnahkan sel darah. Oleh itu darah perlu diberikan kepada pesakit untuk terus hidup), penerima darah dan pasangan seks atau anak-anak kumpulan ini juga didapati mengidap penyakit yang sama. 


Oleh itu sehingga pada masa berkenaan kumpulan-kumpulan dibawah didapati mengidap penyakit ganjil ini:
  • homoseks lelaki
  • pendatang daripada palau Haiti
  • pesakit hemofilia
  • penerima darah
  • pasangan seks pesakit ganjil berkenaan
  • anak pesakit ganjil tersebut

Kajian seterusnya menunjukkan, penyakit ini disebarkan atau diperolehi melalui hubungan seks dan pemindahan darah dengan orang-orang yang dijangkiti dan disyaki disebabkan oleh agen mikrob.


Memandangkan keadaan ganjil ini adalah baru dan tidak pernah dilaporkan didalam sejarah ilmu perubatan moden, ianya di gelar Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS). Diantara tahun 1981 hingga 1983, beberapa agen mikrob telah ditemui dan dianggap penyebab penyakit AIDS ini. 


Pada tahun 1983, ahli-ahli sains dari Institut Pasteur Peranchis menjumpai sejenis retrovirus yang didapati daripada pesakit asimptomatik (tidak menunjukkan tanda atau simptom) yang mengalami lymphadenopathy (bengkak kelenjar linfa) seluruh badan dan tidak diketahui asal usulnya. 


Virus baru ini dinamakan LAV ( Lympadenopathy Associated Virus). Berlainan dengan retrovirus lain, virus ini didapati membunuh sel CD4 limfosit didalam kultur tisu. 


Pakar-pakar sains lain juga mengasingkan virus yang sama didalam pesakit AIDS dalam tahun 1984. Adalah jelas selepas itu bahawa virus ini adalah agen etiologi penyakit AIDS yang semasa itu ditemui di Amerika Syarikat, Eropah dan Afrika Tengah. Virus tersebut seterusnya dinamakan Human Immunodefeciency Virus (HIV).


Pada tahun 1986, satu lagi virus ditemui yang hampir bersamaan dengan virus HIV yang ditemui pada tahun 1984. Ianya ditemui dikalangan penduduk Afrika Barat dan juga menyebabkan AIDS. Virus ini dinamakan HIV-2 dan virus yang ditemui pada tahun 1984 dinamakan HIV-1.


Sehingga sekarang AIDS didapati disebabkan oleh dua jenis virus yang hampir sama iaitu HIV-1 dan HIV-2.


(Sumber daripada Doktor Ahamad bin Jusoh, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan)

3 comments: